Jalur tengah terjadi atas maksud mencari titik penyelesaian terhadap kemelut umat yang tidak ada titik hujung­nya. Orang politik sering meletakkan pertimbangan politik teratas malah kadang-kadang tidak melihat kepentingan Islam dan ummah sebagai sesuatu yang paling utama.

Orang politik sering bercakap mengenai kerusi dan kuasa. Sangkanya dengan kuasa semata-mata semua masalah boleh diselesaikan. Mereka lupa bahawa orang lain dan kelompok lain juga mempunyai potensi untuk menyumbang.

Jalan yang sering dipilih adalah mengambil sikap bertentangan dan mewujudkan konflik. Lalu perpecahan dalam kalangan umat terjadi. Umat Islam menjadi semakin lemah dan pergantungan kepada orang lain adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Orang yang terlibat dalam gerakan Islam (harakah) sering merasakan jemaahnya saja terbaik. Mereka tidak berfikir bahawa jemaahku adalah salah satu jemaah yang sifatnya menyumbang. Jemaahku memiliki segala sifat sebagai sebuah jemaah yang unggul. Ia tidak menjadi pelengkap kepada suatu rangkaian jemaah yang terbina atas asas taawun atau kerjasama untuk maslahah umat.

Ahli ilmuwan tidak kurang juga yang mempunyai pendirian akulah ilmuwan terbaik yang harus diiktiraf dan mempunyai autoriti mutlak. Ia berasa senang kalau mempunyai pengikut yang menyanjunginya secara berlebihan. Puja-puji membudaya dan menyebabkan rasa taksub lahir.

Para ilmuwan yang diberikan kelebihan ilmu seharusnya menjadi orang yang paling tawaduk kerana ilmu itu pada hakikatnya milik Allah. Manfaat ilmu dalam pelbagai jurusan dan orientasi membawa kepada lengkapnya tasawwur dan amal Islami supaya Islam tidak hanya terletak pada zikir dan fikir tetapi terlihat dalam watak dan amalan.

Orang dakwah juga tidak kurang kerenahnya. Sesete­ngahnya memburu populariti dan menjadikan dakwah suatu bisnes untuk mendapat pulangan kebendaan yang lumayan. Ia mula menghimpunkan pengikut dan mengambil rentak orientasi dakwah yang menjadikannya terkenal dan kadang-kadang mengkritik pendakwah lain.

Umat Islam kini berada dalam tahap krisis yang serius. Di mana-mana di dunia Islam perpecahan terjadi. Umat Islam lemah bukan sangat disebabkan faktor luar dirinya. Umat Islam lemah disebabkan faktor dalaman dirinya. Ini menyebabkan konflik terjadi, ajaran sesat berkembang, pemurtadan berlaku, gejala sosial bergelojak dan akhirnya umat Islam menjadi lemah kerana jiwa tolak ansur tidak berlaku, sikap keras dan gelojoh pada perkara yang tidak kena. Ak­hirnya tidak mampu mencari jalan penyelesaian yang menjadi contoh generasi muda atau yang bukan Islam.

Jalur tengah sebenarnya adalah kaedah dakwah untuk menyatukan faktor-faktor yang berbeza supaya potensi yang ada menyebabkan kekuatan terjadi dan potensi yang ada dihargai. Dustur Bil hikmah walmau izatil hasanah, wajadilhum billati hia ahsan (Surah an Nahl ;125) adalah pedoman etika dakwah yang sangat agung. Ia kalau diikuti dengan bijaksana bakal menghasilkan natijah yang diperlukan.

Memilih jalur tengah yang sifatnya mempersatukan ini menuntut jiwa besar dalam kalangan orang politik, ahli ilmu, dai dan murabbi supaya jalur kegiatan yang berbeza menemukan dirinya pada maksud yang sama. Wasilah atau pendekatan boleh berbeza lantaran sasarannya tidak sama. Tetapi ghayyah atau matlamatnya patut serupa.

Penglibatan kita dalam kerja-kerja Islam adalah untuk mendapat keredaan Allah. Kebaikan walaupun sebesar biji sawi akan diketahui Allah. Sekiranya dalam kala­ngan tenaga umat memiliki suatu keinsafan bahawa aku dan jemaahku baik politik atau harakah tidak segala-gala.

Yang lain-lain sifatnya melengkapi adalah tenaga pen­ting memakmurkan Islam di muka bumi ini. Sekiranya ini terjadi umat Islam bakal kembali hebat dan dihormati. Inilah jalur tengah yang menuntut pemerkasaan.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).