AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 6 Ogos 2018 menyiarkan artikel mengupas mengenai nasib dan masa depan politik Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau kembali aktif dalam arena politik tanah air.

Dalam artikel bertajuk Azmin Ali se­perti sudah mengatasi bos yang di­siarkan dalam ru­angan Pandangan halaman C2, penulisnya Cheah See Kian mengulas tajuk berkaitan dalam beberapa sudut terutama usaha Anwar untuk segera berada dalam Kabinet bagi memastikan pe­ngaruh politiknya sentiasa relevan.

Yang pasti, jika Anwar gagal berbuat demikian pengaruhnya akan terus mengecil. Ini yang membimbangkan Anwar. Bagaimanapun ramai pemerhati politik yang berpandangan, kehadiran Anwar dalam arena politik tanah air ketika ini tepat pada masanya terutama dalam usa­hanya menggapai cita-cita sebagai Perdana Menteri selepas lebih 20 tahun menanti.

Atas asas itu juga, banyak pihak yang meramalkan satu pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan lebih awal bagi mem­bolehkan Anwar bertanding. Dengan cara itu sahaja, Anwar akan dapat menganggotai Kabinet tetapi dengan syarat beliau perlu menang dalam PRK itu terlebih dahulu.

Namun begitu ada juga pihak berpendapat Anwar tidak perlu ter­gesa-gesa memegang kuasa sebaliknya beliau boleh memberi tumpuan terhadap aktiviti memberi syarahan di universiti-universiti luar negara. Difahamkan aktiviti itu adalah antara kege­marannya.

Buat sementara wak­tu ini tugas-tugas mentadbir kerajaan serahkan sahaja kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam satu perkembangan lain, belum pun mencecah 100 hari memerintah ada pihak yang berpandangan sudah terdapat bibit-bibit pergolakan dalam kerajaan Pakatan Harapan. Contohnya, sebaik sahaja Dr. Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri beliau terus buat lawatan ke Jepun walaupun ada rakan kongsi dalam Pakatan Harapan tidak faham mengenai keperluannya.

Seperkara lagi adalah tentang pelantikan bekas Menteri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Banyak pihak beranggapan portfolio yang dipegang oleh Azmin tersebut menjadi isyarat betapa pentingnya kedudukan Timbalan Presiden PKR itu dalam Kabinet.

Apatah lagi dengan portfolio berkenaan, Azmin mengawal semua aset negara termasuk urusan melibatkan syarikat milik kerajaan (GLC). Terbaharu Dr. Mahathir turut melantik Azmin sebagai salah seorang Pengarah Khazanah Nasional Bhd, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam kerajaan.

Berbanding Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sehingga hari ini bukan berada dalam kerajaan dan dengan situasinya itu beliau bebas membuat kritikan terhadap pemerintah. Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Dr. Mahathir sebelum ini dalam satu wawancara bersama Channel News Asia yang disiarkan pada 25 Jun lalu.

Satu lagi perkara penting yang wajar dibincangkan adalah kedudukan Parti Bersatu (Bersatu) yang diterajui oleh Dr. Mahathir yang dilihat semakin kukuh. Walaupun hanya memenangi 13 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pe­ngaruh parti tersebut cukup hebat. Tidak kurang juga pengaruh Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Jika dicongak secara kasar se­patutnya kedudukan Bersatu dan Amanah boleh diabaikan tetapi yang jelasnya sekarang, kuasa mereka boleh dikatakan duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan DAP dan PKR.

Walaupun bilangan kerusi Bersatu dan Amanah sedikit jika dibandingkan dengan DAP serta PKR, terdapat beberapa jawatan menteri yang disifatkan sebagai amat penting dipegang oleh ke­dua-dua Ahli Parlimen daripada dua parti berkenaan.

Justeru tidak hairanlah, ada pemerhati politik yang menjangkakan pengaruh dan kekuatan Bersatu akan bertambah kukuh dari semasa ke semasa apatah lagi dengan penyertaan Ahli Parlimen daripada UMNO atas dasar lompat parti. Semuanya itu tidak mustahil boleh berlaku.

Dari sudut lain pula, sehingga kini Dr. Mahathir tidak pernah menetapkan tarikh beliau mahu meletakkan jawatan walaupun telah berjanji akan memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun sebelum diserahkan kepada Anwar.

Perkara ini juga dikatakan amat merisaukan Anwar. Atas sebab itu Anwar dilihat mahu segera meletakkan dirinya sebagai pemimpin politik arus perdana. Apa pun penulis artikel ini percaya Anwar ketika ini bijak mencongak bila masa yang sesuai boleh masuk gelanggang.

Mengenai pertembungan an­tara kem Azmin dan kem Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR September ini, perkembangan ini juga menarik untuk dianalisis atas kaitannya dengan Anwar sebagai pre­siden parti yang baharu. Sehingga saat ini Anwar belum menunjukkan sokongannya sama ada kepada pasukan Azmin atau Rafizi.

 

KEPENTINGAN PELIHARA AGENDA BUMIPUTERA

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 5 Ogos 2018 pula memaparkan tulisan Tong Chee Yun yang mengupas tentang keperluan memelihara kepentingan agenda bumiputera oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam artikel bertajuk Kerana mahu kuasa guna agenda bumiputera dalam ruangan Pandangan halaman C2, Chee Yun berpandangan pelaksanaan agenda bumiputera itu adalah sesuatu yang amat diperlukan. Ini bertujuan memastikan sokongan orang Melayu khususnya kepada Pakatan Harapan sentiasa konsisten.

Katakanlah pada pilihan raya umum akan datang sokongan orang Melayu terhadap kerajaan Pakatan Harapan rapuh ekoran kegagalan mempertahankan agenda bumiputera, besar kemungkinan kerajaan akan bertukar tangan sekali lagi. antara UMNO dan Pas UMNO pada masa itu. Ini kerana orang Melayu akan memilih gabungan UMNO dan Pas berbanding Pakatan Harapan.

Mahu tidak mahu kerajaan Pakatan Harapan perlu sedar akan hakikat ini.