Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MENURUT ahli arkeologi dan sejarah, bahasa Melayu te­lah lama digunakan oleh pedagang-­pe­dagang Cina, India dan Arab di Kepulauan Melayu: sejak zaman Kedah Tua, Champa, Srivijaya dan Melaka. Mubaligh dan guru mengguna bahasa Melayu untuk mengajar dan menulis kitab-kitabnya dalam jenis tulisan yang diguna pada masa itu: sanskrit, pallava, jawi (Arab) dan kemudian rumi (roman) untuk dibaca oleh murid-murid mereka.

Sejak 1500, bangsa-bangsa Eropah (Portugis, Belanda, Inggeris) mula berlumba-lumba datang ke India dan Timur untuk ber­dagang mencari kekayaan di Alam Melayu. Awal 1500-an Portugis terdahulu sampai berdagang di Melaka. Kemudian untuk memonopolikan perdagangan, mereka menawan kota Melaka pada 1511. Pedagang-pedagang lain, terutama Belanda dan Inggeris, turut datang berdagang di Malayo Country (Ta­nah Melayu) dan Kepulauan Melayu dalam abad ke-16 ke-19.

Apabila bangsa Eropah ini berdagang di Kepulauan Melayu, mereka mendapati bahasa Melayu digunakan di pangkalan dan di pusat perdagangan ini untuk urusan perniagaan, berunding dan menulis perjanjian. Terdapat persaingan antara mereka untuk meningkat dan mengawal perdagangan di rantau ini. Untuk ini Belanda belajar bahasa Melayu, dan pedagang Inggeris juga belajar bahasa Melayu.

Salah satu bukti yang jelas dalam hal ini ialah sebuah kamus yang berjudul A Dictionary, English and Malayo, Malayo and English oleh Thomas Bowrey yang diterbit di London pada 1701. Mungkin ramai tidak tahu tentang kewujudan kamus Inggeris-Melayu tua ini: kamus pertama dalam Bahasa Melayu yang pernah disusun dan diterbitkan, dalam huruf rumi.

Ramai pengkaji mungkin menganggap kamus bahasa Melayu Dictionary of the Malayan language oleh William Marsden (1826) terawal. Kamus English and Malayo (1701) ini disusun oleh Thomas Bowrey, seorang pelayar dan pedagang Inggeris yang ­bekerja dengan Syarikat Inggeris India Timur sekitar 1670-80-an, di rantau Kepulauan Melayu.

Bowrey perhatikan “ ... in all the the islands of Sumatra, Java, Borneo, Maccassar, Balee, Cumbava, Sallayer, Bootoon, Booro, Ceram and Mollucas the Malay language is received and generally used in all the Trading Ports of those islands.” Ertinya bahasa Melayu adalah lingua franca perdagangan di Kepulauan Melayu.

Apabila pulang ke England pada 1688, beliau mula menyusun kamus ini berdasarkan catatan dan ingatannya tentang bahasa Melayu. Beliau berpendapat hasil usahanya ini akan membantu pelayar dan pedagang Inggeris untuk berdagang di Kepulauan Melayu, mengguna bahasa Melayu sebagai bahasa untuk berbicara dan berunding.

Beliau menghuraikan bagaimana dia menyusun kata-kata, menterjemah dan menggubal sendiri sistem ejaan dan transliterasi perkataan Melayu ke dalam huruf rumi (Roman-Inggeris) untuk dipelajari oleh pedagang EIC Inggeris. Untuk membantu mereka belajar bahasa Melayu dengan berkesan, beliau juga memasukkan contoh-contoh frasa dan ayat Inggeris dan terjemahannya ke dalam bahasa Melayu. Inilah satu kaedah belajar bahasa asing yang praktikal, mudah dan cepat.

Jelas kamus ini adalah bukti bahawa bahasa Melayu adalah bahasa lingua franca perdagang­an di Kepulauan Melayu; dan masyarakat Melayu tempatan adalah juga pedagang-pedagang yang aktif berdagang dengan pelbagai bangsa termasuk Inggeris, mengguna bahasa Melayu.

Satu tabiat pelayar, pedagang dan pengembara Inggeris adalah mereka mencatat apa yang mereka perhati, bertemu dan lakukan. Kemudian mereka menulis buku dan artikel dalam jurnal sebagai koleksi ilmu bagi bacaan dan rujukan orang lain. Dengan itu, ilmu bertambah dan bertimbun.

Kamus ini adalah sumbangan Bowrey. Beliau seorang patriotik, dan dengan rela menyusun sebuah kamus, disokong oleh EIC, untuk faedah pedagang atau pelayar mereka di Kepulauan ­Melayu yang dianggap dunia penting untuk mengaut keuntungan bagi bangsanya.

Di manakah boleh dilihat naskhah asal A Dictionary, English and Malayo oleh Thomas Bowrey ini? Di Kedai Buku Pustaka SanMin Sdn. Bhd. Tanjung Malim, Perak. Tuan punya kedai buku ini menyimpan naskhah asal. Beliau seorang collector buku-buku lama. Penulis membeli salinan foto kamus Bowrey ini daripadanya pada 2008 semasa menjadi pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kemudian penulis membuat salinan dan menyerahkan kepada perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, perpustakaan UPSI dan perpustakaan Universiti Malaya untuk rujukan. Ahli-ahli pengkaji linguistik bahasa Melayu tentu berminat untuk mengkaji kan­dungan kamus ini, kaedah penyusunannya dan transliterasi perkataan bahasa Melayu ke dalam huruf rumi: penulis fikir usaha pertama ‘merumikan’ ejaan perkataan Melayu.

Bahasa Melayu sebagai lingua franca Kepulauan Melayu disedari oleh pejuang-pejuang kemerdekaan di du­nia Melayu: misalnya oleh Jose Rizal (­Filipina) dan Sukarno. Sumpah Pemuda (Indonesia) 1928 oleh Sukarno dan rakan-rakan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai ‘Satu Bahasa, Bahasa Indonesia’.

Ini satu cetusan yang menyemarak perjuangan menya­tukan pelbagai bangsa dan etnik di Indonesia, membentuk nasionalisme Indonesia dan negara bangsa Indonesia. Ia juga mencetus perkembangan kesusasteraan Indonesia moden yang segar, dan bahasa pemikiran dan pengucapan ilmu yang lancar oleh pelbagai ilmuwan dan warga.

Malaysia dan Indonesia sepanjang lebih 50 tahun lalu telah ba­nyak berpakat dan berjaya menye­ragamkan hal-hal bahasa Me­layu, misalnya dalam sistem ejaan, tatabahasa dan istilah, di sam­ping memperkayakannya dengan pelbagai ilmu moden. Kedua-dua negara sebenarnya telah kukuh membentuk sistem pendidikan berasaskan bahasa Melayu ­moden. Apa yang perlu adalah sepakatan yang lebih erat, dan keterbukaan yang lebih mudah dan luas untuk kedua-dua negara ini memajukan negara dengan acu­an budaya yang telah kukuh ini.

DATUK ISAHAK HARON ialah Profesor Emeritus dan Felo Penyelidikan Kanan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain