Daesh dan al-Qaeda bukan saja meletak senjata, malahan mereka menghentikan keganasan dan membubarkan pertubuhan mereka. Kerajaan Mesir pimpinan Jeneral Abdel Fattah El-Sisi pula membebaskan presiden yang digulingkan beliau, Mohamed Morsi dan semua tahanan Ikhwanul Muslimin. Sisi dan Morsi saling memaafkan. Presiden Reccep Tayyip Erdogan pula membebas tahanan politik di Turki.

Erdogan dan musuhnya, Fethullah Gulen yang dituduh berperanan dalam cubaan merampas kuasanya juga saling bermaafan. Sunni dan Syiah saling berbaik-baik. Begitu juga antara orang Wahabi dan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang lain menghormati pandangan masing-masing. Tetapi semua ini hanyalah impian seorang Muslim idealis.

Pada realitinya, hari Jumaat menjelang Aidilfitri, kerajaan Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain mengemukakan tuntutan 13 perkara kepada Qatar yang perlu dipenuhi dalam masa 10 hari. Maknanya tarikh tamat tempoh itu ialah 2 Julai, iaitu hari ini. Tuntutan itu disampaikan oleh Kuwait selaku orang tengah yang berusaha untuk mendamaikan Arab Saudi dan Qatar.

Arab Saudi, Emiriah, Bahrain, Qatar dan Kuwait adalah anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Semua anggota GCC dan Mesir pula adalah anggota Liga Arab. Kedua-dua GCC dan Liga Arab ditubuhkan antara lain untuk mewujudkan kerjasama dan perpaduan negara-negara Arab. Hari itu adalah Jumaat akhir Ramadan yang telah diisytiharkan oleh Ayatullah Khomeini, pemimpin Revolusi Iran pada tahun 1979 sebagai Hari Al-Quds. Ia merupakan hari memperbaharui azam bagi umat Islam di seluruh dunia untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis dan Palestin.

Antara kandungan 13 perkara tuntutan Arab Saudi dan sekutu-sekutunya itu ialah penamatan siaran stesyen televisyen al-Jazeera, penutupan pangkalan tentera Turki di Qatar, pemutusan hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, pemberhentian sumbangan kepada semua kumpulan yang disenaraikan oleh AS sebagai pengganas, ini bermakna termasuk Daesh, al-Qaeda dan Hamas, penurunan tahap hubungan dengan Iran, penamatan amalan pemberian kewarganegaraan Qatar kepada rakyat negara Arab lain dan pembayaran ganti rugi.


Kepentingan

Pada umumnya tuntutan itu mengkehendaki Qatar mengikuti jalur politik yang digariskan oleh GCC yang diketuai oleh Arab Saudi.Kandungan tuntutan ini tidak dikeluarkan secara rasmi tetapi diperoleh wartawan daripada salah sebuah negara yang membuat tuntutan itu. Pada umumnya tuntutan itu diilihat dibuat Saudi.

Ini kerana Riyadh yang memutuskan hubungannya dengan Doha. Tetapi Kaherah, Manama dan Abu Dhabi adalah negara sekutu yang segera menyahut seruan Riyadh untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha. Walaupun tuntutan itu dilihat daripada Riyadh, tetapi kandungannya turut mencerminkan kepentingan negara-negara sekutunya. Qatar tidak membuat respons segera.

Tetapi usaha dilakukan oleh Kuwait dan juga AS yang menghantar Setiausaha Negaranya, Rex Tillerson ke Doha bagi mencari penyelesaian krisis itu, melalui rundingan dan kompromi.

Qatar menafikan banyak dakwaan Saudi terutamanya dalam soal sumbangan kepada kumpulan pengganas. Doha pula mendakwa Riyadh cuba mengawal kedaulatannya melalui GCC dengan polisi luar yang seragam. Di Istanbul, selepas sembahyang raya, Erdogan tolak tuntutan supaya pangkalannya di ditutup dan akan tetap bersama Doha.

Mungkin akhirnya Doha akan akur pada kehendak Riyadh tetapi Qatar tidak akan tutup al-Jazeera. Mungkin komprominya ialah nada editorial dan pemberitaannya akan mengambil kira sensitiviti rejim-rejim Arab. Tetapi krisis diplomatik Riyadh-Doha ini bukan melibatkan dua negara saja. Ia juga berkaitan dengan keseluruhan rantau Timur Tengah yang pelbagai dimensi dan berakar dalam sejarah. Daripada perang saudara di Syria dan Yaman hinggalah membabitkan persaingan Saudi-Iran, Sunni-Syiah, Amerika-Rusia, Barat-Islam, Turki-Kurdis, Palestin-Israel, Zionis, Islam, Kristian, Yahudi, nasionalis kiri, monarkis, modernis, tradisionalis, sosialis, kapitalis, ekstremis, radikal, teroris, konservatif, sekularis, demokrat, aristokrat dan minyak.

Keadaan ekonomi, politik dan sosial juga sedang mengubah dunia Arab khususnya Saudi. Kejatuhan harga minyak yang berpanjangan menjejaskan pendapatan negara-negara pengeluar minyak. Bilangan penduduk yang meningkat, berpendidikan dan terdedah pada maklumat sejagat sedang mengubah corak sosial setiap negara. Perubahan ekonomi dan sosial pasti memberi kesan pada politik negara. Maka penggantian Putera Mahkota Arab Saudi pada 21 Jun, dua hari sebelum tuntutan itu dikeluarkan memberi makna baharu pada percaturan politik bukan saja pada negara itu, tetapi juga politik Timur Tengah.

Raja Salman ibni Abdelaziz yang berusia 81 tahun telah melantik puteranya, Mohammad bin Salman, 31, menggantikan anak saudaranya, Mohammad bin Nayef sebagai Putera Mahkota. Jawatan ini adalah kedua tertinggi di Arab Saudi. Penyandangnya adalah bakal raja dan akan bertindak sebagai pemangku pada keadaan tertentu. Jika akhirnya beliau menjadi raja, maka inilah pertama kali jawatan itu akan disandang putera kepada raja sebelumnya.

Ini kerana sebelumnya dalam amalan sistem beraja Arab Saudi, penggantinya adalah adinda kepada raja sebelumnya. Raja Salman menyandang jawatan itu sejak tahun 2015. Baginda menggantikan kekandanya, Abdullah ibni Abdelaziz yang memerintah dari tahun 2005 hingga 2015. Baginda memperkenalkan Majlis Baiah yang memberi persetujuan pada lantikan Putera Mahkota yang dilakukan oleh raja.

Sebelum Abdullah, Raja Arab Saudi ialah Fahd ibni Abdelaziz (sejak 1982), Khalid ibni Abdelaziz (sejak 1975), Faisal ibni Abdelaziz (sejak 1964), Saud ibni Abdelaziz (sejak 1953) dan Abdelaziz ibni Saud yang mengasaskan Arab Saudi setelah menyatukan kebanyakan wilayah di Semenanjung Arab.

Putera Mahkota Mohamad bin Salman yang menjadi Menteri Pertahanan sejak tahun 2015 dilihat mempunyai pendirian keras terhadap perang di Yaman. Maka ada pemerhati melihat pelantikan beliau itu menunjukkam bahawa Arab Saudi mengambil jalan tegas terhadap pihak-pihak yang tidak memihak padanya seperti Iran dan golongan Syiah. Maka dunia menjangka bahawa krisis dengan Qatar akan berpanjangan, melangkaui pemerintahan Raja Salman dengan beranggapan bahawa puteranya akan memainkan peranan besar.

Dalam keadaan ini, jika Qatar juga berkeras, maka pakatan Turki-Iran-Rusia akan mengukuh. Maka harapan para idealis Muslim yang mengimpikan perdamaian di rantau itu, umpamanya suatu Pax Arabica adalah fantasi politik semata-mata.