Bagi para peniaga tidak kira di pasar-pasar malam atau medan selera, biasanya waktu maghriblah ramai pelanggan. Walhal sejak operasi berniaga dimulakan pukul 6 petang, pe­langgan boleh dibilang dengan jari. Namun, apabila masuk waktu maghrib, jumlahnya berlipat kali ganda. Justeru syaitan ‘membisikkan’ kepada golongan peniaga: “layanlah dulu, bukannya lama. Kalau ditinggalkan untuk solat, hilanglah pe­langgan seterusnya hasil berniaga merosot”.

Sebab itu, kita menyambut baik tindakan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menghentikan operasi medan selera dan pasar malam selama 15 minit semasa solat maghrib secara berperingkat mulai 2019. Cadangan itu hanya dilaksanakan setelah medan selera atau pasar malam tersebut mempunyai kemudahan tertentu seperti surau, tandas dan tempat wuduk.

Setakat ini, medan selera di Jerteh dekat Besut telah me­laksanakan kempen itu bermula 15 Syawal lalu. Dalam kempen melibatkan 17 peniaga di medan selera Jerteh itu, mereka menutup kedai 15 minit sebelum azan maghrib dan kembali beroperasi selepas menunaikan solat 10 minit kemudian.

“Peniaga hanya perlu menutup kedai mereka selama 15 minit dan maklum balas daripada peniaga medan selera itu adalah positif dan pelanggan juga memahami dan menghormati waktu solat tersebut,” kata Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini A Rahman.

Kalau di Mekah dan Madinah, suasana begini bukanlah asing. Setiap kali waktu berkumandangnya azan, para peniaga sekitar kawasan berkenaan akan menghentikan operasi masing-masing. Mereka bergegas ke masjid. Sebilangan kedai itu hanya ditutup dengan kain atau dibungkus dengan plastik. Namun, barang dagangan mereka tidak hilang.

Inilah tindakan yang betul dan patut dibuat oleh semua orang Islam. Ramai dalam kalangan kita yang memohon dimurahkan rezeki dan berusaha bekerja atau berniaga siang malam tetapi malangnya melanggar perintah Allah. Ramai yang menggantung ayat ‘1,000 dinar’ di premis perniagaan mereka kononnya untuk beroleh rezeki melimpah ruah. Yang menghairankan, ada dalam kalangan mereka hanya menggantung bingkai ayat tersebut tetapi tidak solat, menipu timbangan dan tidak jujur dalam muamalat.

Petua berjaya dalam perniagaan sudahpun ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah seorang usahawan yang hebat semasa menjalankan perniagaan yang diamanahkan oleh Siti Khadijah yang ketika itu masih belum baginda kahwini. Petuanya adalah jujur dan amanah.

Sebagai hamba yang serba daif, kita sepatutnya memohon kepada Allah yang Maha Kaya dan Pemberi Rezeki. Perniagaan yang berkat adalah yang patuh syariah dan mengutamakan kewajipan diperintahkan Allah. Antaranya kunci rezeki adalah solat di awal waktu dan tunaikan solat sunat duha selain mencontohi sifat baginda SAW dalam bidang perniagaan.

Mintalah bantuan Allah dalam segala hal. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Ankabut: 62)