AKHBAR Oriental Daily bertarikh 29 Mei 2018 menerbitkan tulisan Tan Kim Soong melalui ruangan Kolum ODN berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat membina semula negara ini dengan menjalankan sistem pentadbiran yang adil, bersih dan cekap.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu telah tercatat dalam sejarah dengan dikejutkan ‘ombak besar’ apabila tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN). Namun, kejutan itu kini semakin reda apabila rakyat mula memikirkan bahawa perubahan sememangnya diperlukan. Pilihan raya kali ini menyaksikan parti pembangkang bergabung menubuhkan Pakatan Harapan, mereka telah menang dan kuasa kerajaan telah pun bertukar ta­ngan.

Kerajaan Pakatan Harapan berjaya mengambil alih sebuah kerajaan yang telah berusia lebih 60 tahun yang dimonopoli oleh satu parti. Ini adalah mandat daripada rakyat yang mahu menyelamatkan negara ini supaya berubah kepada wajah baharu. Mereka mahu membina semula negara serta memulihkan peraturan lama yang disifatkan dalam keadaan teruk. Justeru, jalan terbaik untuk kerajaan baharu ini adalah dengan menunjukkan ketegasan dalam aspek keadilan, bersih dan cekap dalam mentadbir negara supaya masa depan negara mempunyai harapan sebenar. Perjalanan untuk perubahan ini sudah tentu akan menghadapi pelbagai perbalahan dan kritikan, tetapi mereka perlu bersikap tegas dan menyusun semula untuk melakukan perubahan.

Sebelum PRU-14, masih ramai lagi berada dalam pemikiran 60 tahun lalu yang percaya dan yakin bahawa BN akan kekal memerintah, mereka secara habis-habisan mengejek parti-parti pembangkang, mengutuk orang Cina ‘menculik’ Tun Dr. Mahathir Mohamad, mempersendakan beliau sebagai boneka DAP, menghentam Pakatan Harapan tanpa henti semata-mata mahu mengampu ahli-ahli politik BN.

Selepas dua minggu parti pembangkang menjadi pemerintah, kita dapati mereka begitu ghairah untuk mengambil tindakan ke atas pemerintah terdahulu berkaitan kes 1MDB. Siasatan dilakukan dengan menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa kediaman pegawai tinggi kerajaan lain. Siasatan terhadap kes berkenaan dilakukan dengan pantas dengan terbongkarnya satu-persatu bahan bukti yang ditemui termasuk penemuan peti besi yang mengandungi wang tunai berjumlah lebih RM100 juta sehingga mengejutkan rakyat.

Penyelewengan politik di Malaysia bermula daripada pihak atasan dan rasuah sudah menjadi satu budaya. Kerajaan baharu hari ini menerima longgokan hutang dan skandal penyelewengan. Namun, persoalannya bagaimana untuk membasmi segala gejala itu dengan berkesan? Hanya melalui sistem pentadbiran yang efisien dan meningkatkan sistem pengurusan terbaik mampu menghalang kebocoran rasuah.

Bagaimanapun, kami amat mengharapkan kerajaan baharu tidak mengambil tindakan terlalu tergesa-gesa supaya setiap tindakan itu tidak mengecewakan. Rakyat mendengar dan melihat apa yang mereka akan laksanakan. Setiap tindakan mereka termasuk memotong gaji menteri-menteri semata-mata untuk membantu meringankan beban hutang negara amat disanjung. Rakyat akan bersama-sama kerajaan mendukung harapan untuk membina semula negara.

BUKAN BALAS DENDAM POLITIK

Akhbar Oriental Daily bertarikh 22 Mei 2018 pula memaparkan tulisan Tan Kim Soong, juga dalam ruangan Kolum ODN mengenai tindakan-tindakan Dr. Mahathir selepas menjadi Perdana Menteri.

PRU-14 memberi kemena­ngan kepada Pakatan Harapan melalui majoriti mudah apabila menguasai 122 kerusi Parlimen. BN yang telah berkuasa lebih 60 tahun lalu telah ditumbangkan walaupun parti itu yakin dapat mengekalkan kuasa pemerintahan negara.

Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan lebih 60 peratus pengundi Melayu telah melawan arus dan memberi kesan yang begitu besar dalam senario politik tanah air. Sebelum ini tidak ramai boleh meramalkan dengan tepat pengaruh Dr. Mahathir masih lagi berbisa walaupun beliau kini sudah berusia 93 tahun. Mereka sangsi adakah Dr. Mahathir masih mempunyai pengaruh sehingga boleh berlaku tsunami politik. Sebenarnya ramai telah terlepas pandang terhadap keupayaan beliau sehingga ada dalam kalangan pemimpin BN memperlekehkan dan mempersendakannya. Mereka percaya bahawa Dr. Mahathir tidak mungkin boleh melakukan gelombang begitu besar dengan mengungkit kembali apa yang beliau lakukan terdahulu.

Penentang Dr. Mahathir turut memberi amaran kepada pengundi-pengundi dengan menyebarkan propaganda kononnya jika beliau berkuasa, budaya Mahathirisme akan diwujudkan semula sebagaimana yang pernah dilakukan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Dalam tempoh 22 tahun pemerintahan sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir didakwa telah mengamalkan polisi kekerasan dengan memecat Ke­tua Hakim Negara, mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, memecat timbalannya dan pelbagai lagi tindakan lain. Mereka turut menyifatkan kuasa yang ada pada Dr. Mahathir menyebabkan sistem demokrasi negara menjadi mundur.

Bagaimanapun, kesilapan Dr. Mahathir adalah kesalahan beliau yang lalu. Selepas PRU-14, isu-isu berkenaan telah pun ditamatkan. Namun, bayangan roh Mahathirisme masih belum hilang, masih ada pihak yang mengkritik beliau kerana mereka mengesyaki Dr. Mahathir kembali meme­rintah hanya untuk menyelamatkan anaknya sendiri berbanding untuk memperbetulkan keadaan negara.

Masih terlalu awal untuk menilai Dr. Mahathir pada hari ini. Tetapi, beliau telah mencatat sejarah apabila berjaya merubah kerajaan dan menjadi ingatan kepada kita semua. Namun, ia menjadi persoalan sejauh mana kita dapat bersedia untuk memberikan masa kepada beliau untuk memadam sejarah terhadap segala tindak-tanduknya pada zaman pemerintahannya?