Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

JALAN dekat kawasan perumahan anda berlubang? Jalan raya ke tempat kerja anda penuh dengan tampalan? Tak rata? Eh, biasalah tu! Standardlah...

Mungkin itu jawapan yang anda terima jika cuba-cuba hendak mengadu tentang keadaan jalan raya di negara kita sekarang ini.

Setakat jalan berlubang di sini sana, atau penuh de­ngan tampalan tar mengikut ketebalan sesuka hati kontraktor, itu perkara biasa. Tidak ada yang pelik atau luar biasanya. Yang luar biasanya jika pemanduan anda lancar tanpa perlu mengelak lubang, longgokan pasir dan tompokan simen di atas jalan.

Sebab itu, asalkan tidak ada lubang besar, jalan mendap atau merekah sudah kira bagus. Jawapan bernada reda ini menunjukkan bahawa kebanyakan pengguna jalan raya sudah lali dengan keadaan jalan yang tidak berkualiti di negara kita. Bukan penulis hendak berlebih-lebihan namun itulah hakikatnya.

Masalah kualiti jalan ini bukan hanya menjadi igauan penduduk kampung atau pekan kecil serta kawasan pedalaman yang terpencil, bahkan agak pahit untuk ditelan, menghantui warga kota di bandar-bandar besar yang bertaraf bandar raya. Kuala Lumpur, Shah Alam dan beberapa ibu negeri lain di seluruh negara.

Melalui jalan yang berlubang, berlopak, bertampal-tampal atau berbonggol tanpa sebab, yang jika terlambat menekan brek boleh mengakibatkan rim kenderaan bengkok dan skru tertanggal, adalah pengalaman biasa bagi pengguna jalan raya di Malaysia. Sudah lumrah.

Yang tak biasa kita lihat sekarang ialah jalan raya de­ngan kualiti selayaknya seperti di negara membangun, bukan pun negara maju. Yang jalannya elok rata dengan warna tar hitam berkilat sekata. Yang tidak ada lubang dan lopak, bonggol tanpa sebab, atau tampalan mengikut suka kontraktor.

Sayangnya, hendak merasai pemanduan lancar di atas jalan raya yang bermutu dari segi penyenggaraannya seumpama mimpi. Sejurus terjaga jalan yang sama jugalah yang menanti kita. Yang terpaksa kita lalui saban hari ke tempat kerja. Atau yang terpaksa kita tempuhi dalam perjalanan panjang ke kampung.

Tampal hari ini esok berlubang lagi. Elok-elok bertar cantik esok lusa tak semena-mena dikorek. Ditar semula kali ini oleh ‘kontraktor pemurah’ yang menampalnya lebih tebal daripada sebelumnya.

Begitulah berulang-­ulang, berlarutan sejak sekian lama.

Masalah jalan raya berlubang dan ditampal sewenang-wenangnya ini bukan isu baharu. Sudah berbuih mulut pengguna, rakyat marhaen macam penulis membangkitkannya. Bahkan sudah jenuh juga media massa melaporkan isu yang sama.

Bukan sekali dua malah sudah berkali-kali isu jalan berlubang ini diketengahkan namun nampaknya umpama mencurah air ke daun keladi. Kecoh-kecoh di dalam akhbar, tular di laman sosial namun kemudian senyap begitu sahaja.

Seolah-olahnya segala rintihan dan keluhan pengguna jalan raya hanya masuk telinga kiri lalu keluar telinga kanan pihak berkuasa. Pihak yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kualiti jalan sama ada bertaraf persekutuan, negeri atau kerajaan tempatan seolah-olah tidak mengambil endah atas rungutan rakyat selaku pengguna jalan raya dan pembayar cukai jalan, yang terpaksa menem­puh bahaya setiap kali menggunakannya.

Yang dirungutkan itu bukan jalan kampung atau jalan estet bahkan jalan besar, di tengah-tengah bandar terma­suk ibu kota yang menjadi ibu negara Malaysia.

Jika tidak percaya, cubalah memandu di Jalan Chan Sow Lin, Jalan Sungai Besi dan Jalan Ampang di Kuala Lumpur atau susurilah Lebuh Raya Persekutuan. Kiralah berapa lubang, lopak dan tampalan yang ada. Kalau hendak merasai cabaran lebih hebat, cubalah pula memandu semasa hujan lebat iaitu ketika lubang dan lopak dipenuhi air, manakala bonggol dan tampalan tidak sekata ini tidak kelihatan pada mata kasar.

Kalau hendak jauh sedikit, cubalah memandu di Bandar Raya Shah Alam di Selangor, dan alami gegaran jalan berombak-ombak di Bulatan Universiti dan hampir semua jalan utama lain di Bandar Anggerik itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ada jalan di Malaysia sekarang ini yang kualitinya sama macam 20 tahun dulu, atau mungkin sahaja lebih teruk daripada itu. Hal ini kerana Malaysia 20 tahun lalu iaitu sekitar akhir 1990-an begitu pesat membangun sehinggakan kualiti jalan raya kita kerap menjadi rujukan tetangga kerana dikatakan antara terbaik di Asia Tenggara bahkan mungkin sahaja di Asia. Selepas Singapura, tidak ada negara yang mempunyai mutu jalan raya sehebat kita.

Malangnya entah di mana silapnya, kualiti jalan raya kita sejak kebelakangan ini bukannya semakin baik sebaliknya bertambah merosot. Penulis percaya kita ada kepakaran dan mereka yang berkemahiran untuk memastikan kualiti jalan kita berada dalam keadaan terbaik, setaraf dengan status negara maju yang hendak dicapai tidak berapa lama lagi.

Buktinya apabila ada orang kenamaan hendak melawat sesuatu kawasan, pada waktu itulah kita akan me­nyaksikan jalan di sekitarnya berubah wajah seperti yang kita idam-idamkan - tidak ada lubang, rata dan cantik sekata turapan tarnya.

Agaknya di Malaysia ini, satu-satu penyelesaian kepada masalah jalan tidak rata, berlubang dan penuh tampalan tidak sempurna ialah menjemput orang besar atau kenamaan mengadakan lawatan ke satu-satu kawasan. Jika mereka selalu turun padang, mungkin tidak ada lagi jalan yang berlubang.

Lebih elok, apa kata sekali-sekala tinggalkan driver, cuba pandu sendiri ke selatan menyusuri jalan pesisir pantai dari Klang ke Sabak Bernam, Selangor. Cubalah! Rasai sendiri pengalam­an jalan bergegar dan pada masa sama, uji skill mengawal stereng mengelak lubang.

Selamat merasa!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain