Walaupun gejala tersebut menyumbang kepada kegiatan jenayah yang lebih meluas, namun statistik jenayah tahunan di negara ini tetap menurun tahun demi tahun.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, AZIAN AZIZ, NURFARAHIN HUSSIN dan NURAINA HANIS ABDUL HALIM dengan Ketua Polis Negara, TAN SRI MOHAMAD FUZI HARUN mengenai transformasi PDRM sempena sambutan Hari Polis ke-212, hari ini.

UTUSAN: Setelah lebih 20 tahun bertugas dalam PDRM, apakah perbezaan ketara yang berlaku dalam corak jenayah di negara ini?

MOHAMAD FUZI: Jika dahulu, kita sentiasa menangani jenayah konvensional yang tidak merumitkan, namun dengan perubahan teknologi masa kini, kegiatan jenayah menjadi semakin rumit dengan ledakan teknologi terutamanya penggunaan media sosial.

Seperti yang kita sedia maklum, sudah banyak jenayah menggunakan media sosial terutamanya penipuan berlaku dan bukan hanya membabitkan mangsa domestik, malah bersifat rentas sempadan dan antarabangsa yang sekali gus memberikan cabaran baharu kepada PDRM.

Apakah contoh jenayah yang menjadi lebih rumit dalam era globalisasi ini?

Contoh yang paling jelas adalah jenayah berkaitan judi. Dahulu, perjudian hanya menggunakan daun terup atau lain-lain tetapi sekarang perjudian boleh dilakukan secara dalam talian sekali yang sangat mudah kerana pemain boleh bertaruh ketika berada di mana-mana sahaja.

Ini juga menyumbang kepada peningkatan penipuan komersial seperti Love Scam, Parcel Scam dan lain-lain yang turut berlaku secara dalam talian. Selain itu, pengganas juga tidak lagi menyebar fahaman menerusi usrah atau kelas agama kerana dengan teknologi kini mereka tidak perlu lagi berjumpa secara fizikal dan hanya perlu mempengaruhi dan merekrut anggota baharu menerusi media sosial seperti Facebook.

Apakah tindakan PDRM dalam menangani jenayah yang semakin merumitkan ini?

Melihat kepada perubahan corak jenayah yang semakin rumit ini, anggota dan pegawai polis perlu sentiasa melengkapkan diri dan merangka pelbagai bentuk persiapan untuk menghadapi ancaman dalam jangka masa panjang.

Kita perlu mengemaskini kemampuan kita untuk mengesan perkara yang kita tidak pernah fikirkan boleh berlaku sebelum ini. Ini antara cabaran serius yang dihadapi PDRM dan kita perlu bersiap-siaga dengan teknologi-teknologi tertentu dan memperluas jaringan kerjasama dengan pasukan keselamatan negara lain juga.

Daripada semua jenayah yang disebutkan, jelas penipuan siber adalah yang paling tinggi. Apa cadangan PDRM bagi memastikan kegiatan ini dibanteras?

Jenayah ini adalah satu contoh corak jenayah yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. Kini, hampir setiap hari ada sahaja mangsa yang ditipu khususnya pesara dan warga tua sehingga jumlah kerugian mencecah bilion ringgit. Dalam menjalankan siasatan jenayah penipuan siber, kita perlu bekerjasama dengan pembekal perkhidmatan bagi mendapatkan maklumat. Jika tidak, akan ada kelompongan dalam menangani isu ini kerana kemampuan kita terhad.

Selain itu, mengikut statistik, kira-kira 99 peratus yang terlibat adalah warga Afrika jadi kita cadangkan pihak kerajaan memperketatkan pengeluaran visa terhadap warganegara terlibat kerana mereka bukan datang ke negara ini untuk belajar atau bekerja tapi untuk menjalankan kegiatan penipuan.

Bagaimana pula dengan kadar jenayah negara dan persepsi rasa selamat masyarakat?

Kita boleh dikatakan berjaya dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini dan sejak 10 tahun lalu, kadar jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 58.3 peratus. Ini bermakna kadar jenayah menurun setiap tahun.

Bagaimanapun, persepsi rasa selamat rakyat masih menjadi persoalan kerana kita mengesan keyakinan rakyat belum mencapai tahap yang memuaskan. Disebabkan itu kita melantik satu badan bebas dalam usaha mencari penyelesaian terhadap perkara ini.

Kita juga berusaha merapatkan hubungan dengan masyarakat menerusi program Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) antaranya melantik pegawai polis terpilih sebagai pegawai perhubungan di sekolah-sekolah dan lebih 6,000 rumah ibadat di seluruh negara.

Apakah ucapan dan harapan Tan Sri terhadap warga PDRM dalam menyambut Hari Polis ke-212 hari ini?

Harapan saya agar pegawai dan anggota PDRM bersih serta tidak terlibat dalam masalah integriti dan rasuah. Ini juga merupakan fokus dan harapan saya sejak mula dilantik menerajui pasukan.

Isu rasuah seakan menjadi barah yang perlu dielakkan oleh seluruh warga PDRM kerana menjadi penghalang kepada kepemimpinan yang baik, sekali gus menjejaskan prestasi di semua peringkat.

Bagi saya, rezeki yang diterima seseorang itu lebih dari mencukupi, cuma seberapa baik cara kita mengurusnya. Mungkin saya tidak berjaya 100 peratus mengekang gejala rasuah dalam pasukan, namun ada petunjuk positif ke arah itu.

Saya berharap warga PDRM sentiasa ikhlas dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang supaya masyarakat dan negara ini kekal selamat pada setiap masa.