KERATAN Oriental Daily 17 April 2018.

AKHBAR Oriental Daily bertarikh 17 April 2018 memaparkan tulisan Tan Hai Tuck melalui ruangan Kolum Penulis mengenai taktik DAP ‘diktator’ di Johor. Setiap kali pilihan raya umum (PRU), DAP akan membuat rombakan besar-besaran calon mereka. PRU kali ini, sekali lagi DAP menumpukan kekuatannya di Johor walaupun PPBM merancang untuk menakluki Johor.

Pada PRU lepas, DAP dilihat sebagai pemenang utama Pakatan Rakyat di Johor berban­ding Pas dan PKR yang lemah di kawasan perkampungan Melayu. Ketika itu, rakyat sedang membantah sebab itu calon baharu dan calon ‘bidan terjun’ DAP mempunyai peluang lebih baik.

Sebelum PRU 2008, calon yang menang di kebanyakan kawasan adalah dalam kala­ngan orang lama. Kawasan yang berpuak-puak pula tidak memihak kepada calon DAP peringkat pusat sehingga menimbulkan masalah kepada parti. Pemilihan calon kali ini, DAP pusat masih menggunakan cara lama seperti diktator dengan menukar secara besar-besaran senarai calon.

Orang kuat DAP di Johor, Er Teck Hwa sebagai anak tempatan akhirnya diumumkan terkeluar daripada senarai calon. Pada Janua­ri lalu, beliau diumumkan akan menjadi calon peringkat Parlimen tetapi akhirnya diserahkan kepada calon ‘bidan terjun’, Yeo Bee Yin.

Agak pelik, Bee Yin adalah muka baharu DUN Damansara Utama di Selangor pada PRU Ke-13 tetapi dikatakan tidak rapat dengan akar umbi DAP. Tidak dapat dinafikan Bee Yin mungkin disisihkan orang bawahan di Johor.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching telah mengumumkan mahu menetap di tempat sama dan tidak sanggup dihantar bertan­ding ke kawasan lain. Sebelum ini, beliau sering berkata mahu menghapuskan MCA tetapi um­pama ‘cakap kosong’ sedangkan dia sendiri tidak berani untuk keluar daripada kawasan selamat.

Sebenarnya MCA juga mempunyai calon kuat yang boleh bersai­ng dengan Nie Ching jika beliau kekal di Kulai dan DAP mungkin akan menerima tamparan hebat hasil persaingan sengit itu.

Lebih menonjol adalah bekas Pengerusi DAP Johor, Boo Cheng Haw. Walaupun orang kuat DAP di Johor sudah tidak ramai, orang baharu dari DAP pusat tetap perlu meminta izin pemimpin lama tempatan.

Dalam pemilihan parti peringkat pusat, Cheng Haw tewas dan nasibnya kini seperti Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw yang disingkir parti. Cheng Haw mahu mempertahankan kawasan sama tetapi beliau bukan lagi menjadi ke­utamaan DAP.

Disebabkan Cheng Haw te­lah lama bertapak dan berbakti di Skudai, orang bawahannya amat ramai dan kuat. Walaupun dalam pemilihan bahagian ramai ahli masih mahu mengekalkan beliau, DAP pusat tetap mele­takkan beliau di Labis. Besar kemungkinan akan berlaku gempa besar politik DAP di Johor.

Jika strategi di Johor tidak di­susun rapi, ‘bidan terjun’ yang dihantar dari pusat mungkin hanya menjadi racun kepada DAP sendiri kerana mereka mengetepikan hasrat orang tempatan dan menggunakan cara diktator dalam meletakkan calon.

MEMBURU UNDI MELAYU

AKHBAR Oriental Daily bertarikh 18 April 2018 pula memaparkan tulisan Pua Chun Seng melalui ruangan Kolum ODN mengenai persaingan sengit mengejar undi orang Melayu antara gabungan pembangkang PKR dan Barisan Nasional (BN).

Pembangkang mahu menukar kerajaan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu jadi Perdana Menteri semula, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu pertahan kubu kuat mereka di Selangor dan Pulau Pinang malah mahu menawan kubu BN di Negeri Sembilan, Kedah, Johor dan Perak.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula mendakwa kaji selidik Invoke menunjukkan gabungan pembangkang PKR akan menang 89 kerusi di Semenanjung, BN 76 kerusi, sementara Pas kalah semua kerusi Parlimen. Katanya lagi, so­kongan orang Melayu antara BN dan pembangkang tidak jauh berbeza tetapi sokongan orang Cina dan India lebih tinggi kepada gabungan pembangkang PKR.

Mengikut Guan Eng dan Rafizi, pembangkang ada peluang menukar kerajaan dan merampas beberapa negeri tetapi syarat untuk menang bergantung kepada sokongan pengundi Melayu.

Hakikatnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi imbuhan kepada orang kampung, kakitangan kerajaan dan orang Felda dan ini dapat menstabilkan kos sara hidup dan mententeramkan penduduk luar bandar. Adakah orang kampung akan mendengar kata-kata pe­mimpin tertinggi pembangkang khu­susnya Dr. Mahathir dan mem­buat tsunami Melayu?

Walaupun Guan Eng hanya perlu menang 112 kerusi tetapi ramai orang politik menganggap gabungan pembangkang PKR tidak mungkin boleh mencapai angka itu kerana selain DAP yang mendapat sokongan majoriti orang Cina, PKR, PPBM dan Amanah agak sukar menumbangkan calon UMNO.

Masyarakat Melayu yang majo­ritinya tinggal di kampung dan Felda selama ini telah dijaga baik dan diberi bantuan oleh kerajaan BN. Di saat ini adakah mereka secara tiba-tiba akan berubah fikiran dan meninggalkan BN untuk gabungan pembangkang PKR? Jawapannya, mereka mungkin masih anggap BN sebagai payung untuk berteduh.