Selain isu mendapat bantuan daripada Rusia untuk menang pilihan raya, dasar-dasar Trump selepas mengangkat sumpah sebagai presiden seperti sekatan perjalanan, pembinaan tembok di sempadan Mexico dan penggubalan akta penjagaan kesihatan baharu lebih dilihat dari sudut negatif.

Terbaru, Selasa lalu, Trump sekali lagi dikritik berikutan tindakan beliau memecat Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey yang dilantik bekas Presiden, Barack Obama pada 2013.

Untuk rekod, Comey bukanlah pegawai kanan kerajaan berprofil tinggi pertama yang dipecat oleh Trump. Pada 30 Januari lalu, Trump memecat Peguam Negara, Sally Yates, diikuti Pendakwa Raya New York, Preet Bharara pada 11 Mac lalu. Kesemua mereka mempunyai persamaan iaitu menyiasat penglibatan Trump dengan Rusia.

Sebenarnya pemecatan Comey bukanlah sesuatu yang mengejutkan rakyat AS. Ia telah dijangkakan cuma antara cepat dan lambat. Malah, ramai mengatakan jika calon Demokrat, Hillary Clinton menang Pilihan Raya Presiden, antara perkara pertama yang dibuat beliau ialah memecat Comey.

Ironinya, sebelum pemecatan Comey, desakan supaya Comey meletakkan jawatan dan dipecat telah dibuat sejak tahun lalu lagi. Malah ada yang meminta supaya Comey dipecat dan tidak dibenar memegang sebarang jawatan dalam kerajaan seumur hidup.

Comey dikritik hebat oleh pelbagai pihak terutamanya daripada Parti Demokrat berhubung cara beliau mengendalikan siasatan terhadap Clinton kerana berurusan menggunakan pelayan e-mel peribadi semasa menjadi Setiausaha Negara AS di bawah pentadbiran Obama.

Walaupun Comey dikenali sebagai seorang yang berintegriti dan berkecuali, tindak-tanduk beliau dalam menangani skandal e-mel Clinton itu telah mencalarkan kredibiliti beliau dan FBI. Itu adalah pandangan umum di AS.

Timbalan Peguam Negara, Rod Rosentein menulis memo dua muka surat bertajuk, "Mengembalikan Keyakinan Awam kepada FBI” menyatakan sebab kenapa Comey perlu dibuang.


Tidak beretika

Rosentein mengkritik Comey kerana mengadakan sidang akhbar pada 5 Julai 2016 untuk mengumumkan secara terbuka cadangannya supaya Clinton tidak dikenakan dakwaan dan kerana mengumumkan pada 28 Oktober 2016 bahawa FBI telah membuka semula siasatan terhadap Clinton berikutan penemuan e-mel baharu.

Comey didakwa telah melanggar polisi Jabatan Keadilan AS (DOJ) apabila sering mendahului jabatan itu dalam membuat kenyataan terbuka dalam kes e-mel Clinton.

Beliau dihentam teruk oleh pemimpin-pemimpin kanan Parti Demokrat dan media apabila memberitahu kepada umum bahawa FBI membuka semula siasatan terhadap Clinton pada 28 Oktober 2016, iaitu 11 hari sebelum Pilihan Raya Presiden.

Bernie Sanders misalnya, menyatakan: “Kalau tengok apa yang Comey dah buat, bukanlah sesuatu yang buruk bagi rakyat AS jika Comey undur diri.

” Dalam pertemuan sulit antara ahli Kongres daripada Parti Demokrat dengan Comey, Maxine Waters secara terbuka menyelar Comey dengan menyatakan: “Apa saya boleh beritahu kamu ialah Pengarah FBI tidak ada kredibiliti.”

Tindakan Comey itu dilihat sangat tidak beretika kerana memberikan tanggapan kepada pengundi bahawa Clinton bersalah, sedangkan ia belum dapat dibuktikan. Ia menjadi isu besar dalam kalangan pengundi semasa kempen Pilihan Raya Presiden dan dikatakan menyumbang kepada kekalahan Clinton.

Berbalik kepada isu sekarang, walaupun Trump tidak melanggar peraturan dalam pemecatan Comey dan Parti Demokrat mahukan bekas pengarah FBI itu dibuang, tetapi mereka mengecam Presiden AS kerana melihat keputusan itu tidak kena pada masanya.

Ini kerana ia dilakukan ketika Comey sedang mengetuai siasatan terhadap pembabitan Rusia dalam kempen Pilihan Raya Trump - cerita yang disifatkan oleh Trump AS sebagai pembohongan. Ekoran tindakannya itu, penyokong Demokrat mengatakan Trump mungkin boleh dipecat sebagai Presiden AS.

Namun pada masa yang sama, sokongan terhadap Trump dalam kalangan ahli Republikan semakin meningkat selepas pemecatan Comey itu. Beliau disifatkan berani melakukan sesuatu yang tidak berupaya dilakukan oleh Obama ketika masih berkuasa.

Sama ada Trump akan dipecat atau sebaliknya, hanya masa yang akan menentukan. Apa yang pasti cerita-cerita kontroversi tentang Trump tidak akan berhenti setakat itu sahaja dan akan terus dimainkan. Itu juga merupakan sebab utama Trump menyelar media-media arus perdana yang berpengaruh seperti CNN, CBS, ABC News kerana bersikap berat sebelah terhadap beliau.

Media-media tersebut yang digelar fake news (berita palsu) oleh Trump didakwa bukan sahaja menapis ucapannya, malah enggan mengiktiraf kejayaannya apabila menafikan iklan pencapaian 100 hari Trump sebagai Presiden AS.