Kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu me­ngandungi lebih 6,000 ayat dalam 114 surah adalah panduan dan petunjuk kepada manusia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Alif, Laam, Miim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang ­datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa”. (al-Baqarah: 1-2)

Memang pelik apabila orang Islam yang beriman dengan al-Quran tetapi tidak berusaha mempelajari dan mengamalkan suruhan atau lara­ngan yang terkan­dung di dalam wah­yu Allah itu. Le­bih malang, ada insan yang boleh menghabiskan novel setebal ratusan muka surat sehari tetapi tidak mampu untuk membaca walaupun satu muka surat al-Quran. Walhal Nabi SAW dalam sabda­nya menyebut: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Inilah antara sebab diwujudkan World#QuranHour (WQH) yang masuk tahun ketiga penganjurannya kali ini. Menurut pengasasnya, Datuk Hussamuddin Yaacob, pada tahun lalu WQH berjaya mencapai 357 juta tontonan dari seluruh dunia berbanding pada 2016 yang mana program berkenaan ditonton oleh 87 juta sahaja.

Justeru, program dakwah WQH anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyasarkan 400 juta hingga satu bilion tontonan di media sosial.

“Untuk mencapai sasaran sedemikian memerlukan gabungan sinergi pelbagai organisasi terutama media cetak dan elektronik dalam menyebarkan objektif WQH kepada masyarakat. Selain itu, dengan gabungan pelbagai pihak termasuk rakan penganjuran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dapat mengharungi cabaran dan menangkis tohmahan negatif untuk melaksanakan program dakwah,” kata beliau.

Analoginya, majoriti pemandu kenderaan hari ini menggunakan aplikasi Waze atau Google Map menuju destinasi masing-ma­sing. Tujuannya mengelak daripada sesat dan agar sampai paling cepat ke destinasi. Tanpa bantuan aplikasi tersebut, berkemungkinan pemandunya sesat jalan dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Malah ada yang takut masuk ke ibu negara tanpa Waze atau Google Map kerana kebergantungan mereka kepada aplikasi tersebut di dalam telefon pintar masing-masing.

Malangnya, ‘ketakutan’ akan sesat di jalan raya tidak berlaku kepada sebahagian umat Islam. Mereka tidak meneroka khazanah ilmu yang terkandung dalam al-Quran. Golongan ini menganggap al-Quran hanya ritual. Dibaca malam Jumaat, itupun surah Yasin ataupun dibaca dalam bulan puasa dan semasa berlaku kematian.

Tidak ada kerisauan pada golongan begini yang manusia juga akan sesat dalam melayari kehidupan di dunia. Kalau sudah sesat di dunia pastilah natijahnya lebih buruk di akhirat kelak apabila dicampak dalam neraka Allah. (nauzubillah).

Tahun ini WQH menjadikan surah al-Hujurat mulai ayat 1 hingga 18 sebagai temanya pada 7 Jun bersamaan 22 Ramadan ini. Taglinenya ‘Interaksi Dengan al-Quran, Baca; Faham; Amal’. Hasratnya untuk anjakan paradigma umat Islam seluruh dunia melalui al-Quran iaitu tadabbur dan tazakkur sehingga lahir akhlak muslim sejati.

Surah itu dipilih kerana ia signifikan dengan potensi dan peranan media sebagai medi­um­ penyampaian maklumat te­pat. Lebih-lebih lagi dalam era masyarakat lebih mempercayai berita dalam laman-laman sosial walaupun sebelum tabayyun (diselidik) berbanding dalam media massa arus perdana. Ini juga sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang ­kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (al-Hujurat: 6)

Bertepatan dengan itu, pada 30 Januari lalu, kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk memben­dung berita palsu di negara ini. Diharap ia dapat dimukta­madkan dan seterus­nya dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 5 Mac ini.

Lebih penting, 18 ayat pertama surah ini memberi panduan agar kita tidak memandai-mandai menyebar informasi di samping beretika dalam bermasyarakat mengikut panduan yang ditetapkan dalam agama. Islam mengajar umatnya bertanya kepada yang ahli (berpengetahuan) jika ada masalah atau buntu mencari penyelesaian.

Antara penekanan dalam a­yat ke-10 surah al-Hujurat adalah kedudukan istimewa orang beriman itu sebagai bersaudara. Justeru sebarang pertikaian, pergeseran dan perselisihan perlulah diselesaikan secara musyawarah bukannya sehingga berpatah arang berkerat rotan. Sebagai manusia pasti ada perbezaan pandangan dalam hal-hal berkaitan hubungan sesama insan. Pendek kata, carilah persamaan dan bukannya perbezaan.

Persaudaraan sesama mukmin ini pula ditegaskan lagi menerusi ayat 13 yang bermaksud: Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Me­ngetahui lagi Maha Mengenal.

Ayat ini mengajak umat Islam agar saling berkenalan dan belajar memahami antara satu sama lain. Kehebatan seseorang itu bukan terletak kepada kebangsawanan atau keturunan dan kekayaannya. Sebaliknya, yang paling mulia adalah mereka yang bertakwa iaitu yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Hal ini pula mesti melibatkan hubungan dengan Allah (hablum minallah) dan juga dengan manusia (hablum minannas).

Kita hendaklah mempe­la­jari al-Quran, memahami dan me­ngamalkannya. Lihatlah contoh terbaik akhlak Rasulullah yang di­katakan seperti al-Quran. Insan sempurna yang penuh de­ngan hikmah sehingga berjaya menyebarluaskan dakwah dan cahaya Islam ke seluruh pelosok dunia.

Lebih utama adalah pesanan Nabi SAW dalam hadisnya yang bermaksud: Telah aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, sekali-kali kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunnah Rasulullah SAW”. (Riwayat Imam Malik)