Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ISU-ISU AKHBAR CINA - 7 SEPTEMBER 2017

KERATAN akhbar Oriental Daily News bertarikh 1 September 2017. 3
KERATAN akhbar Oriental Daily News bertarikh 1 September 2017.

SIAPA LEBIH DUNGU?

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 1 September 2017 menerusi tulisan Dominic Lau Hoe Chai memperlihatkan kepemimpinan Pakatan Harapan yang tidak berkualiti berikutan keceluparan mulut seorang pe­mimpin pembangkang menghina Presiden Amerika Syarikat (AS).

Artikel bertajuk Pemimpin politik sepatutnya waspada apabila bersuara itu merujuk kenyataan kasar Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng bahawa Donald Trump adalah dungu dan bodoh.

Tindakan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu memperlihatkan beliau seolah-olah tidak ‘mengiktiraf’ ke­pemimpinan AS terbaharu diterajui Trump. Malah Guan Eng me­ngakui tidak sudi bertemu dengan Trump sekalipun diberi peluang dan antara petikan berbaur sombong beliau ialah “... jumpa orang macam ini, kita sendiri jadi bodoh.”

Terdahulu Guan Eng ditanya panda­ngan mengenai kun­jungan Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Rumah Putih AS sempena menyambut hari 
ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-AS ke-60, pada 12 September ini.

Guan Eng me­ngibaratkan Trump seorang dungu berdasarkan sikap pemimpin itu yang dilihat rasis, kolot serta tidak menghormati pendidikan. Beliau turut mempertikai pemilihan Trump sebagai presiden oleh rakyat AS apabila dipetik berkata: “... tapi saya pun tak tahu macam mana dia boleh dipilih menjadi pre­siden.”

Tidak kira bagaimana orang lain melihat dan menilai Trump, beliau adalah pilihan rakyat AS melalui tiket undi yang sah dan dalam sistem demokrasi, beliau sepatutnya dihormati oleh semua pemimpin negara asing di seluruh dunia.

Justeru, tindakan memburukkan Trump itu tidak ada bezanya beliau menghina rakyat AS. Tidakkah Guan Eng sedar sentimen yang dimainkannya itu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati para pelabur AS yang melabur di negara ini? Mungkin Guan Eng sudah terlupa bahawa dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini Pulau Pinang adalah destinasi pusat pelabur besar AS di rantau Asia Tenggara terutama dalam sektor produk elektronik.

Penulis khuatir penghinaan Guan Eng terhadap Trump pada bila-bila masa sahaja akan menjadi punca penarikan balik pelabur AS secara besar-besaran di negara ini sekali gus menjejaskan periuk nasi dua juta pekerja industri di Pulau Pinang.

Ekonomi Malaysia dijangka lebih terjejas apabila kerajaan Trump telah menggubal polisi pelaburan mereka di negara asing dan bercadang untuk memanggil balik para pelabur AS bagi menampung masalah pengangguran rak­yat di negara Uncle Sam itu.

Harus diingatkan, usaha ‘me­neroka’ pelaburan dan membawa masuk pelabur AS telah dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang terdahulu yang terdiri daripada kalangan pemimpin parti Gerakan sejak 1970-an.

Menjelang penghujung 1990-an, Pulau Pinang dikenali sebagai ‘kepala gerabak’ dalam industri pembuatan produk elektronik dan teknikal kepada negara-nega­ra di rantau Asia.

Tindakan Guan Eng itu secara tidak langsung mencalarkan kewibawaan kepemimpinan Pakatan Harapan, selain mendedahkan sikap dan wajah sebenar pemimpin DAP yang suka membangga diri dan memandang rendah terhadap orang lain.

Sebagai pemimpin, Guan Eng mesti menghormati dasar diplomatik negara selain tidak boleh sesuka hati menghina pemimpin negara lain, apatah lagi Trump tidak ada sebarang ‘isu’ dengan parti pembangkang dan politik tanah air.

Perlu diingatkan, sikap men­dungukan orang lain secara tidak langsung akan membuatkan Guan Eng sendiri nampak dungu. Cuba bayangkan reaksi beliau untuk berdepan dengan Trump jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

 

BERBELAH BAHAGI TIDAK MENGUNTUNGKAN PAKATAN HARAPAN

TAY POH FOO dalam Kolum ODN akhbar Oriental Daily News bertarikh 1 September 2017 mengupas ketidakmampuan Pas untuk memerintah negara secara solo kecuali di negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Artikel bertajuk Tinggalkan sahaja Pas antara lain mengaitkan potensi tipis Pas untuk meraih tiket deposit daripada kalangan pengundi bukan Melayu dan Melayu liberal di kawasan barat Semenanjung.

Bayangan itu seperti mana diperjelaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Pas semakin kehilangan ‘taring’ sebagai parti pembangkang berpengaruh, jus­teru Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu mengambil risiko menjalin kerjasama dengan parti itu demi meraih undi Melayu.

Memang benar Pas mempunyai kekuatan terutama apabila parti itu bergabung dengan PKR untuk menentukan siapa calon menteri besar Selangor sebelum ini, namun setelah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas melompat ke PAN, parti itu dilihat mulai lemah.

Pas dahulu kuat bukan semata-mata kerana jasa Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi hasil usaha berterusan kumpulan Erdogan dan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Pakatan Rakyat (ketika itu dianggotai DAP dan PKR).

Jika melihat kepada fakta-fakta tersebut sudah boleh menjangkakan tiket-tiket undi Melayu termasuk penyokong Pas yang tidak berpuas hati dengan parti itu akan condong kepada PKR, PAN dan PPBM.

Bagi menghindari pertandi­ngan tiga penjuru, Mohamed Azmin perlu meramal dengan tepat ke mana arah tiket-tiket undi itu ke­rana sentimen hudud dibawa Pas bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang ramai tetapi boleh menyebabkan kehilangan undi tiket bukan Melayu kelak.

Apabila berlaku pecahan tiket undi Melayu dan bukan Melayu seperti itu akan memberi peluang besar BN untuk merampas kembali Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Malah Dr. Mahathir memberi peringatan bahawa pertandingan tiga penjuru akan memberi ke­lebihan kepada BN berdasarkan kuasa kerahan anggota mereka yang mampan dan dapat memperkukuhkan tiket deposit di kawasan peti undi BN.

Namun adakah kelebihan itu masih sama seperti dahulu? Hakikatnya politik Melayu kini berdepan krisis dan perpecahan. Kita tunggu dan lihat.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain