Kebiasaannya pengguna yang mahu mendapatkan nombor pendaftaran idaman boleh membeli atau perlu membidanya melalui pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.

Namun ejen berkenaan turut membidanya dengan harga tertentu bagi membolehkan mereka mendapatkan nombor ‘cantik’ seperti digit tunggal ataupun abjad dan nombor yang boleh membawa maksud dan perkataan sebelum menjualnya dengan harga tinggi.

Menurut sumber, individu yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan itu berupaya mendapatkan lebih 10,000 nombor pendaftaran yang kemudian dijual antara harga RM1,200 hingga RM600,000.

“Bagaimanapun, kita (ejen) hanya boleh memegang tiga nombor dalam satu masa, maknanya selepas jual dan pertukaran dilakukan, baru ejen berkenaan boleh menggunakan kad pengenalan sama membida nombor pendaftaran lain tanpa melebihi kuota tersebut.

“Tetapi bagi nombor semasa yang boleh dibeli terus tanpa proses bidaan, kita boleh membelinya tanpa sebarang had,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Kata sumber, walaupun keuntungan yang diperoleh agak besar namun pendapatan tidak menentu bergantung kepada permintaan.

“Jika bernasib baik, hanya dengan menjual satu nombor pendaftaran sebulan sudah cukup untuk menampung kos operasi termasuk ejen yang memiliki syarikat dan kakitangan.

“Secara jujur, kadang-kadang dengan modal yang kecil keuntungan diraih berlipat ganda hingga RM100,000 dan mungkin lebih bagi satu nombor pendaftaran,” ujarnya.

Tambah sumber, sebab itu, ada ejen mendaftarkan syarikat khusus untuk menjadikan bisnes tersebut sebagai sumber pendapatan utama.

“Itu juga salah satu cara mereka untuk membida lebih banyak nombor pendaftaran dengan menggunakan nama kakitangan masing-masing yang juga ditugaskan sebagai runner menguruskan penjualan dan pertukaran nombor pendaftaran kenderaan kepada pembeli.

“Ada juga yang membuka premis berhampiran pejabat JPJ bagi memudahkan urusan memasuki tender mendapatkan nombor-nombor tersebut,” jelas sumber.

Hasil penelitian S2 di laman sosial turut mendapati puluhan syarikat dan individu yang menjalankan perniagaan menjual semula nombor pendaftaran yang belum didaftarkan kepada orang awam.

Sebagai rekod, bidaan tertinggi di negara ini bagi nombor plat kenderaan V1 iaitu mencecah RM989,780 dimenangi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar termasuk F1 (RM836,660), W 1 N (RM748,000) dan WWW1 (RM520,000) tanpa menggunakan khidmat ejen.