Selain kenderaan nasional itu, Ahli Dewan Undangan Ne–geri (ADUN) Sikamat yang mengetuai pentadbiran negeri selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) turut mempunyai aset dalam bentuk tanah, saham serta wang simpanan bernilai lebih RM886,000.

Semakan di portal itu menunjukkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional negeri, Choo Ken Hwa memiliki aset bernilai RM421,500, iaitu paling sedikit dalam 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri atau Exco yang membuat pengisytiharan harta. Antara lain ADUN Lukut itu direkodkan memiliki sebuah rumah di Port Dickson, sebuah kereta Honda City (RM50,000) serta Proton Wira (RM2,500).

Dalam kalangan pemimpin negeri ini, Nicole Tan Lee Koon (Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan) adalah ‘paling berharta’ apabila mengisytiharkan aset milik beliau dan suami bernilai lebih RM6 juta.

Butiran-butiran menarik itu boleh diteliti orang ramai di portal tersebut selepas kerajaan PH mengotakan janji supaya menteri besar dan barisan Exco mengisytiharkan harta apabila menerajui negeri ini pada 9 Mei lalu.

Maklumat berhubung aset 10 Exco kecuali ADUN Paroi, Mohamad Taufek Abd. Ghani yang adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan telah dimuat naik di portal itu sejak beberapa minggu lalu. Sehingga semalam, paparan itu telah dilihat lebih 55,000 kali oleh pengunjung.

Pengisytiharan harta itu adalah salah satu janji PH dalam manifesto PRU-14 dan antara yang terawal dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbirannya di Negeri Sembilan. Ia terkandung di bawah satu daripada 10 tawaran utama kepada rakyat bagi mewujudkan pentadbiran telus dan berintegriti di negeri ini. Jika kebiasaannya Exco hanya mengisytiharkan harta kepada menteri besar, pentadbiran baharu ini turut berkongsi maklumat yang diperoleh dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Institut Integriti Malaysia bagi menjamin ketelusannya. Selain itu, pengisytiharan berkenaan akan dibuat setiap tiga tahun dan bakal diperluaskan kepada semua ADUN.

Bukan sekadar itu, kerajaan pimpinan Aminuddin yang pernah berkhidmat sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah turut memaparkan semua maklumat harta pemimpin yang merupakan kali pertama dilakukan di negeri ini.

Ini mengikut jejak langkah pengisytiharan terbuka beberapa pemimpin PH seperti Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad yang dibuat melalui inisiatif Invoke Malaysia tidak lama dahulu.

Selama ini mempertontonkan nilai aset yang dimiliki pemimpin di portal dan media sosial bukan amalan dalam sejarah pentadbiran kerajaan negeri mahupun Pusat. Atas dasar ketelusan perkara itu sewajarnya dialu-alukan bagi menunjukkan kesanggupan mereka yang terlibat untuk dipertanggungjawab atau dipantau semua pihak, tidak kira kawan mahupun lawan.

Pendekatan itu dapat memastikan mereka yang dipilih memikul amanah rakyat sentiasa sedar bahawa mereka boleh di­semak dan dipersoalkan jika hidup mewah melebihi kemampuan yang diisytiharkan sebelum ini.

Ia mungkin tidak akan menyelesaikan 100 peratus isu penyelewengan dalam kalangan mereka yang berada di tampuk kuasa, tetapi setidak-tidaknya menjadi benteng menyekat bi­bit-bibit rasuah daripada bercambah.

Rakyat sudah masak benar dan telah banyak melihat mereka yang biasa-biasa sebelum mendapat kuasa, namun hidup um­pama putera raja selepas beberapa tahun bergelar wakil rakyat. Rekod berhubung pemilikan aset dan harta ini boleh dijadikan rujukan untuk menilai mana-mana pemimpin sekiranya terdapat tanda-tanda dia tidak jujur dalam mengumpul harta.

Bagaimanapun, dokumen pengisytiharan harta semata-mata tidak bermakna kalau tiada ketegasan dalam menghukum pemimpin yang dikesan terpalit salah laku. Jika ini berlaku ia dilihat sekadar gimik murahan meraih sokongan rakyat.

Untuk makluman juga, portal rasmi kerajaan Negeri Sembilan akan memaparkan pengisytiharan harta hanya untuk tempoh tiga bulan. Rakyat negeri ini masih mempunyai masa untuk menyemak aset wakil rakyat masing-masing dengan melayari www.ns.gov.my.