AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 25 November 2017 memaparkan tulisan Chang Long Yan melalui ruangan Sudut Pendapat mengenai tindakan pem­bangkang menjadikan Sijil Pe­periksaan Bersepadu (UEC) mainan politik.

Sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu diadakan, kerajaan me­minta pemegang sijil UEC lulus subjek Bahasa Melayu untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja bagi layak masuk ke institusi pe­ngajian tinggi (IPT) tempatan.

Pemimpin Dong Zong mulanya bersetuju tetapi kemudian menolak pula kerana Kementerian Pelajaran mahu menambah subjek Sejarah. Ketika itu Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Per­dana Menteri ialah Tan Sri Muh­yiddin Yassin.

Kini, Ahli Parlimen pembangkang sekali lagi memainkan isu sijil UEC sementara itu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mengisytiharkan perang terhadap sijil tersebut.

Kali ini, Muhyiddin di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) seperti telah menampar muka DAP kerana menganggap pengiktirafan sijil UEC itu bukan perkara wajib.

Namun, DAP pula secara berani mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor telah mengiktiraf sijil UEC tetapi tidak dapat kemukakan sebarang bukti.

Kita ketepikan dahulu isu ko­nonnya pengiktirafan sijil UEC mewakili maruah dan hak orang Cina. Sebaliknya, lihat dari segi realiti semasa kerana pengiktirafan sijil UEC itu sebenarnya mema­ng isu kecil sahaja.

Lihat bilangan pelajar Cina di sekolah menengah Cina yang kini hanya mewakili 10 peratus daripada keseluruhan penduduk Cina di Malaysia. Semakin hari semakin ramai pelajar sekolah menengah Cina tidak lagi mendaftar untuk menduduki peperiksaan UEC yang dianjurkan Dong Zong. Adakah itu kerisauan utama pe­juang UEC?

Jika Dong Zong menerima tawaran kerajaan pada 2013 dan bukannya mengikut emosi, sudah tentu isu ini sudah lama selesai. Ketika itu ramai menganggap kerajaan sudah setuju mengiktiraf sijil UEC dan Dong Zong sebenarnya sudah tidak ada isu untuk jadikan alasan. Ini bermakna Dong Zong yang melepaskan peluang terakhir untuk iktiraf UEC.

Sebelum PRU-13, Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan beberapa permintaan sebelum mengiktiraf UEC dan ini amat berpatutan. Kenapa tiba-tiba Dong Zong menghentikan perbincangan dan tidak teruskan proses pengiktirafan itu?

Kini isu pengiktirafan sijil UEC sekali lagi dijadikan bahan politik parti pembangkang tetapi jangan lupa bahawa dalam masyarakat Melayu juga ada orang yang tidak setuju.

Orang Cina boleh mempolitikkan isu sijil UEC supaya DAP mempunyai bahan menyerang BN tetapi kita jangan lupa orang Melayu seperti pemimpin Perkasa dan PPBM juga menggunakannya sebagai laba politik.

 

PUSINGAN U OPS LALANG

AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 28 November 2017 pula memaparkan tulisan Yap Chin Wei melalui ruangan Pendapat Yanlu mengenai sikap pembangkang sering membuat pusingan U.

Pada ulang tahun ke-30 Ops Lalang Oktober lalu, sebanyak 77 pertubuhan bukan kerajaan meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad secara ikhlas meminta maaf kerana menganiaya dan merampas hak kebebasan rakyat yang tidak bersalah.

Seorang pemuda ada me­nyentuh tentang sikap pemimpin pembangkang yang kini berdiri sebaris dengan Dr. Mahathir sedangkan dahulu mereka menghentam bekas Perdana Menteri itu sekeras-kerasnya.

Dia tidak faham bagaimana pembangkang boleh buat tidak tahu dan bersekongkol dengan Dr. Mahathir malah tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan lagi mengenai Ops Lalang.

Dr. Mahathir berkata, jika hari ini berlaku perkara yang sama, beliau tetap akan menggunakan Ops Lalang seperti pada 1987 atas alasan mendapat nasihat daripada pihak keselamatan untuk lakukan tindakan demikian.

Golongan muda yang tidak pernah berdepan dengan Ops La­lang mungkin tidak terkilan seperti mereka yang berdepan dengan kejadian itu. Ayat dan perkataan boleh diubah tetapi hakikatnya tetap sama. Dr. Mahathir langsung tidak berniat untuk meminta maaf dan rasa menyesal. Sebagai orang yang membuat keputusan terakhir dan muktamad, sepatutnya beliau perlu bertanggungjawab atas apa telah berlaku.

Kit Siang berjuang dalam politik sejak berpuluh tahun lama­nya. Sebelum ini beliau mengkritik Dr. Mahathir sebaliknya kini membuat pusingan U mengatakan beliau bukannya mengkritik secara ‘individu’.

Sebelum ini Kit Siang sendiri ma­rahkan Dr. Mahathir melibatkan Ops Lalang, sekarang siapa pula yang Kit Siang mahu s­a­lahkan? Sekarang siapa yang men­celarukan kita? Pada 2011 s­ema­sa Kit Siang menghentam Dr. Mahathir berkaitan isu Ops Lalang, beliau mengatakan bahawa Dr. Mahathir tidak sepatutnya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak polis dan menyalahkan polis pula.

Ketika itu Kit Siang sendiri berasa amat marah dengan kenyataan yang dibuat Dr. Mahathir tetapi hari ini cara percakapannya telah berubah sama sekali. Penulis nampak Dr. Mahathir bukan sahaja sudah menyelinap masuk ke dalam Pakatan Harapan malah kini terbayang beliau sudah menjadi ‘maharaja’ dalam Pakatan Harapan.

Sampaikan isu Ops Lalang juga sudah diubah. Pendirian Dr. Mahathir masih tidak berubah sebaliknya pemimpin-pemimpin pembangkang lain yang telah tunduk kepadanya. Setiap pemimpin pasti ada melakukan kebaikan dan juga ada membuat kesilapan. Yang penting mereka tahu insaf dan memperbaiki diri. Orang yang jujur dan ikhlas sahaja akan buat keputusan betul.

Jika orang yang melakukan ke­salahan itu sendiri tidak tahu mengaku salah, pasti orang di sekeli­lingnya seorang demi seorang akan meninggalkan. Adakah politik se­perti ini bernilai untuk kita ‘tonton’?