TAY TING HIAN dalam ruangan Pendapat Yan Lu akhbar Sinchew Daily News, 15 September 2017 mengupas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini yang menimbulkan polemik.

Menerusi artikel bertajuk Najib dan Trump masing-masing memerlukan di halaman 25 akhbar itu, penulis merujuk perbalahan pendapat antara dua ‘puak’ - kerajaan dan pembangkang berkaitan isu di sebalik lawatan Najib ke negara Uncle Sam itu.

Puak yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) mengatakan lawatan membuktikan Trump masih menyokong kepemimpinan Najib dan AS dikatakan tidak lagi memainkan isu 1MDB yang boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara. Trump dilihat mempunyai pandangan sendiri berkaitan isu itu, dan ini bermakna Najib secara peribadi telah mendapat kemena­ngan besar!

Sebaliknya, puak pembangkang pula mendakwa lawatan tersebut memberi petunjuk Malaysia bakal tergadai melalui sejumlah besar pelaburan melibatkan kepentingan negara bagi membangunkan infrastruktur AS.

Pelaburan-pelaburan dibuat termasuk membeli kapal terbang Boeing untuk MAS dan pelaburan infra teknologi oleh syarikat milik kerajaan (GLC) di Lembah Silicon sebenarnya adalah untuk ­kepentingan Najib, terutama bagi meraih sokongan Trump.

Penulis menganggap perdebatan itu sekadar perbalahan ‘air liur’ kerana kedua-dua pihak dilihat melontarkan pendapat hanya berdasarkan kaca mata sendiri, ibarat si buta meraba-raba anggota tubuh gajah.

Pendapat penyokong BN bahawa AS menyokong Najib seolah-olah­nya memperkecilkan Trump. Sama ada beliau bijak ataupun tidak, Trump tetap seorang Presiden AS dan individu berkuasa di dunia.

Sementara itu, pihak pembangkang pula dilihat terlalu awal membuat tuduhan bahawa Malaysia telah digadai Najib melalui beberapa pelaburan besar ke atas AS. Sedangkan pelaburan infrastruktur di AS adalah satu peluang perniagaan.

Mereka perlu me­lihat kemampuan pe­laburan itu dari segi perincian termasuk pulangan dan pembahagian keuntu­ngan, tahap kerugian serta mengambil kira peratusan faedah di­kenakan.

Pembelian kapal terbang Boeing adalah hal yang tidak boleh die­lakkan oleh mana-mana syarikat penerbangan. Selain Boeing, MAS hanya ada satu lagi pilihan iaitu membeli Airbus keluaran Eropah.

Pembangkang sepatutnya me­ngemukakan persoalan berkaitan jumlah kapal terbang yang dibeli dan adakah harganya lebih mahal.

Maklumat lanjut daripada pe­ngurusan MAS perlu diperoleh untuk difahami sebelum membuat keputusan tepat.

Berkaitan pelaburan dalam syarikat berteknologi tinggi oleh GLC, contoh-contoh lepas sudah ada. Misalnya, pembelian saham syarikat Alibaba oleh GLC telah pun disenaraikan di Bursa Saham AS dan memperoleh keuntungan RM4 bilion.

Penulis cuba mengaitkan ­ke­sediaan Presiden AS bertemu Najib. Trump sebenarnya menyedari Malaysia mempunyai kedudukan nilai strategi serta pe­ranan politik ter­tentu. Perbalahan antara AS dan China di rantau Asia Tenggara memaksa Trump cuba berbaik-baik dengan negara-negara sekitar rantau itu agar berpihak kepada mereka dan menjadi rakan dalam kem strategi.

Trump nampak usaha China mewujudkan sistem pe­nguasaan baharu di Asia Tenggara de­ngan memudarkan pengaruh AS selain melihat Malaysia semakin rapat dengan China. Hal ini tidak di­senangi AS apatah lagi kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka.

Di peringkat dunia pula Malaysia dilihat sebuah negara Islam moden yang moderat dan mudah untuk menjalin hubungan rapat dengan pihak Barat, selain Malaysia juga anggota Globalisasi AS dan bersama-sama Trump untuk agenda banteras keganasan.

Seperti negara lain, Najib ­melaksanakan peranan diplomatik Malaysia yang menjurus kepada realiti. Iaitu mencari ruang sesuai untuk kepentingan Malaysia dengan menjalin hubungan baik dengan beberapa negara kuasa besar termasuk AS.

RAFIZI ‘BARAH’ PEMBANGKANG?

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 14 September 2017 menerusi tulisan Cheah See Kian dalam Kolum ODN halaman 54 memperlihatkan pertelagahan dalaman PKR yang berpunca daripada Mohd. Rafizi Ramli. Artikel bertajuk Rafizi bukan permata rebutan antara lain menyifatkan Naib Presiden PKR itu seorang yang suka manipulasi isu dan mempu­nyai banyak kes mahkamah.

Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR misalnya telah disabitkan dengan beberapa kes saman fitnah berkaitan isu lembu serta mendedahkan pembaziran duit awam oleh pegawai-pegawai kerajaan seperti membayar harga kontrak lebih tinggi daripada harga di pasaran.

Kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu bahawa beliau bukan ahli politik biasa sememangnya dapat dilihat melalui susur galur perjalanan Rafizi yang memainkan pe­ranan penting di sebalik misi Langkah Kajang menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 2014.

Rafizi dikatakan menggunakan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melaksanakan misi itu untuk menghalang Mohamed Azmin Ali daripada menjadi Menteri Besar Selangor berikutan gelombang dalaman PKR yang mahu menukar pucuk pimpinan diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim.

Rancangan beliau bagaimanapun gagal kerana Anwar hilang kelayakan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang yang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh dan akhirnya diganti oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail setelah mendapat restu PKR dan DAP.

Rafizi sekali lagi terpaksa akur kehendak Sultan Selangor yang memilih Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor ke-15. Hal ini tidak disenangi Rafizi.

Ramai melihat sikap Rafizi menyamai Lim Kit Siang yang suka menghentam. Sikap itu menjadikan beliau bukan sahaja dimusuhi parti luar bahkan peringkat dalaman PKR.

Malah Rafizi juga tidak gentar untuk mencabar sesiapa termasuk kepemimpinan parti pembangkang. Terbaharu beliau membantah secara terbuka usaha Mohamed Azmin mahu bekerjasama dengan Pas.