Berdasarkan laporan, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), pada 2017, jumlah kutipan sisa pepejal harian (campuran: rumah/hotel/restoran) meningkat daripada 150 tan metrik pada bulan biasa kepada 200 tan metrik setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Jumlah tersebut melibatkan kutipan di keseluruhan kawasan konsesi syarikat berkenaan iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Pahang.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan (gambar) memaklumkan rekod kutipan bagi minggu pertama Ramadan tahun ini menurun kepada 11 peratus berbanding 2017.

Bagaimanapun katanya, rekod diperoleh itu masih terlalu awal untuk dinilai kerana jumlah sebenar akan diketahui selepas selesai Ramadan.

“Peniaga tidak seharusnya membazir dan mereka boleh menderma makanan yang tidak habis dijual kepada rumah kebajikan atau golongan memerlukan.

“Selain itu, jumlah sisa pepejal ini dapat dikawal jika orang ramai menggunakan bekas makanan yang boleh diguna semula sekali gus mengurangkan beg plastik dan pek polisterin,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Jelasnya, maka adalah lebih baik orang ramai melihat semula betapa serius permasalahan ini yang bukan sahaja merugikan wang ringgit malah bertentangan dengan amalan yang wajar dipraktikkan sepanjang bulan Ramadan.

“Saya ingin menyeru orang ramai bahawa isu ini dapat dibendung sekiranya semua pihak memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, sikap dan budaya pembaziran juga perlu dikikis dalam kalangan masyarakat apatah lagi dalam bulan yang mulia ini,” ujarnya.