TULISAN Dominic Lau Hoe Chai dalam Kolum Oriental Daily News (ODN) bertarikh 13 Oktober 2017 memperlihatkan kepemimpinan DAP yang semakin bongkak setelah mem­belakangkan pandangan awam berhubung isu projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

TONY PUA
TONY PUA

Menerusi artikel Tiada siapa layak mempersoalkan DAP?, penulis merujuk tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menolak cabaran debat oleh Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong mengenai isu berkenaan.

Malah Pua dengan kenya­taan sombong mengatakan taraf­nya untuk berdebat sekurang-ku­ra­ngnya seorang Ahli Parlimen. Dan bukannya See-To yang dianggap sebagai nobody kerana tidak memegang apa-apa jawatan.

Rakyat tahu Pua sebenarnya mahu menutup ketakutan DAP yang sehingga kini gagal memberi penjelasan nyata tentang projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang kosnya akan mening­kat empat kali ganda daripada harga yang telah digazetkan.

Projek tersebut sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi, antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Malah, projek tersebut juga dibantah penduduk negeri itu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai latar belakang yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. (CZ-BUCG), yang terdiri daripada beberapa buah syarikat. Antaranya Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith), China Rail Group, China Beijing Urban Construction Group (BUCG), Sri Tinggi Sdn. Bhd. (Sri Tinggi) dan Juteras Sdn. Bhd.

Terbaharu, BUCG dilaporkan menarik diri daripada projek. Begitupun perkara tersebut ti­dak menjejaskan perancangan pe­laksanaannya kerana syarikat ber­kenaan bukanlah kontraktor utama.

Susulan perkembangan itu, syarikat CZ-BUCG telah diberi kuasa mandat oleh kerajaan ne­geri Pulau Pinang diterajui DAP bagi melaksanakan pembinaan dasar laut, termasuk projek susur tiga batang jalan dengan per­belanjaan yang akan mencecah RM6.3 bilion.

Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyasarkan terowong dasar laut itu siap menjelang 2027.

Sementara itu, permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang un­tuk membina jambatan ketiga yang menghubungkan Gurney Drive di bahagian pulau dan Bagan Ajam di tanah besar kini diklasifikasikan sebagai dalam pemerhatian atau keep in view (KIV) Kerajaan Pusat.

Keputusan penangguhan di­buat susulan kerajaan negeri ma­sih gagal menyerahkan dokumen diperlukan untuk menyokong permohonan berkenaan dan bukan bermotifkan politik.

Penulis cuba merungkai persoalan sekiranya Kerajaan Pusat meluluskan pembinaan jambatan ketiga Pulau Pinang itu, bukankah projek te­rowong dasar laut akan diambil alih oleh pembinaan jambatan tersebut?

Hakikatnya kontrover­si ber­kaitan projek terowong dasar laut perlu diperjelaskan DAP kepada rakyat khususnya penduduk Pu­lau Pinang. Untuk itu, debat secara terbuka per­lu dilakukan bagi menjawab segala persoalan yang berkaitan impak projek.

Bagi mengurangkan kuasa ‘veto’ DAP pada masa depan, rak­yat diingatkan agar memberi le­bih banyak mandat kepada wakil rakyat BN khususnya Ge­rakan pada pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan mereka menyertai sidang Dewan Unda­ngan Negeri.

Hanya dengan cara sebegini, salah guna dana kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek mega mahal dan mewah dapat dipantau dan dihalang. Guan Eng kena ingat, rakyat tidak lagi bodoh dan Gerakan Pulau Pinang kini bersedia untuk mengawasi setiap tindak tanduk DAP.

 

PAKATAN HARAPAN NAFI 
HILANG SOKONGAN

LAI SHAO KWANG dalam ruangan Kedai Kopi Ramai akhbar China Press, 17 Oktober 2017 menulis artikel yang memperlihatkan kegagalan Perhimpunan Rakyat Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi sebagai cerminan kepada undi parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Iro­ninya, menerusi artikel Maruah dan kebanggaan perhimpunan, pemimpin Pakatan Ha­rapan dilihat cuba menafikan hakikat itu apabila mengatakan bilangan peserta perhimpunan di Padang Timur, Petaling Jaya iaitu kawasan kubu kuat pembangkang sejak 2008 itu yang sekadar mengumpulkan 8,000 orang bukan menjadi kayu pengukur kepada terjemahan bahawa rakyat sudah menolak mereka.

Malah ‘bijak pandai’ dalam Pakatan Harapan mengatakan perhimpunan itu hanya satu simbolik untuk menzahirkan keberadaan mereka dan bilangan kehadiran tidak bermakna ia menunjukkan pergerakan sokongan tiket undi. Mereka menganggap sebahagian besar pengundi sudah lebih matang dan waras, justeru keha­diran rendah peserta khususnya kaum Cina bandar di kawasan itu bukan satu isu besar.

Andai itulah terjemahan me­reka, bagaimana pula dengan kehadiran lebih 100,000 peserta pada perhimpunan Bersih sebelum ini? Apakah semua yang hadir itu tidak waras? Sedangkan Perhimpunan RUU 355 anjuran Pas di Padang Merbok, Kuala Lumpur dihadiri lebih 300,000 orang. Memetik kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, “kehadiran itu amat berkait rapat dengan maruah dan kebanggaan Pas.”

Jika kehadiran peserta tidak me­lambangkan ‘angin tiupan’ pilihan raya, kenapa pula Pakatan Harapan mahu mengerah orang ramai hadir dalam Perhimpunan Rakyat Saya­ngi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi baru-baru ini? Hakikatnya tiada sebarang isu besar diumumkan dan satu-satunya ceramah Tun Dr. Mahathir Mohamad pada perhimpunan itu ialah mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Agenda selamatkan negara ti­dak disentuh. Justeru, tidak hai­ranlah perhimpunan dilihat gagal membangkitkan sebarang tsunami politik. Perlu ingat, pengundi sudah semakin bijak dan lebih mementingkan ekonomi. Ke­simpulannya, rakyat masih tidak na­mpak janji-janji jelas Pakatan Harapan untuk membuat perubahan secara keseluruhan.