Begitu juga dalam soal makanan, kita percaya sesebuah kedai itu milik orang Islam jika digantung ayat suci al-Quran. Malangnya kita ditipu malah ada pula video terdapat kedai yang menghidangkan daging biawak. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut wartawan Utusan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), DATUK NADZIM JOHAN tentang isu ini. Berikut adalah sedutan wawancara dan untuk video penuh boleh tonton di Utusan Online.

Keadaan sekarang tidak memihak kepada pengguna Islam malah dilihat ditindas. Sampai bila nak jadi begini?

NADZIM JOHAN: Sebenarnya apa yang berlaku pada hari ini adalah manifestasi akibat kelemahan diri kita sendiri. Kita lemah, tak sedar, kita gagal melindungi maruah dan ia meliputi semua aspek. Sebenarnya, kalau nak kembalikan hak kita, perlu ada pegangan.

Pegangan perlu datang dari diri kita, keluarga dan seterusnya dipanjangkan kepada orang di sekeliling, ke kampung bandar dan seterusnya. Tapi pada hari ini kita lihat terlalu banyak kelompongan dalam hal penjagaan keluarga. Tapi apapun, kita pada hari ini berada di persimpangan.

Kita boleh pilih, sama ada nak berjaya atau nak hancur. Pada saya kalau umat Islam nak berjaya kita semua kena bersatu. Kita bercakap tentang realiti, tiada isu rasis kerana saya sendiri dan anak-anak belajar dan bersekolah di sekolah Cina. Kita kena faham bahawa jika melibatkan isu maruah, tak kiralah hal individu ke atau orang Melayu, kita kena pertahankan.

Saya ambil contoh, kerajaan terdahulu, peruntukan untuk bantu peniaga dan usahawan Melayu/Islam beratus juta mungkin bilion. Semua agensi telah buat kerja, MARA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tapi masih gagal hasilkan peniaga yang betul-betul berjaya. 


Perlukah tindakan boikot peniaga yang tamak ini dilakukan. Kita bukan rasis tetapi sudah sampai masanya untuk bangun membela pengguna Islam itu sendiri?

Tabiat kita pada hari ini mungkin dipengaruhi oleh diri sendiri, termasuk pendidikan atau agenda. Kita kena bina dan buat sesuatu untuk bawa kesedaran.

Misalnya kalau nak beli mi, carilah pengeluar Islam. Bukan tidak ada. Jakim ada keluarkan sijil halal, tapi pada prosesnya sahaja. Bukan saya tidak setuju, tapi kita perlukan pemantauan yang lebih teliti dan menyeluruh. Dan kita gunakan sijil halal ni sebagai dakwah.


Sudah lama sebenarnya perjuangan menyokong produk Melayu Muslim ini dilakukan tetapi hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kenapa jadi begini?

Hari ini kita kena buat sesuatu untuk bantu peniaga Islam. Kita patut beli daripada peniaga Islam supaya peniaga ini boleh bayar zakat dan dengan zakat itu bantu asnaf.

Tapi jika tak buat sesuatu untuk perubahan kecuali kita suka dihina dan biarkan diri dihina maka jadilah kita mengikut jalan yang dibina oleh musuh Islam. 


Orang kata susah nak lawan kapitalis, tetapi apakah rata-rata orang Islam itu sendiri peduli . Bila agaknya kita nak sedar?

Kapitalis itu yang mengawal sesuatu dan keadaan. Yang membuat keputusan bagi pihak kita, dan kita biarkan saja asalkan dapat untung. Kita telah sampai pada satu senario yang mana kita telah jadi begitu lemah.

Jadi kena buat sesuatu dan perbetulkan keadaan itu. Kita tak boleh biarkan sahaja. Masalah ini tidak akan berhenti dan berterusan selagi kita tidak jaga hati dan tidak berubah.

Jadi jika nak perbetulkan keadaan, mulakan perubahan itu, kena buat dengan betul dan ia perlu datang dari hati kita.

Sekarang ini kedai mamak pun sudah tak boleh percaya. Terdapat kes penipuan termasuk meletak ayat suci al-Quran tetapi pemilik dan pekerja bukan Islam. Apa komen Datuk?

Dalam kes kedai mamak ni kita bezakan. Orang India ada yang beragama Hindu, Kristian dan Islam. Mereka yang beragama Islam kita panggil mamak dan mereka banyak membuka kedai makan, kedai runcit dan sebagainya.

Mereka memang berpegang pada Islam tetapi biasalah ada kelemahan tertentu seperti orang Islam lain juga. Tapi kita kena sedar jika makan di kedai orang Islam mereka perlu bertanggungjawab.

Sebagai contoh jika pergi ke kedai runcit si Ali dan dia jual bahan tercemar, maka dia kena jawab dan bertanggungjawab.

Mungkin bila kita mati nanti mereka kena menjawab penipuan dilakukan terhadap kita. Dalam hal ini mungkin ustaz-ustaz boleh jelas lebih lanjut.Tapi jika peniaga itu bukan Islam dan menjual hidangan daging lembu tetapi sebenarnya biawak, apa boleh kita lakukan. Apakah mereka akan menanggung dosa yang dilakukan.

Itu sebabnya saya tekankan kita kena bertanggungjawab dan dalam hal ini kena cari peniaga orang Islam kerana mereka bertanggungjawab sehingga mereka mati nanti.

Selain itu, mereka juga membayar zakat yang boleh dikongsi dengan mereka yang memerlukan.

Dalam isu membabitkan sijil halal. Siapa yang perlu bertanggungjawab sebenarnya?

Dalam hal ini Jakim hanya menjamin ia halal jika benar-benar didaftarkan tapi kita tak tahu jika ada kedai yang menggunakan sijil halal palsu. Kita perlu bertanggungjawab lakukan kajian dan cari kedai yang betul-betul mempunyai sijil halal.

Ada kedai yang pamer sijil halal dah tamat tempoh atau menipu. Bagi saya dalam hal ini kita kena cemburu dengan apa yang kita nak makan, jangan main ambil saja. Kalau nak jadi manusia yang hebat dan bermaruah kena memilih dalam soal makan tak bolehlah main belasah sahaja. Kena jaga dan jadilah seorang yang bermaruah.

Siasat kedai yang kita nak makan milik siapa, ada sijil halal yang disahkan atau tidak. Jangan terus makan sahaja.

Jika begini sikap kita tidak hairanlah mereka pun tak hormat kerana kita tak serius melakukan kajian dan bertanggungjawab terhadap apa yang dimakan. Kita sekarang dilihat lemah kerana tidak ada prinsip. Maka kita tak boleh nak salahkan sesiapa kerana kelemahan ini berpunca daripada diri sendiri.

Apakah orang Melayu tidak serius tentang perniagaan halal serta kepenggunaan atau sekadar bermusim berbanding Barat?

Orang Melayu perlulah bersungguh dalam soal ini dan bagi saya kita boleh banyak belajar dengan Global Ikhwan.

Bagaimana mereka boleh meniaga sehingga ke seluruh dunia. Mungkin mereka ada formula yang betul dan berjaya dilakukan berbanding kita yang mendakwa hebat dan betul tetapi sehingga sekarang tak tau ke mana hala tuju. Mereka boleh berniaga hingga ke Eropah, Australia dan sebagainya.

Saya ingin mengetengahkan hal ini kerana kalau boleh kita belajar daripada mereka. Kalau kita belajar cara orang Cina meniaga termasuk menipu dan sebagainya kenapa tak boleh belajar dengan Global Ikhwan.

Sampai bila nak jadi begini dan kita semakin jauh dalam soal perniagaan dan kepenggunaan berbanding kaum lain di negara ini.-UTUSAN ONLINE