TAN KIM SONG dalam Kolum ODN akhbar Oriental Daily News bertarikh 27 Disember 2017 memperlihatkan peluang tipis Lim Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri andai Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kenyataan itu disebabkan keadaan di Malaysia ketika ini tidak memungkinkan jawatan nombor satu itu diambil alih oleh kaum lain, melainkan Melayu dan perkara itu adalah terang dan jelas.

Realitinya, dapat dilihat menerusi nisbah orang Melayu melebihi 60 peratus penduduk Malaysia, justeru agak sukar untuk kaum tersebut menerima orang Cina sebagai perdana menteri walaupun DAP melaungkan parti itu untuk berbilang kaum.

Hakikatnya, sejak awal lagi orang Melayu telah melabelkan DAP adalah parti orang Cina. Hal ini amat difahami UMNO bagi memanipulasikan keadaan semasa.

Sentimen perkauman dilihat UMNO sebagai menguntungkan parti berkenaan apatah lagi de­ngan isu dan penyebaran maklumat bahawa Kit Siang selaku Penasihat DAP dikatakan mahu menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU-14.

Sebagaimana diketahui, DAP yang mendapat sokongan penuh orang Cina adalah parti paling kuat dalam Pakatan Harapan. Malah DAP juga mempunyai ahli Parlimen pembangkang teramai di Dewan Rakyat. Ini menguatkan lagi andaian itu.

Isu dibangkitkan itu memberi nilai yang amat tinggi kepada UMNO kerana dapat menakut-nakutkan orang Melayu yang berasakan kedudukan mereka terancam. Ini dianggap UMNO sebagai senjata paling ampuh untuk menentang parti pembangkang.

Selagi ahli-ahli politik ‘berkempen’ mengatakan orang Cina melalui Kit Siang daripada pembangkang mahu merampas kuasa, selagi itulah orang Melayu akan berasa cemas, sekali gus mampu menjejaskan perasaan pengundi ketika membuang undi kelak.

Tidak dinafikan Pakatan Harapan berdepan dengan dilema untuk menampilkan calon terbaik bagi mengimbangi pengaruh Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bersaing dalam PRU-14.

Mahu mempertaruhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri pembangkang malangnya Ketua Umum PKR itu masih berada di dalam penjara, malah kalangan penyokong mereka sendiri pun sudah memuktamadkan beliau sebagai penjenayah.

Berkemungkinan Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diperkenalkan untuk menjadi calon itu. Begitupun ramai meng­anggap beliau bukan calon terbaik.

Tindakan bekas Perdana Menteri itu meninggalkan UMNO dan menyertai kem parti pembangkang menimbulkan banyak pertikaian khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

Ketika Dr. Mahathir berkuasa penuh dalam kerajaan, beliau melaksanakan ISA bagi menentang orang yang tidak sealiran dengannya, mengenyangkan kroni-kroninya melalui Dasar Ekonomi Baru serta tidak menyumbang atau membina sistem demokrasi.

Apabila Dr. Mahathir menjaga orang Melayu, secara realitinya beliau mengabaikan hak orang Cina. Tidak dinafikan memang ramai orang terasa sukar dan merasai pedih kesakitan ketika itu.

Menjelang PRU-14 tidak berapa lama lagi, tentunya parti peme­rintah iaitu Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO dan Pakatan Harapan ‘diketuai’ DAP cuba berbalah dan ‘melancarkan’ pelbagai serangan untuk mendapatkan kemenangan.

Cabaran kedua-dua pihak ialah menggunakan kekuatan masing-masing untuk menyentuh jiwa rakyat. Penulis menganggap sikap parti pemerintah memainkan isu sentimen perkauman sebagai mengecewakan, namun parti pembangkang juga ada banyak kelemahan dan kecacatan.

DR. MAHATHIR TIDAK IKHLAS MOHON MAAF?

AKHBAR Sinchew Daily News bertarikh 2 Januari 2018 menyiarkan artikel berkaitan permohonan maaf secara terbuka oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Mesyuarat Agung tahunan (AGM) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), 30 Disember lalu yang mengundang pertikaian banyak pihak.

Menerusi artikel yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlu, penulisnya, Lim Sue Guan yang juga Timbalan Pengarang akhbar itu antara lain menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu sebagai mengejutkan dan di luar jangkaan.

Masakan tidak, Pengerusi PPBM itu dikatakan berbuat demikian hanya setelah ditekan oleh pelbagai pihak selain beliau dilihat terdesak memerlukan sokongan DAP untuk mencapai cita-citanya kembali menjadi Perdana Menteri.

Keikhlasan Dr. Mahathir dipertikai apabila beliau menjelaskan permohonan maaf itu tidak bermakna dirinya terbabit dalam melakukan kesalahan, sebaliknya bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak atau dikaitkan dengan sebarang peristiwa.

Malah beliau menyatakan tindakannya adalah lumrah bagi orang Melayu yang mempunyai budaya meminta maaf. Rupa-rupanya meminta maaf itu adalah budaya, dan bukan disebabkan rasa bersalah, insaf atau rasa sesalnya!