Lebih mengejutkan, kedua-duanya dikenali dalam kalangan rakan sebagai individu yang mengamalkan gaya hidup sihat. Sekadar ‘mengintai’ rutin di Facebook, si arwah boleh dikatakan seorang yang hardcore dalam menyertai acara larian maraton.

Sementara, si sahabat yang saya kenali sejak kira-kira 13 tahun lalu pula, seorang yang sangat menjaga pemakanan. Ulam-ulaman menjadi sajian kegemaran, selain rajin membuat workout walaupun mata dah tak larat nak buka, tetap gagah membuat senaman.

Namun, siapa sangka, kedua-duanya ‘tewas’ dengan ketentuan-Nya apabila masing-masing menghidap pe­nyakit yang sangat ditakuti wanita itu. Bagi orang yang liat bersenam macam saya ini tak tahulah pula apa ‘bahagian’ yang bakal diterima kelak.

Biarpun kanser adalah satu daripada lima punca utama kematian di Malaysia dengan sebanyak 12 peratus kematian dilaporkan di hospital kerajaan setiap tahun, namun kesedaran orang ramai khususnya wanita menjalani pemeriksaan kesihatan masih rendah.

Dilaporkan pada 2012 sahaja, kerajaan membelanjakan RM100 juta untuk membeli ubat-ubatan bagi merawat pesakit-pesakit yang menghidap kanser payu dara, paru-paru, kolorektal, hidung, limfoma, serviks dan prostat di hospital kerajaan.

Dengan kempen-kempen yang giatkan dijalankan Kementerian Kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya yakin kesedaran orang ramai berhubung kanser sudah mening­kat, setidak-tidaknya mereka tahu kanser kini boleh dicegah.

Cumanya, tidak ramai yang berkemampuan melakukan pemeriksaan kesihatan intensif berkualiti seperti mana dianjurkan bagi mengesan masalah kesihatan termasuk kanser. Bayangkan, pakej pemeriksaan kesihatan paling murah pun mencecah lebih RM300.

Itu baru kos pemeriksaan, belum lagi termasuk kos rawatan jika didiagnos positif menghidap kanser. De­ngan bebanan kos sara hidup semakin tinggi, sudahnya ramai yang terpaksa melupakan hasrat untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital-hospital.

Memetik laporan kajian The George Institute for Glo­bal Health, kira-kira 75 peratus pesakit kanser berdepan dengan ancaman bencana kewangan dalam jangka waktu setahun selepas didiagnos.

Kajian juga menunjukkan hampir 88 peratus pesakit kanser yang didiagnos pada kali pertama berada di tahap dua hingga empat manakala 12 peratus sahaja yang didiagnos masih di tahap satu.

Difahamkan, rata-rata kos rawatan untuk kanser payu dara boleh mencecah antara RM45,000 hingga RM60,000 setahun di Malaysia. Dan pesakit dengan pendapatan kurang daripada RM4,400 sebulan akan mengalami kesukaran menampung pembiayaan rawatan penyakit mereka. Jika pun mampu membeli insu­rans kesihatan, namun ia tidak meliputi kanser.

Sedangkan kanser telah dikenal pasti penyebab kematian utama di seluruh dunia dengan 8.2 juta kematian pada 2012 manakala cabaran kanser di Asia Tenggara adalah ketara dengan 70 peratus kematian global dalam dua dekad akan datang diramalkan dalam kalangan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Jujur kata, saya sendiri berasa agak perit kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli insurans kesihatan meliputi kanser. Nak kata mampu, tak juga. Kenalah ikat perut sikit. Disebabkan itu saya ditegur rakan kerana ‘gila’ membeli insurans kesihatan, namun dipekakkan sahaja telinga.

Cuma satu yang saya nak syorkan iaitu polisi insurans kesihatan kanser sedia ada perlu menyediakan kemudahan untuk pelanggan melakukan pemeriksaan kesihatan berkualiti di mana-mana hospital. Bukan apa, sudahlah bayar tiap-tiap bulan tetapi tak boleh mendapat manfaat daripadanya (jika bebas daripada penyakit kanser).

Orang kata mencegah itu lebih baik. Dengan kemudahan sedemikian, sekurang-kurangnya pengesanan awal dapat dilakukan. Sudah tiba masanya kanser dilihat sebagai isu nasional, justeru sebarang kajian membabitkan kebajikan masyarakat berhubung perkara itu harus dipertimbangkan.