Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM (depan) yang diiringi Pengarah Urusan
ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM (depan) yang diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah (dua dari kiri) bersalaman dengan para jemaah haji sebelum mereka menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor, pada 24 Julai lalu. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

TAHUN lalu, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dihubungi oleh seorang jemaah haji Malaysia dari Tanah Suci.

Entah bagaimana dia mendapat nombor telefon beliau, jemaah terbabit memaklumkan dirinya menghadapi masalah besar - gagal mengeluarkan wang tunai dari sana.

Abdul Azeez mendengar keluhannya, lantas meminta pegawai Tabung Haji memeriksa identiti jemaah haji berkenaan dalam senarai sistem jemaah haji Malaysia. Namanya tiada dalam sistem.

“Sebab itu saya minta mana-mana bakal jemaah haji kita supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pakej haji yang macam-macam tiba di penghujung menjelang Hari Wukuf ini. Tabung Haji tidak mahu berulang kejadian ada jemaah pergi tanpa pengetahuan TH Travel dan 19 agensi yang berdaftar di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH).

“Dikhuatiri mereka ini nanti tidak boleh keluarkan duit atau menerima rawatan di hospital-hospital di Tanah Suci kerana tidak dapat dikesan dalam sistem jemaah Tabung Haji.

“Meskipun anda pergi menggunakan visa Furada (visa persendirian), sila buat pengesahan dahulu dengan mana-mana cawangan Tabung Haji dan ne­geri,” kata Abdul Azeez kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pendedahan yang dibuat Abdul Azeez terhadap insiden berkenaan bukanlah isu baharu. Insiden-insiden sama pasti berulang jika jemaah ambil sikap sambil lewa.

Menjelang penerbangan ter­akhir jemaah haji Malaysia berlepas 26 Ogos ini, dipercayai percubaan mengaut untung daripada mereka yang menaruh harapan tinggi untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pasti akan terjadi.

Cuma kalau berlaku insiden terkandas terutama gagal mengeluarkan wang di Mekah atau Madinah dan tidak dirawat di hospital di sana, yang buruknya nanti akhir­nya terpalit kepada Tabung Haji dan kerajaan.

Ini kemudian akan ‘menjangkit’ ke isu lebih besar melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan sedangkan keakraban Kuala Lumpur-Riyadh kini berada pada landasan yang tepat dan tahap membanggakan.

Abdul Azeez menarik perhatian, lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini Februari lalu jelas menunjukkan kedua-dua negara saling menghargai hubu­ngan yang terjalin sekian lama itu.

Lawatan itu tidak sekadar mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam semua aspek hubu­ngan dua hala berkaitan ummah, ekonomi, politik dan keselamatan, lebih dari itu mencerminkan hasil perkongsian nilai dan aspirasi dalam memupuk perpaduan ummah.

“Hubungan antara rakyat Malaysia dan Arab Saudi sendiri telah terjalin jauh sebelum tertubuhnya Malaysia. Malah, perkembangan ilmu Islam di Malaysia pada awal kurun ke-20 dipengaruhi oleh perkembangan ilmu dari Arab Saudi.

“Sejak sedekad lalu pula, Malaysia telah menjadi destinasi pelancongan dan pendidikan untuk rakyat Arab Saudi. Ramai rakyat Arab Saudi datang ke Malaysia untuk bercuti dan belajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta negara ini.

“Tidak kurang juga ramai rak­yat Malaysia menetap di Arab Saudi sebagai pekerja profesional terutama dalam sektor mi­nyak dan gas serta bidang kewa­ngan dan perubatan,” kata beliau.

Malaysia sememangnya negara penting dalam radar geostrategik Arab Saudi dengan memperluaskan hubungan luar dan berkongsi pengalaman dalam pelbagai isu dan kepakaran se­perti ekonomi dan pertahanan.

Riyadh dan Kuala Lumpur juga saling be­kerjasama dan membantu antara satu sama lain termasuk meme­rangi keganasan dan Islamfobia.

Situasi geopolitik Asia Barat pada masa ini turut mendorong kedua-dua negara meneroka kerjasama dalam bidang ketente­raan.

Justeru tegas Abdul Azeez, insiden seperti ‘tawaran pakej haji murah yang dari RM50,000 dikurangkan sehingga RM15,000’ dan isu penipuan terhadap bakal jemaah bukanlah isu ‘remeh’ yang harus dipandang ringan.

“Ia soal reputasi Tabung Haji itu sendiri. Banyak negara yang mahu mencontohi kaedah Tabung Haji menguruskan jemaah haji kita. Ini sehinggakan saya dimaklumkan ada rombo­ngan jemaah haji dari sebuah negara di Afrika yang kembali di negara mereka terus buat tunjuk perasaan mendesak negara mereka tiru macam Tabung Haji,” kata beliau.

Abdul Azeez memberitahu, masalah visa yang dihadapi sebilangan bakal jemaah Malaysia baru-baru ini turut mengundang perhatian serius Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu ia diselesaikan segera.

“Alhamdulillah sudah selesai,” kata beliau sambil menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi berikutan langkah-langkah keselamatan yang diperketatkan untuk musim haji kali ini.

Kata Pengerusi Tabung Haji itu lagi:

“Saya dimaklumkan pemeriksaan keselamatan melibatkan pihak imigresen dan ketenteraan pada musim haji kali ini diperketatkan dengan kawalan di setiap sudut.

“Apa pun, Tabung Haji berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang mengambil langkah proaktif dalam saringan ke­selamatan terhadap jemaah haji dari seluruh dunia.

“Hubungan Kuala Lumpur-Riyadh menempuh era baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri dengan semangat silaturrahim yang erat hasil kunjungan Raja Salman Februari lalu.”

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain