Berkempen adalah salah satu budaya kehidupan manusia hari ini, ketika manusia sedang berusaha untuk menonjolkan atau menyokong pemimpin, mencari sokongan pengundi, menunjukkan ketokohan diri atau mempromosi kebaikan diri, parti atau organisasi. Bagaimanapun, dalam usaha meraih sokongan dan undi, ia tidak boleh terkeluar daripada adab-adab Islam.

Menjaga pertuturan atau memelihara lidah adalah antara perkara yang utama dalam hidup ini. Rasulullah SAW bersabda kepada Muaz bin Jabal r.a: “Mahukah kamu kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara tersebut?”. Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah”. Lalu baginda memegang lidahnya seraya bersabda: “Kamu mesti menjaga ini!”. Aku bertanya: “Wahai Nabi Allah! Adakah kita akan dibalas (dipersoalkan) dengan apa yang kita pertuturkan?”.

Baginda menjawab: “Celakalah kamu! Tidak ada yang menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas muka mereka – dalam riwayat yang lain disebutkan di atas hidung mereka – melainkan hasil tuaian ini adalah lidah mereka?”. (Riwayat at-Tirmizi)

Antara adab Muslim dalam berkempen adalah:

* Jauhkan ucapan berbentuk maki hamun, mengutuk dan mendedahkan aib peribadi seseorang. Dalam berkempen kita perlu mengawal lidah dengan sebaik-baiknya. Seorang Muslim yang baik peribadinya tidak akan berkata perkara-perkara su’u dzon, dusta, memfitnah, berbohong atau menokok-tambah keaiban seseorang yang tidak ada pada dirinya.

Ini diingatkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah sifat banyak syak wasangka kerana sebahagian syak wasangka itu perbuatan dosa. Janganlah kamu mencari-cari ke­salahan orang lain dan janganlah ada sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah seseorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentulah kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (al-Hujurat: 12)

* Para penyokong dan calon yang mengedar manifesto dan bahan kempen hendaklah menyampaikannya de­ngan penuh akhlak seorang Muslim. Hal ini amat penting kerana saat-saat genting seperti ini, semuanya menjadi sensitif. Sangat mudah tercetusnya suasana yang tidak baik jika kita sama-sama tidak mengawalnya, mungkin boleh mengundang pergaduhan, kutuk mengutuk, memfitnah, mendedahkan aib dan sebagainya.

Dalam hal ini ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya, Allah akan menutup aibnya di dunia dan hari akhirat.” (Riwayat Muslim)

n Jangan melampau sehingga melanggar batas-batas Islam semasa berkempen dan pilihan raya sehingga membawa kepada perbalahan dan pergaduhan sesama sendiri. Pilihan raya itu lima tahun sekali. Jangan ia menjadi sebab putusnya silaturrahim sesama Muslim. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (al-Hujurat: 10)

* Jangan bersubahat dan mengampu berlebihan terutama dalam hal-hal yang membawa kerosakan dan maksiat. Allah merakamkan dialog pengampu-pengampu yang menyesal di akhirat menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka berkata sesungguhnya kami telah taat pemimpin-pemimpin kami dan pembesar-pembesar kami. Maka mereka menyesatkan kami. Wahai Tuhan kami, timpakan ke atas mereka azab yang berganda dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar.” (al-Ahzab: 67-68)

* Matlamat tidak menghalalkan cara. Oleh itu, jangan mensabotaj, khianat, memfitnah dengan menyebarkan surat-surat dan gambar-gambar palsu (super impose) dan risalah-risalah berbentuk dakwaan semata-mata. Ingatlah, bahawa setiap tuduhan jika palsu akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat. Janganlah menuduh dalam sesuatu yang tak pasti.

Hukumnya boleh jatuh dalam kategori dosa fitnah yang dosanya lebih besar daripada membunuh.

Bagaimanapun, mendedahkan kesalahan individu yang rasuah disertai bukti-bukti kukuh tidak dilarang. Ini kerana orang awam perlu tahu akhlak seorang pemimpin yang hendak dipilih.