Masakan tidak, ini kerana larangan itu boleh berlaku di sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Sebuah negara yang mana Islam itu telah diangkat sebagai Agama bagi Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia bukan sebuah negara sekular jauh sekali li­beral, sebaliknya Malaysia adalah sebuah negara Islam. Justeru larangan seumpama itu dilihat cuba mencabar ketinggian kedudukan Islam di negara ini.

Yang pasti, larangan bertudung yang kononnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan polisi amalan antarabangsa itu jelas tidak menghormati undang-undang tertinggi di negara ini. Bukan itu sahaja larangan itu juga bertentangan dengan hak kebebasan beragama dan hak asasi manusia.

Secara peribadi Kalam sungguh hairan dengan keadaan yang berlaku itu. Ketika pihak Barat yang dikatakan begitu hebat memperjuangkan hak asasi manusia, tiba-tiba ada pula di antara mereka mengeluarkan SOP dan polisi seumpama ini. Sudah terang lagi bersuluh yang SOP dan polisi tersebut adalah satu bentuk diskriminasi kepada wanita Islam yang bertudung.

Bagaimanapun agak malang, dakwaan diskriminasi itu segera dinafikan oleh Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee dalam satu kenyataannya kepada sebuah portal berita sebelum ini.

Kata Swee Hee, ayat diskriminasi (isu larangan bertudung) tidak boleh digunakan kerana larangan tersebut adalah sebahagian daripada polisi antarabangsa. Ini yang Kalam katakan pelik tapi benar. Mustahil MAH tidak tahu, bertudung dan berhijab itu adalah kewajipan dalam Islam. Ini soal fundamental atau asas dalam Islam.

Ini bukan perkara sunat tetapi melibat hukum wajib. Malah dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah MAH sendiri terdapat beberapa orang Melayu yang sudah tentu lebih faham tentang hukum bertudung serta menutup aurat dalam Islam.

Dalam isu ini, MAH sepatutnya boleh memberi pandangan agar segala SOP dan polisi yang menjadi amalan khususnya di hotel-hotel bertaraf antarabangsa di negara ini tidak bertentangan dengan Islam serta Perlembagaan Persekutuan. Atau dengan kata lain MAH boleh menjadi badan penasihat kepada hotel-hotel antarabangsa terlibat.

Walaupun setengah daripada jumlah keseluruhan ahli lembaga pengarah MAH bukan penganut Islam tetapi Kalam percaya mereka amat memahami tentang adat, budaya Malaysia serta amalan Islam di Malaysia.

Sebab itu MAH perlu lebih berperanan dalam memahamkan hotel-hotel antarabangsa ini terutama tentang sensitiviti masyarakat negara ini apatah lagi jika melibatkan soal hukum-hakam serta kepentingan Islam seperti kewajipan memakai tudung dalam kalangan wanita Islam.

Dalam pada itu Kalam amat mengalu-alukan ketegasan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung isu ini dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia Ahad lalu terutama komitmen beliau mengekang perbuatan diskriminasi ini melalui peruntukan undang-undang.

Isyarat yang diberikan oleh beliau cukup jelas. Mohamed Nazri sememangnya mahu perbuatan itu segera dihentikan dan jika ada yang terus berdegil, pihaknya bersama beberapa kementerian lain seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Sumber Manusia akan segera bertindak berdasarkan akta sedia ada.

Kalam amat berharap, kita usah bertangguh kali ini ­kerana jelas SOP dan polisi larangan tersebut bertentangan dengan sistem perundangan negara. Kalam juga menyeru kepada mana-mana pekerja yang pernah menjadi mangsa, sila tampil memberi laporan kepada pihak kementerian supaya pihak hotel yang terbabit itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Kepada Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Se­kerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) tahniah Kalam ucapkan kepada mereka atas perjuangan mereka menghapuskan diskriminasi ini. Jika perlu umumkan sahaja 16 hotel terlibat sebagai pengajaran hotel-hotel lain. Renung-renungkanlah.