Dia bukan sahaja menghisap bahan terlarang itu, malah turut menjualnya ketika belajar di tingkatan empat di sebuah maktab yang terkenal dengan peraturan dan disiplin yang ketat.

Hashim bagaimanapun tidak pernah kantoi sepanjang dua tahun menuntut di situ kerana tahu bagaimana cara menyembunyikan bahan itu ketika ‘spot-check’ dilakukan.

HASHIM ‘kantoi’ ketika melancong ke Thailand bersama keluarga.
HASHIM ‘kantoi’ ketika melancong ke Thailand bersama keluarga. 

Dia turut mendedahkan ramai dalam kalangan pelajar di maktab itu menghisap ganja yang dicampur dalam tembakau rokok.

“Daripada kira-kira 200 orang dalam satu ‘batch’ saya, satu perempat daripada pelajar mengambil dadah.

“Memandangkan saya seorang yang menjual, jadi saya kaut banyak untung,” katanya.

Katanya, aktiviti dadah yang dijalankan bermula sejak bersekolah di kampung asalnya di Pasir Mas, Kelantan.

“Pasir Mas merupakan antara lubuk dadah dan ramai anak muda terjerumus.

“Keliling rumah saya ada sahaja tokan dadah. Jadi, senang nak cari sumber. Kawan-kawan saya yang bekerja dengan kerajaan, jadi askar, polis dan bomba pun jual dadah,” katanya.

Wujudnya amalan rasuah dan kurang kawalan daripada pihak penguatkuasaan memberi ruang kepadanya dan rakan-rakannya menjual dadah secara berleluasa di Pasir Mas.

“Bahan mentah dibeli dari Burma sebelum dibawa masuk ke Thailand dan terus ke Malaysia. Memang selalu lepas dengan pihak kastam. Dengan mereka, kami pandai ‘kawtim’. Polis daerah juga senang nak berurusan.

“Sebahagian daripada mereka terlibat dengan dadah. Cuma kami takut pada polis Bukit Aman yang tegas dan mempunyai integriti yang tinggi.

“Meskipun saya berjaya menyambung pelajaran di peringkat diploma kejuruteraan mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pulau Pinang pada tahun lalu, namun kegiatan menjual dadah masih berterusan di Pasir Mas yang diuruskan orang bawahan.

“Di universiti saya tak jual. Cuma hisap sahaja,” katanya yang kini dibuang universiti kerana memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang sangat rendah.

Tambahnya, alasan dia menjual dadah adalah bagi mengelakkan perbuatannya dihidu kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai guru.

“Kalau saya minta duit dalam jumlah yang banyak daripada ibu bapa, pasti mereka mengesyaki ke mana duit itu dibelanjakan. Jadi, saya cari duit sendiri dengan menjual dadah bagi menampung perbelanjaan beli rokok dan dadah.

“Sepanjang melakukannya, keluarga tidak pernah tahu. Malah garaj rumah menjadi tempat saya beroperasi juga tidak pernah terbongkar. Mereka bukan jenis tidak mengambil tahu aktiviti atau tidak kenal siapa kawan saya. Namun, gerak-geri saya tidak pernah menunjukkan saya seorang penagih.

“Saya hanya kantoi ketika melancong bersama keluarga di Thailand. Masa itu, kami baru hendak melepasi sempadan. Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melihat muka saya dan boleh agak saya seorang penagih.

“Ujian air kencing dilakukan dan keputusannya adalah positif. Keluarga terkejut ,” katanya.

Keluarganya menghantarnya ke Pondok Inabah pada September lalu bagi menjalani pemulihan.