AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 4 Mac 2017 melalui penulisan Wang Kai dalam Kolum ODN halaman 45 akhbar itu membongkar krisis dalaman DAP yang semakin ­ketara sehingga mendorong empat wakil rakyatnya bertindak keluar parti.

Menerusi artikel bertajuk Antara isu barah dalam daging dan isu habuan, penulis tidak merasakan tindakan wakil rakyat terbabit sebagai perbuatan khianat terancang untuk menjatuhkan DAP sekali gus meraih populariti ­kerana menguntungkan parti lawan Barisan Nasional (BN).

Tiada siapa menduga Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Goh Leong San (Duyong); Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang) bertindak sedemikian sekali gus memberi tamparan hebat kepada DAP.

Keputusan dibuat setelah mereka memikirkan semasak-masaknya rasa kecewa terhadap pucuk pimpinan DAP yang dilihat tidak lagi mengamalkan prinsip asal perjuangan parti Malaysia untuk Malaysia kerana lebih mengutamakan kepentingan agenda individu dalam parti.

Penulis nampak ‘keikhlasan’ mereka apabila membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Cina sejurus keluar DAP. Mereka mengaku pernah berceramah meminta bukan Islam menyokong Pas semasa pilihan raya umum (PRU) 2013 atas arahan DAP Pusat.

Pucuk pimpinan DAP juga pernah bersikap hipokrit termasuk meyakinkan masyarakat Cina agar tidak takut dengan hukum hudud jika tidak melakukan jenayah serta mengatakan Pas memilih pendekatan negara berkebajikan, bukan teokratik.

Pendedahan sedemikian adalah pertama kali dilakukan mana-mana bekas wakil rakyat DAP, namun permohonan maaf mereka tidak lagi mewakili pendirian parti. Kini ramai orang Cina ­menunggu pemimpin tertinggi DAP tampil meminta maaf.

Sementara itu, orang pertama memberi reaksi keras ialah Tan Kok Wai. Selaku Pemangku Pengerusi DAP, Kok Wai selama ini dikenali sangat berhati-hati apabila bersuara, namun tidak dalam isu keluar parti itu. Beliau umpamakan empat wakil rakyat itu sebagai barah dalam parti.

Sebaliknya penulis menyifatkan keempat-empat tokoh itu mempunyai pendirian yang lebih baik daripada ahli-ahli DAP lain. Setidak-tidaknya mereka tidak lagi mengampu si pemegang kuasa serta mengikut te­lunjuk dan arahan daripada kepemimpinan tertinggi parti itu.

Hakikat berpolitik, seseorang akan mengalami jatuh bangun jika berpegang kepada pendirian sendiri apabila enggan silap mengikut ketua. Kesetiaan ahli bergantung sama ada pemimpin itu berwibawa atau tidak.

Pada hemat penulis, mereka yang keluar parti atas dasar itu tiada kaitan dengan jual maruah parti demi mendapat ‘nama’ atau tindakan mereka memberi habuan besar kepada BN serta menghentam DAP.

Jika asas parti tiada masalah, tidak mungkin berlaku ahli bertindak keluar parti. Formula isu ini mudah dan jelas - sesuatu isu tidak boleh disongsangkan, perkara benar tidak boleh diputar belit manakala pemimpin bertanggungjawab tidak sepatutnya buat tuduhan sebarangan.

PERLUKAH TUKAR 
KERAJAAN?

PENULIS Wong Jee Lun dalam Ruangan Pendapat halaman A13 akhbar Nanyang Siangpau, 3 Mac 2017 mengupas keperluan rakyat untuk menukar kerajaan sedia ada atau tidak.

Menerusi artikel bertajuk Kita tidak tukar kerajaan, boleh tak?, penulis mengemukakan pertimbangan tersebut berdasarkan beberapa penilaian terhadap sikap pembangkang yang lalu sebelum ini.

Dalam membentuk hala tuju negara, sebenarnya pembangkang juga ‘dua kali lima’ dengan Barisan Nasional (BN). Sebelum pilihan raya umum (PRU) Mac 2008, pembangkang memberi alasan kurang berpengalaman memerintah, justeru pengundi tidak harus menolak mereka.

Peliknya, selepas diberi tempoh yang agak lama memerintah di beberapa negeri, kita masih tidak nampak apakah polisi dan perubahan dibawa pembangkang setakat ini.

Rekod menunjukkan semua janji yang pernah dipersetujui pakatan pembangkang sebelum PRU 2008 termasuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan sudah langsung tidak dibangkitkan lagi isu mengenainya setelah mereka memerintah.

Biarpun sudah mengagak pembangkang tidak mampu memberi layanan seratus peratus adil ter­hadap semua kaum, namun penulis langsung tidak terfikir bahawa negeri-negeri ditadbir pembangkang sebenarnya me­laksanakan sistem kuota bumiputera yang lebih teruk daripada BN. Kewibawaan pembangkang juga teruji apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kuat menentang pelaksanaan hukum hudud sendiri tidak hadir dalam perhimpunan bantahan RUU 355 anjuran sebuah NGO dikenali Bebas baru-baru ini.

Ironinya, pada hari sama himpunan bantahan itu diadakan, Kit Siang dipaparkan dalam Facebook Liew Chin Tong sedang menuju ke Johor bagi menghadiri majlis pengebumian lapan anak Melayu yang terkorban dalam tragedi basikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru.

Tindakan itu memperlihatkan Kit Siang tidak fokus meletakkan keutamaannya untuk menyelamatkan negara (daripada hudud) seperti mana diperjuangkan selama ini. Jelas sekali beliau sendiri tidak tahu apa yang sedang dilakukannya!

Berkaitan kewangan negara, penulis juga tidak nampak kredibiliti pembangkang untuk mengemukakan sebarang pandangan memberangsangkan sebagaimana terdapat dalam cadangan Bajet 2017 mereka yang tidak sampai 100 muka surat itu.

Pembangkang sering ‘bising’ bahawa kos bayar gaji kakita­ngan kerajaan terlalu tinggi, tetapi mereka sendiri memilih cara sama seperti kerajaan BN apabila mengekalkan penambahan per­belanjaan dalam cadangan Bajet 2017 mereka!

Memang benar dalam cadang­an bajet pembangkang tidak akan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Jika demikian, dari mana pentadbiran mereka memperoleh hasil?

Penulis sememangnya berharap negara dapat mengurangkan gejala rasuah tetapi tidak percaya akan berlaku sifar rasuah yang begitu ideal sebagaimana dakwaan pembangkang. Pendek kata, mereka lebih ‘bersih’ daripada kerajaan BN.

Tidak dinafikan, nilai rasuah banglo Lim Guan Eng tidak sebanyak 1MDB (RM2.6 bilion), tetapi tidakkah pembangkang sedar kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dikaitkan dengan skandal Forex RM10 bilion meletakkan kedudukan mereka sama ‘kotor’ seperti BN?

Setelah apa berlaku, rakyat tentu dapat melihat apakah persaingan antara pembangkang dan parti pemerintah kini baik atau buruk? Justeru, penulis meminta agar rakyat tidak terlalu taksub dengan demokrasi untuk menukar kerajaan sedia ada.

Lihat sahaja di Iraq, apa jadi dengan rakyat mereka setelah negara menjadi huru-hara atas sebab demokrasi.