Dalam berhadapan dengan musibah dan ujian ini, ada dua perkara utama yang perlu diberi perhatian terutama oleh mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat-pusat pemindahan. Yang pertama, jaga solat.

Aspek ini amat perlu diberi perhatian kerana segala yang berlaku adalah dengan izin Allah. Maka, sebagai hamba dan insan yang lemah, kepada Allahlah tempat kita berlindung daripada segala musibah dan bermunajat agar banjir pulih seperti sediakala. Sepatutnya, makin kita diuji, makin kita rapat dengan Allah untuk mengadu nasib dan memohon pertolongan daripada-Nya.

Sifat orang beriman adalah menunaikan perintah Allah ­iaitu solat fardu tidak kira dalam ada situasi sekalipun. Pendek kata, selagi hayat dikandung badan, selagi itu kita wajib solat. Hanya orang gila terkecuali ­perintah solat fardu. Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Pena diangkat daripada tiga golongan: Orang tidur sampai dia terbangun, anak kecil sampai dia dewasa (dalam riwayat yang lain: sampai dia baligh), dan dari orang gila sampai sedar kembali akalnya. (Riwayat Muslim)

Jangan pula kita hanya jaga santapan jasmani seperti ‘makan, tidur’ di pusat pemindahan tetapi mengabaikan santapan rohani iaitu solat dan pelbagai ibadat sunat lain termasuk membaca al-Quran dan berzikir.

Semestinya, suasana di pusat pemindahan sementara tidak seselesa berada di rumah. Selalunya, mangsa-mangsa banjir ditempatkan di dewan orang ramai. Jadi, ia tidak berdinding. Kalau ada pun hanya, petak-petak yang berlangsir. Walaupun demikian, menjadi kewajipan kita memastikan aurat terus terjaga lebih-lebih lagi ramai wanita dan anak-anak remaja di situ. Kepada golongan bapa, walaupun bahagian atas badan bukan aurat tetapi kalau tinggal di dewan, jangan pula berlenggeng menayang aset ‘pjk’ - perut jauh ke hadapan.

Aspek kedua yang sering terlepas pandang adalah mengambil mudah bab aurat. Memanglah kita berada dalam keadaan sulit dan adakalanya ditambah dengan suasana panas di dewan menyebabkan ada yang ambil ringan bab aurat bak kaum lelaki ataupun kaum wanita.

Aurat diambil daripada perkataan Arab, aurah yang bererti keaiban. Dalam istilah fikah pula aurat bermaksud bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan. Di dalam Islam ada beberapa keadaan yang mana kita dibenarkan membuka aurat kepada orang yang tertentu. Umumnya, aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut manakala aurat wanita pula adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Jangan kita pandang ringan bab aurat ini kerana padah membuka aurat menyebabkan kita diseksa dalam neraka Allah kelak. Justeru, walaupun agak kurang selesa dengan ke­adaan di PPS, jangan ambil ringan hal ini. Sebenarnya, dalam keadaan krisis atau kesulitan, barulah kita tahu di mana kedudukan iman kita. Sama ada ia meningkat atau menurun.

Sebabnya dalam keadaan biasa semasa waktu senang kita tidak ada masalah menutup aurat. Sebaliknya, dalam diuji dengan situasi banjir ini, siapa yang mampu mempertahankan perintah Allah barulah dia dikira sebagai orang beriman. Ini ditegaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji? (al-Ankabut: 2).

Justeru, janganlah kita alpa melaksanakan tanggungjawab kepada Allah dalam setiap masa walau di mana kita berada. Dosa meninggalkan solat amat berat hukumannya iaitu di­seksa dalam neraka Saqar. (rujuk al-Muddatsir: 42-43)