Ulama berselisih pendapat dalam hal ini. Ada yang mengharamkan dan ada pula yang mengharuskannya.

Namun, keharusan itu mestilah disertai dengan syarat-syarat berikut:

(a) Sambutan tersebut dilakukan atas asas uruf (kebiasaan) atau adat, bukannya dianggap suatu upacara keagamaan.

(b) Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang biasanya mendorong kepada maksiat terutama kes-kes khalwat dan perzinaan.

(c) Tidak dicampur-adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam.

(d) Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syarak contohnya dianjurkan majlis ilmu.

Namun yang dibimbangkan, sejarah menunjukkan sambutan tahun baharu selalunya menatijahkan perkara tidak baik. Dalam sambutan tahun baharu 2017 di Pulau Pinang, sejumlah 45 individu ditahan berkhalwat dalam Operasi Ambang Tahun Baharu oleh Jabatan Hal Eh­wal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bermula pukul 6 petang. Daripada jumlah tersebut lebih 80 peratus adalah remaja.

Itu cerita di Pulau Mutiara. Negeri-negeri lain pun tidak banyak beza. Masih ada yang menjadikan sambutan ambang tahun baharu sebagai tempat melampias nafsu pasangan ke­kasih tidak kira yang muda atau tua.

Sebabnya, JHEAIPP turut memberkas pasangan ‘kekasih tua’ yang berusia 59 tahun dan berstatus suami dan isteri orang.

Insiden-insiden sedemikian amat membimbangkan. Sebabnya berkhalwat itu adalah ‘bunga-bunga’ kepada berlakunya zina. Inilah perbuatan keji yang amat dilarang oleh Islam kerana ia merosakkan nasab keturunan.

Kita pun tahu hadis yang mengatakan apabila berdua-duaan lelaki dan wanita, syaitan adalah orang ketiga. Allah SWT melarang keras perbuatan zina sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’: 32)

Dalam membahaskan ayat ini, Ibn Kathir dalam tafsir-nya menyatakan, Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. [Rujuk Tafsir al-Azim (5/72)]

Jelaslah maksud ‘jangan mendekati’ dalam al-Quran menunjukkan bahawa semua perbuatan yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan mesti dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dari 2005 hingga 2015.

Menurut Kementerian Kesihatan, bilangan kes kehamilan remaja yang belum berkahwin bagi 2012 hingga 2015 ialah 16,270. Data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bagi tempoh sama, terdapat 526 kes pembuangan bayi.

Antara punca masalah akhlak ini adalah pergaulan bebas bukan mahram yang antaranya turut disumbangkan oleh sambutan-sambutan seperti tahun baharu dan ambang merdeka.

Justeru, semua pihak terutama ibu bapa perlu bersama-sama berganding bahu membetulkan keadaan. Jangan dibiarkan anak-anak perempuan bebas keluar berpacaran dengan lelaki bukan mahram, waima atas apa alasan sekalipun.

Sambutan ambang tahun baharu pula perlu diberi nafas baharu dengan tidak lagi me­ngadakan konsert hiburan semata-mata. Sebaliknya ia boleh diimbangi dengan lagu-lagu patriotik, puisi dan gurindam yang membangkitkan sema­ngat kenegaraan dan mengajak masyarakat berubah kepada lebih baik.

Sambutan yang menghidang­kan arak juga patut dihentikan walaupun ia tidak melibatkan orang Islam. Sebabnya, arak itu adalah kunci kejahatan. Orang yang minum arak didapati apabila mabuk, mudah me­lakukan kejahatan dan maksiat berterusan tanpa rasa bersalah di samping pelbagai masalah kesihatan yang dihadapinya.

Ingatlah pesan Saidina Ali Abi Talib: “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama ke­a­daannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam.”