Tidakkah mereka tahu bahawa perbuatan menyebarkan gambar atau video jasad mangsa tragedi seumpama itu adalah haram hukumnya di sisi Islam kerana tindakan itu membuka aib mangsa, mencarik maruahnya serta meresahkan ahli keluarga dan warisnya?

Bercakap mengenainya, penulis teringat rayuan dibuat Irwan Kamarudin yang meminta jasa baik pihak terbabit agar berhenti menyebarkan gambar dan video rakaman rompakan yang mengorbankan nyawa isteri­nya, Norazita Abu Talib pada 23 Oktober 2013.

Memetik kenyataan Irwan, tindakan pihak terbabit yang menyebarkan imej kematian ngeri isterinya dengan kesan tembak di kepala bukan sahaja tidak menghormati sensitiviti malah menambah keperitan dia sekeluarga yang sedang bersedih dengan pemergian arwah.

Dalam kejadian pukul 6.18 petang, Norazita yang juga pegawai operasi Ambank maut akibat ditembak di bahagian kepalanya dengan senjata api jenis pump gun oleh pengawal keselamatan bank itu sendiri di Jalan USJ Sentral 2 sebelum melarikan sejumlah wang dari bilik kebal bank itu.

Penulis masih ingat beberapa jam selepas kejadian itu, gambar di tempat kejadian yang menunjukkan mangsa berpakaian baju kurung merah terbaring dengan wajah yang mengerikan akibat terkena tembakan tersebar di laman-laman sosial.

Tidak terkecuali foto-foto dan video korban tragedi kren runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 107 jemaah berlaku di Masjidilharam, Mekah, pada 11 September 2015 juga bertebaran di laman-laman media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Sebenarnya dalam hukum Islam, penyebaran gambar-gambar jasad tidak bernyawa itu bukan sahaja mengaibkan si mati bahkan boleh mengundang pelbagai persepsi daripada orang ramai.

Sedangkan mayat yang dalam keadaan sempurna pun kita dilarang untuk menyebarkannya inikan pula gambar mangsa rentung. Sebagai masyarakat Muslim, usahlah memuat naik sebarang video, dan kongsi gambar mayat yang sudah sedia ada di laman sosial.

Bayangkan orang ramai berpusu-pusu mengambil gambar ibu, ayah, abang, kakak, adik, isteri atau anak anda terlibat dalam kemalangan tanpa rasa bersalah dan kemudian memuat naik di Facebook dengan tajuk sensasi untuk meraih Like dan Share banyak. Apa perasaan anda?

Lebih ‘sadis’ apabila jiran dan saudara mara menokok tambah cerita hasil gambar dan video mayat keluarga anda dengan kata-kata seperti “Dengarnya kepala mangsa putus” dan “Teruk ke mayat accident tu? Mesti banyak dosa mati macam tu...”

Berbalik kepada penyebaran gambar dan video mayat rentung pelajar tahfiz baru-baru ini, penulis tertarik de­ngan kecaman netizen @Mafas Hasan yang berkata:

“Aku pelik dengan orang yang share status menyatakan kesedihan berikutan tragedi kebakaran sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dalam masa sama share gambar mangsa di media sosial dan grup wassap tanpa memikirkan kesedihan keluarga mangsa!

“Semua suka share untuk tujuan menjadi yang pertama melaporkan kononnya, anda menuduh media mainstream tidak beretika, tetapi anda membuktikan anda bukan seorang manusia dan tiada perasaan sebenarnya. Lebih baik letak jawatan sebagai seorang manusia...”

Syariat agama mengajar umat Islam untuk selalu menjaga kehormatan orang yang sudah mati sebagaimana ketika mereka masih hidup kerana mereka juga mempunyai hak untuk dilindungi. Apabila seseorang mati akibat kecelakaan, yang tinggal hanyalah jasad kaku mereka bergelimpangan di tempat kejadian tanpa boleh bergerak untuk menutup segala keaiban dirinya.

Biarpun ada pihak bertegas tiada hukum haram berkaitan penyebaran gambar mayat, namun Rasulullah SAW ada menyatakan hal tentang hukum membuka aib orang iaitu: “Barang siapa yang menutup (aib atau cacat) seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim)