AKHBAR Oriental Daily News (ODN) bertarikh 17 Ogos 2017 menyiarkan artikel berhubung pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kotasas, Kuantan, Pahang pada 9 Ogos lalu, sekali gus menjadi lambang kerjasama erat antara Malaysia dan China dalam bidang pengangkutan rel. 

Menerusi artikel bertajuk Projek ECRL membawa perubahan disiarkan dalam ruangan Kolum ODN halaman 45, penulisnya Cheah See Kian telah mengupas pelaksanaan projek itu dari pelbagai sudut dan antara yang terpenting kesannya terhadap ekonomi negara secara keseluruhan.

Memetik kata-kata Perdana Menteri, pelaksanaan projek EC­RL yang kosnya mencecah RM55 bilion itu akan menyaksikan Malaysia bakal memasuki era baharu dalam bidang pengangkutan khususnya kereta api kerana mampu memendekkan tempoh perjalanan antara Pantai Barat dan Pantai Timur.

Apabila projek itu siap sepenuhnya pada 2024, perjalanan dari Selangor ke Kelantan akan lebih singkat iaitu hanya mengambil masa empat jam berbanding tujuh jam jika menggunakan jalan raya. Ada kalanya boleh mencecah sehingga lebih 12 jam terutama pada musim ­perayaan.

Sememangnya landasan se­panjang 688 kilometer itu yang bermula dari Klang hingga ke Stesen Gombak dan kemudian ke Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, Kotasas, bandar pelabuhan Kuantan, Cherating, Cukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Telemong, Kuala Terengganu, Penarik, Kampung Raja, Tok Bali, Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubur bakal menjadi landasan yang terpanjang di negara ini.

Yang pasti, laluan landasan ECRL yang melalui empat negeri (Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan) akan dapat merapatkan lagi hubungan antara kampung dengan bandar-bandar besar di Semenanjung Malaysia serta antara Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Secara umumnya, keseluruhan landasan yang dibina itu termasuk laluan bawah tanah sepanjang 65 kilometer dan jejantas sepanjang 88.8 kilometer bagi tujuan mengelak banjir ketika musim tengkujuh akan dapat menyingkatkan masa perjalanan dan ini memberi kelebihan kepada sektor pengangkutan negara.

Dalam pada itu, projek ECRL juga akan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di samping pihak kontraktor utama dari China itu akan melatih sebanyak 3,000 warga tempatan untuk mengendalikan landasan tersebut.

Berhubung kritikan pihak pembangkang ter­hadap projek itu yang mempersoalkan tentang kenaikan kos, penulis artikel ini membidas tuduhan-tuduhan mereka dengan menyatakan bahawa kenaikan kos projek tidak dapat dielakkan kerana berlaku kejatuhan ringgit.

Begitu juga dengan­ keputusan memanjang­kan lagi jajaran landasan dari 545 kilometer kepada 688 kilometer. Tidak terkecuali laluan te­rowong yang telah dipanjangkan da­ripada 30 kilometer kepada 65 kilometer. Sudah tentu semuanya ini melibatkan kenaikan kos.

Apa pun pada hemat penulis, perkembangan yang berlaku ini adalah satu perkara yang amat positif buat Malaysia.

PEMERGIAN KIM  HOCK DIRASAI

Akhbar Oriental Daily News bertarikh 17 Ogos 2017 turut mengupas keperibadian bekas Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock yang meninggal dunia pada 9 Ogos lalu akibat kanser. Artikel bertajuk Sikap tunduk dan jujur dibawa pergi selamanya yang disiarkan dalam ruangan Kolum Penulis halaman 46 hasil tulisan Liow Ming Ann antara lain menyentuh daya ­kepimpinan mendiang yang cukup hebat dan berwibawa.

Paling diingati, perwatakan Kim Hock seperti orang biasa dalam parti walaupun mendiang seorang pemimpin yang cukup disegani oleh kawan mahu pun lawan. Atas sebab itu, pemergian mendiang cukup dirasai oleh ahli-ahli akar umbi DAP.

Malah semangat tinggi mendiang melawan penyakit kanser yang dihadapinya memberi inspirasi kepada semua orang dan ahli keluarga terutama ahli-ahli akar umbi DAP agar sentiasa positif dalam perjuangan.

Selain itu, mereka yang pernah menjadi musuh politik Kim Hock turut berasa sedih dengan pemergiannya itu.

Mengimbau secara ringkas perjalanan politik mendiang, Kim Hock seperti mana diketahui oleh semua ahli serta pemimpin DAP, hanyalah sebagai Setiausaha Agung sementara.

Ini kerana ke­pimpinan DAP yang diketuai oleh Lim Kit Siang telah mengatur agar jawatan itu akhir­nya diserahkan kepada Lim Guan Eng.

Sungguhpun Kim Hock sedar akan keadaan itu, beliau tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya terhadap DAP.

Bahkan, setiap amanah serta tugas yang diberikan oleh parti akan dijalankan dengan sebaik-baiknya. Jangan lupa, semasa Kim Hock menyandang jawatan Setiausaha Agung parti, DAP ketika itu berhadapan dengan cabaran yang cukup hebat.

Antaranya masalah kekurang­an dana dan berpuak-puak. Namun itu semua tidak pernah mematahkan semangat Kim Hock untuk memulihkan semula DAP.

Beliau dengan jawatan yang disandangnya itu bersungguh-sungguh membina dan meletakkan DAP atas landasan yang asal.