Rata-ratanya berkongsi pengalaman mereka sendiri yang tidak menyenangkan kerana terpaksa melalui jalan yang tidak rata, berlubang dan berbonggol-bonggol ekoran tampalan sesuka hati kontraktor.

Seperti penulis, kebanyakan yang memberi komen tinggal di bandar dan cukup jengkel dengan kualiti jalan raya yang tidak selayaknya.

Ramai yang mengaku malu tinggal di banda raya dan kota metropolitan, lebih-lebih lagi kalau ada tetamu dari luar negara berkunjung. Ramai juga berkongsi cerita se­lang sebulan ada sahaja kerosakan pada kenderaan mereka gara-gara terhentak ke dalam lubang atau terlompat bonggol yang tidak semena-mena muncul tanpa ada amaran papan tanda.

Tayar pancit tertusuk skru dan paku yang berkumpul dalam lubang jalan adalah perkara biasa. Sudah menjadi asam garam hidup di kota raya.

Yang malang sedikit, terutama penunggang motosikal, mungkin ‘terbang’ gara-gara mengelak lubang atau tidak sempat mengelak kenderaan di depan yang tiba-tiba melencung tanpa memberi signal juga kerana terkejut melihat lubang di jalan raya.

Hakikatnya bukan sedikit kemalangan yang berlaku berpunca daripada keadaan jalan yang tidak sempurna. Ada antaranya meragut nyawa.

Sesiapa yang biasa melalui perjalanan panjang balik kampung atau ke mana-mana destinasi di dalam negara (bukan melalui lebuh raya) pasti pernah berhadapan dengan pemandu lori dan bas yang dengan selamba memandu di lorong kanan.

Kenapa mereka memandu di lorong kanan? Tidak mungkin pemandu lori dan bas ini tidak faham bahasa dan tidak tahu per­aturan yang melarang mereka memandu di lorong kanan. Tidakkah mereka takut disaman ke­rana melanggar peraturan jalan raya?

Jawapannya, pemandu lori dan bas ini sengaja memandu di lorong kanan kerana mereka tahu lorong kiri rata-ratanya rosak, berlubang, beralun dan tidak rata - kerosakan yang antaranya disumbangkan oleh kenderaan berat dipandu oleh mereka juga.

Dan untuk soalan kedua, ya, mereka tidak takut disaman. Sebabnya mereka tidak memecut, hanya memandu di lorong kanan, cukup perlahan dan ‘bersopan-santun’. Tidak kisahlah pemandu kenderaan lain terpaksa mengekori panjang di belakang. Kalau tidak cukup sabar dan sanggup menanggung risiko kenderaan bergegar seperti menunggang kuda, bolehlah memotong di lorong kiri.

Pendek kata bercerita tentang kualiti jalan di negara kita, tak akan pernah habis. Umpama kisah 1,001 malam, ada sahaja sambungannya.

Apa yang ralatnya, dalam banyak-banyak komen yang penulis terima hasil Coretan Marhaen minggu lalu, maklum balas yang diharap-harapkan tidak pula menjelma.

Pihak berkuasa kita baik Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hanya membisu seribu bahasa.

Rungutan pengguna jalan raya khususnya warga kota umpama angin lalu yang berhembus di telinga dan tidak memberi kesan apa-apa. Adakah konsep rakyat didahulukan tidak lagi menjadi pegangan dalam perkhidmatan mereka? Lalu harus ke mana rakyat selaku pengguna hendak mengadu?

Pengguna jalan raya sebagai pembayar cukai jalan, berhak menikmati perkhidmatan yang sebaik-baiknya. Jika kualiti jalan masih teruk, kerana mereka pun tidak mengharapkannya sempurna, mungkin sudah sampai masanya cukai jalan dihapuskan bagi kenderaan pengguna.

Pada 19 November tahun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dipetik berkata: “Malaysia disenaraikan antara negara yang mencatatkan kemalangan jalan raya tertinggi di dunia tahun lalu.”

Sesiapa pun tahu ‘pencapaian’ itu bukanlah sesuatu yang membanggakan kita.

Sementara terdapat faktor-faktor lain sebagai punca kemalangan jalan raya di Malaysia antaranya kecuaian pemandu, cuaca dan kesesakan jalan raya, penulis yakin 100 peratus kualiti jalan raya juga menjadi penyumbang utama.

Mengikut satu kajian oleh Universiti Michigan, Malaysia adalah antara 25 negara paling berbahaya di dunia kepada pengguna jalan raya. Kita berada di tangga ke-17 daripada 194 negara yang dinilai. Negara kedua di Asia Tenggara yang termasuk dalam 25 negara teratas selain Thailand yang menduduki tempat kedua.

Sekali lagi ini bukan pencapaian bertaraf dunia yang harus kita banggakan.

Sementara kajian setakat ini mengaitkan statistik kemalangan dengan budaya pemanduan di Malaysia yang dikatakan antara yang tidak berhemah, kita tentu sahaja tidak mahu selepas ini jalan raya di negara kita pula disenaraikan sebagai antara yang paling tidak berkualiti di dunia. Impaknya kelak bukan sahaja menyusahkan rakyat bahkan menjejaskan imej negara di mata dunia.

Seorang senior penulis ketika mengulas tentang masalah kualiti jalan di negara kita membayangkan mungkin pihak ‘bertanggungjawab’ sama ada di peringkat Pusat atau negeri mahu menunggu pilihan raya umum untuk menyelesaikannya.

Benarkah? Jika benar, memang malanglah nasib pengguna jalan raya.