Bukan juga beliau tidak mengingatkan pengundi di kawasannya dan UMNO Bahagian tetangganya agar sentiasa berwaspada dengan orang yang akan datang ketika pilihan raya - untuk me­nebar janji-janji memikat nafsu.

Mereka sanggup buat apa saja janji kerana tahu tidak akan dapat menubuhkan kerajaan yang akan bertanggungjawab menunaikan janji-janji itu. Mereka berharap menang di beberapa kawasan untuk kepentingan diri sendiri.

“Bukan saya tidak pernah bangkitkan pepatah Inggeris ini, Beware of Greeks bearing gifts atau “Berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah”.

“Tapi perkara lebih besar lagi yang cukup saya risaukan ialah unsur ‘api dalam sekam’ yang berkemungkinan ada dalam ka­langan segelintir ahli dan pe­mimpin UMNO ini.

“Ketua Bahagian barangkali tak tahupun ada kalangan ahli jawatankuasa Bahagian (AJK) atau Cawangan yang bermuka-muka ini. Ketika kita sibuk menarik sokongan satu kaum di sana untuk kembali menyokong kita dengan mengatur pelbagai strategi dan program.

“Atau semasa kita memikirkan boleh kembali atau tidak sokongan mereka ini kepada Barisan Nasional (BN), kita terlepas pandang akan kumpulan ‘api dalam sekam’ ini, yang ‘berpakaian’ UMNO tapi jiwa dan undinya untuk pihak sana,” kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kata Mustapa Kamal, beliau terpanggil menarik perhatian itu kerana baru-baru ini beliau sendiri terpaksa buka ‘bunga silat’ dengan seseorang yang pernah bertanding jawatan Timbalan Ke­tua UMNO Bahagian (Bukan Bahagian Seputeh) yang rupa-rupanya ‘si kitol’ besar.

“Mesej-mesej dalam aplikasi WhatsApp yang tiba pada saya daripada individu itu penuh de­ngan ayat dan perkataan berbaur kebencian dan sinikal terhadap UMNO dan pemimpinnya.

“Saya cakap dengan dia, tak usahlah kau hantar benda bukan-bukan ini pada aku, aku ini orang UMNO dan apa yang kau hantar ni semua (fakta) tak betul.

“Selepas saya ingatkannya ja­ngan kurang ajar, dia kemudian hantar mesej akhir dengan memberitahu ‘500 ahli UMNO Bahagian itu akan keluar UMNO sertai parti bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)’,” kata Mustapa Kamal lagi.

Kata Mustapa Kamal, sama ada benar atau tidak dakwaan individu terbabit yang juga meme­gang jawatan nombor dua dalam cawangan berkenaan ketika itu, UMNO tidak harus pandang enteng ancaman tersebut.

“Di setiap Bahagian UMNO mungkin ada ahli yang kecewa, terasa ditinggalkan dan tiada tempat dalam bahagian. Sebab itu PPBM diberi kerusi terbanyak hingga 52 kerusi untuk ‘mengaburi mata’ ahli UMNO. Kalau menang, dia boleh jadi ‘PM sementara’ kononnya untuk ‘ahli UMNO terbabit’ bertaut.

“Inilah yang ada dalam benak fikiran DAP...kenapa mereka le­takkan Dr. Mahathir sebagai calon PM atau kenapa tidak ha­nya beri satu dua kerusi bertan­ding. Ini kerana harapan parti itu sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus pengundi Melayu akan menyokong Pakatan Harapan.

“Katakan Pas tidak bertan­ding di kawasan menyaksikan BN berlawan dengan calon pembangkang, persoalannya adakah ahli atau pengikut Pas akan beri undi kepada BN? Mungkin peringkat atas (Pas) sahaja yang ada hubu­ngan baik dengan kepemimpinan UMNO tetapi akar umbi mereka, kita tak tahu. Jadi, ‘mereka dalam UMNO yang berperilaku api dalam sekam’ inilah yang kita risaukan,” kata Mustapa Kamal.

Dalam aspek ini, kata beliau, UMNO Bahagian harus mengenal pasti siapa si ‘api dalam sekam’ terbabit yang mungkin ‘hadir ke mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian sebagai spy.

Kata Mustapa Kamal: “Ada satu kes seorang anak AJK Bahagian kahwin. Peliknya, dia tak jemput pun pemimpin Bahagian ke majlis itu...khabar-khabar Dr. Mahathir datang ke majlis kahwin anak dia...macam mana tu?”

Sewajarnya, kata beliau, ahli UMNO mengekang gejala ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’, kelak habis terbakar seluruh rumah.

“Sikap sakit hati ini tidak ada penamat selagi kiamat tak sampai...tak ada jawapan perasaan itu. Kalau nak ikutkan sakit hati, Malaikat pun boleh tidak sujud kepada Allah kerana Nabi Adam dijadikan dari tanah, tetapi kenapa Malaikat sujud kecuali Iblis.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat ‘sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi, mereka berkata, mengapa Engkau hendak menjadikan (kha­lifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah. Padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” - Al-Baqarah: 30.”

Mustapa Kamal menyeru mereka yang tersasar dari perjuangan parti terutama si ‘api dalam sekam’ supaya kembali ke pangkal jalan, dengan menitipkan judul dan lirik lagu berikut:

 

HATI KAMI (Lirik Lagu Bimbo)

Robbana

Ya Tuhan kami

Bersihkanlah hati kami

Dari noda iri dan dengki

Dari cacat, angkuh dan sombong

Robbana

Ya Tuhan kami

Sembuhkanlah hati kami

Dari sifat tipu dan dusta

Dari cacat, ujub dan ridah

Mulut kami suka betul bergunjing sepanjang hari

Mulut kami senang betul menyakiti hati kawan sendiri

Robbana

Ya Tuhan kami

Bersihkanlah hati kami

Dari noda, ujub dan riya

Robbana

Ya Tuhan kami.