Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

James Bond mengecewakan

Kereta Aston Martin DB 10 yang diguna dalam filem James Bond - Spectre turut dipertontonkan pada Pam
Kereta Aston Martin DB 10 yang diguna dalam filem James Bond - Spectre turut dipertontonkan pada Pameran Motor Tokyo, baru-baru ini.

FILEM James Bond terbaharu, Spectre "meletup" di pawagam sekarang. Saya beri satu bintang sahaja. Jangan marah. Undi saya tidak penting. Ini kerana saya bukan pengkritik filem bonafide. Saya sekadar merrepak dan mengulas filem dari sudut penggemar filem, seperti anda.

Satu bintang ini bukan kerana saya anti-James Bond. Sebaliknya, saya amat menggemari watak supermasculine ciptaan Ian Fleming ini dan telah menonton kesemua 26 filem James Bond dari zaman hitam putih hingga ke era HD hari ini. Satu bintang ini lebih didorong oleh kehampaan.

Sebelum memasuki panggung, pelbagai jangkaan bermain di kepala. Saya harapkan plot cerita yang bagus, kereta hebat, gajet senjata yang luar biasa. Berdasarkan tiga siri James Bond lakonan Daniel Craig sebelum ini, saya berharap Spectre akan meningkat lagi.

Malangnya, hampa. Jangkaan saya meleset. James Bond era Daniel Craig tidak lebih sekadar seorang pembunuh berlesen atau assasin. Gajet tempurnya setakat jam tangan. Kereta Aston Martin DB10 memang amat menggiurkan tetapi tiada peluru dan terhumban ke dalam sungai. Kereta penjahat Jaguar C-X75 pula adalah kereta konsep, yang tidak dikilangkan pun. Wanita Bond? Bukankah Léa Seydoux pernah muncul dalam Mission Impossible: Ghost Protocol. Pelakon seksi, Monica Bellucci hanya tampil beberapa minit, belum campur adegan yang dipotong di Malaysia (hahaha).

Watak penjahat Ernst Stavro Blofeld lakonan Christoph Waltz, terlalu mudah dikalahkan. Watak Mr. Hinx iaitu ketua pembunuh Blofeld lakonan Dave Bautista mungkin satu-satunya penyeri dalam filem Spectre.

Apa yang saya maksudkan sebagai Bond tidak lebih sekadar assasin ialah kerana Bond di tangan Sean Connery, Roger Moore dan Pierce Brosnan terutamanya, menjadikan misi perisikan begitu glamor kerana mereka menggunakan tipu muslihat, dibantu gajet luar biasa, ketrampilan segak dan tugas membunuh musuh menjadi perkara kedua. Penonton tidak disajikan dengan watak Bond, sang pembunuh dari awal hingga akhir. Bond era Craig terang-terang mahu membunuh dari babak awal di Mexico City.

Perbandingan

Jadi apa salahnya? Mungkin akan ada yang persoalkan saya. Jawapan saya, bila ejen 007 ini lebih bersifat assasin, apa beza James Bond dengan siri Bourne iaitu The Bourne Identity (2002), The Bourne Supremacy (2004), The Bourne Ultimatum (2007) dan The Bourne Legacy (2012)?

Francais filem James Bond ini jauh lebih besar dari siri Bourne untuk dibuat perbandingan. Ejen 007 ini memiliki 26 filem setakat ini sejak filem pertamanya, Dr.No ditayangkan pada 1962, lakonan Sean Connery.

Dalam filem pertama James Bond itu, watak penjahat, Dr.No mendedahkan dirinya menganggotai organisasi Spectre iaitu singkatan daripada Special Executive for Counter-intelligence, Terrorism, Revenge, and Extortion. Akronim ciptaan Ian Fleming ini, menjadi subjek sasaran 007 dalam beberapa filem Bond seterusnya, termasuk yang terbaru di pawagam sekarang. Bagi kalangan penonton berusia bawah 30 tahun, inilah dua filem iaitu James Bond dan Bourne (yang disebut sinis sebagai ejen 007 Amerika Syarikat) yang intim dalam ingatan mereka.

Bourne, adalah bekas ejen CIA yang hilang ingatan dan diburu oleh ketuanya, dalam usaha memastikan dia tidak mendedahkan operasi membunuh pemimpin Afrika yang gagal. Bezanya, Bourne tidak menggunakan gajet luar biasa untuk menewaskan musuhnya.

Jadi francais filem terdekat yang boleh disaingkan dengan Bond ialah Mission Impossible. Watak Ethan Hunt lakonan Tom Cruise, pada pendapat saya kini adalah sebenar-benar watak perisik yang menepati ciri-ciri fantasi.

Pasukan IMF memiliki gajet fantasi yang kekal dalam minda, terutama mesin yang boleh membuat acuan muka individu yang boleh diguna menyamar bersama dengan kotak suara. Siapa peduli tentang realiti. Ini filem. Ini fantasi.

Ingat adegan Hunt memanjat Burj Khalifah menggunakan sarung tangan magnet? Keretanya pun bukan main-main. BMW i8 merupakan kereta konsep semasa digunakan dalam filem terbitan 2011 dan dua tahun kemudian, dijual ke pasaran global. Model ini dilancarkan di Malaysia pada April lalu, pada harga RM1,188,800 sebuah.

Pendek kata, tiada kejutan, tiada luar biasa Spectre James Bond terbaharu ini. Bagaimana dengan Polis Evo? Elemen kejutan ialah watak Shaheizy Sam. Pada permulaan cerita, mati-mati kita ingat dia mengulangi wataknya sebagai samseng untuk kali ke berapa. Letih. Macam tiada watak lain boleh dilakonkan hero-hero filem Melayu hari ini. Kejutannya ialah rupa-rupanya dia jadi polis. Lega.

Yang kurang mengejutkan ialah watak Zizan Razak. Jadi sidekick, yang berfungsi mencetuskan ketawa. Terfikir di benak kepala, alangkah bagusnya jika watak Zizan disamakan dengan Shaheizy, jadi watak serius. Ini kerana filem "tembak-tembak kelakar" ini kita dah tonton tahun balik tahun. Bosan. Sama sahaja formulanya. Ya, formula kaut juta-juta ringgit. Sesekali itu, beranilah sedikit bikin kejutan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain