BARU-BARU ini berlaku pergolakan dalaman DAP melibatkan pemimpin atasan dan ahli veteran parti itu sehingga menarik perhatian Tan Jen Kiat untuk memberi ulasan dalam Ruangan Pendapat halaman A8 akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 3 Julai 2017.

Umum pasti maklum perbalahan berlaku antara Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng dengan Ahli Parlimen Kepong dari parti sama, Dr. Tan Seng Giaw berhubung isu alam sekitar di Pulau Pinang.

Selaku Ketua Menteri negeri itu, Guan Eng ternyata tidak berpuas hati dengan teguran ikhlas Seng Giaw yang bimbang dengan ‘kehancuran kehijauan’ yang semakin serius di Pulau Mutiara itu.

Seng Giaw menerusi akaun Facebook memberi gambaran jelas kerajaan DAP Pulau Pinang telah gagal memberikan keutamaan dalam soal pembangunan sehingga merosakkan alam sekitar serta bukit tanpa berpegang kepada garis panduan pembangunan sedia ada.

Biarpun teguran dibuat ahli senior DAP yang sudah lapan penggal menjadi Ahli Parlimen itu bernas dan tidak boleh disangkal kerajaan DAP Pulau Pinang, namun kenyataan itu disanggah Guan Eng secara ego.

Malah, Guan Eng juga berdalih untuk mengulas isu tersebut apabila mendakwa Seng Giaw tidak pernah ­suarakan perkara itu kepada parti sebelum ini selain sukar dihubungi sejak awal tahun ini bagi menangani isu berbangkit secara dalaman.

Perang dingin antara kedua-duanya dilihat berlanjutan setelah Seng Giaw membuktikan beliau mudah dihubungi sesiapa termasuk wartawan yang menelefon telefon bimbitnya dengan hanya satu panggilan bagi mengulas dakwaan Guan Eng itu.

Rakyat mungkin melihat isu dibangkitkan Seng Giaw umpama bara api yang baru hendak menyala sedangkan kehancuran kehijauan di negeri bawah tadbiran Ahli Parlimen Bagan itu bukan berlaku dalam masa sehari dua.

Sebelum ini pun pelbagai pihak khususnya penduduk negeri itu berada dalam keadaan dilema selepas melihat situasi pembangunan projek-projek kondominium mewah yang rakus dan kononnya dilaksana berteraskan konsep ‘mesra pemaju’ semakin mengancam kehidupan mereka.

Selain prasarana yang tidak sistematik sehingga mengundang kepada banjir kilat, penduduk berbilang kaum terutama masyarakat Cina sendiri juga sudah mula terkesan untuk memiliki hartanah disebabkan harga yang terlampau tinggi.

Pelbagai hujah menunjukkan Pulau Pinang berjaya menarik pelabur asing sekali gus menjadikan negeri itu paling unggul dalam arus pembangunan tetapi hakikatnya alam sekitar telah tercemar, dan keadaan sama juga berlaku di negeri-negeri lain.

Antara kawasan tercemar akibat pembangunan yang pernah mendapat liputan meluas ialah Projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang, Johor dan aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

Penulis nampak rasional teguran dibuat Seng Giaw berdasarkan kapasitinya sebagai Ahli Parlimen telus dan mahukan pentadbiran DAP memberikan yang terbaik untuk rakyat, namun Guan Eng menganggap teguran itu seolah-olah menyerang peribadi dan mengkritik kredibilitinya sebagai pemimpin.

Sebelum ini bukanlah menjadi rahsia bahawa dalam kalangan pembangkang khususnya pemimpin atasan DAP kurang senang dengan pendirian politik Seng Giaw kerana kurang kritikal terhadap kerajaan.


DAP MAHU BERTANDING ATAS TIKET BEBAS?

BERITA Dalam Negeri halaman A5 akhbar China Press bertarikh 4 Julai 2017 membayangkan keputusan ‘nekad’ DAP untuk bertanding atas tiket parti Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika pendaftaran parti itu dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Laporan bertajuk Jika dipaksa batal pendaftaran Roket tidak dapat dilancar akan turun calon bertanding PRU sebagai calon Bebas merujuk kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang itu andai Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik kotor mendesak ROS berbuat demikian.

Kit Siang percaya terdapat usaha pihak lawan untuk menyekat kemaraan DAP sementelah taktik kotor BN khususnya UMNO ‘didedahkan’ sendiri Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Shariffuddin Tengku Ahmad menerusi kenyataan yang menyentuh tentang kemungkinan sama ada DAP dibenarkan menggunakan logo roket atau tidak pada PRU-14.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga mendakwa mempunyai maklumat tentang kemungkinan BN menggunakan isu pemilihan DAP pada 2012 untuk mempengaruhi pegawai ROS membatalkan pendaftaran parti cauvinis itu.

Berikutan pendedahan itu, Kit Siang yang kebetulan hadir berucap sempena ulang tahun ke-35 cawangan DAP Kelapa Sawit di Kulai, Johor baru-baru ini memberi peringatan kepada penyokong DAP agar sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang usaha BN untuk men­sabotaj parti itu.

Tidak kira apa sahaja taktik digunakan BN untuk mengugut DAP, sokongan rakyat untuk mengubah kerajaan tetap tidak akan berubah. Malah Kit Siang juga tidak menafikan kemungkinan DAP akan menggunakan logo rakan parti daripada Pakatan Harapan untuk turun bertanding.

Senada bapanya, Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan mengkritik Tengku Shariffuddin yang dilihat seolah-olah mahu ‘mengugut’ DAP menerusi kenyataan peringatannya berkaitan status Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dikeluarkan ROS.

Guan Eng dalam masa sama mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar menghentikan taktik kotor dan salah guna kuasa bagi memberi keadilan dan kebebasan kepada rakyat untuk membuat keputusan pada PRU-14 kelak.