Dalam tulisannya yang bertajuk Dalaman PKR berbalah akan lebih perkukuhkan PH? dalam ruangan Opinion Yanlu di halaman 21, Dr. Awang menyatakan tentang pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden parti. Ini bermakna Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan memberi laluan kepada suaminya itu.

Sesetengah pihak menganggap tawaran Anwar untuk bertan­ding presiden adalah bagi membuktikan bahawa beliau masih mempunyai pengaruh yang kuat. Selain itu, beliau mahu memberi mesej kepada pihak luar bahawa beliau masih diperlukan walaupun dikhabarkan ramai penyokong setia Anwar dahulu te­lah berpatah haluan menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini turut mengakui wujud beberapa kem menjelang pemilihan parti. Namun, ia disifatkan sebagai satu perkara biasa dalam parti yang mempraktikkan sistem demokrasi. Walau bagaimanapun, kenyataan Zuraida itu sekali gus membuktikan bahawa PKR mempunyai dua kumpulan iaitu kumpulan menyokong Anwar dan satu lagi menyokong Azmin.

Kedudukan Azmin juga dikatakan semakin berpengaruh dan kebolehannya diiktiraf oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dalam hal itu, Azmin dianggap orang kepercayaan Dr. Mahathir. Jika pemilihan jawatan presiden parti (jika Azmin menawarkan diri bertanding jawatan itu), beliau tewas, kedudukannya dalam Kabinet tidak akan tergugat selagi Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Sekiranya Azmin berhasrat mengekalkan jawatan Timbalan Presiden, beliau akan berdepan dengan pencabar, Rafizi Ramli yang sudah pun mengumumkan untuk bertanding jawatan itu. Sumber daripada seorang ahli parlimen PKR turut memberitahu, Azmin sering membuat keputusan yang membelakangi parti. Contohnya pada PRU-13, Azmin mahukan kerjasama dengan Pas sedangkan Pakatan Rakyat ketika itu telah menolak Pas. Perbalahan antara Rafizi dan Azmin mungkin akan merosakkan PKR, terutama sekali dalam keadaan PH masih belum mengotakan janji-janji manifesto pilihan raya mereka.

APAKAH HALA TUJU MCA?

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 27 Julai 2018 pula memaparkan tulisan Liew Kok Wei yang mengupas mengenai hala tuju MCA pasca PRU-14.

Dalam tulisannya yang bertajuk MCA berpecah namun tidak berpisah dalam ruangan ODN Column di halaman 46, Kok Wei menyatakan tentang hasrat MCA untuk mencalonkan wakil parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan berkemungkinan akan menggunakan logo parti sendiri berbanding Barisan Nasional (BN).

Umum mengetahui hubungan MCA dan UMNO sudah terbentuk seawal sebelum merdeka. Kedua-dua parti itu menubuhkan Perikatan dan kemudiannya bersama membentuk BN.

Walau bagaimanapun, selepas PRU-14, negara telah bertukar kerajaan. BN bukan sahaja kehilangan enam negeri, malah Kerajaan Pusat juga telah tewas dan diserahkan kepada PH. Ini adalah tamparan berturut-turut kepada BN apabila parti-parti komponen Sarawak juga keluar daripada BN termasuk Gerakan. Keadaan itu menyebabkan BN hanya tinggal empat buah parti.

MCA pula telah memberikan gambaran mahu berpecah daripada BN tetapi tidak mahu mengikut cara Gerakan berpisah secara baik. MCA menganggap parti itu satu-satunya pemang­kin kepada kewujudan BN. Atas sebab itu, MCA masih belum lagi bertindak keluar BN. Namun demikian, keadaan tersebut kelihatan agak janggal seolah-olah sudah berpecah tetapi belum bercerai. Situasi ini boleh disimpulkan kepada tiga pandangan.

Pertama, sebagai sebuah parti politik berorientasikan kaum, jika MCA keluar daripada BN, parti itu tidak mampu bergerak secara solo. MCA hanya mewakili 25 peratus rakyat. Sekiranya mereka berhasrat untuk mentadbir kerajaan pusat semula, MCA perlu bekerjasama dengan UMNO yang mewakili majoriti rakyat.

Kedua, jika MCA memilih jalan keluar daripada BN, MCA akan terhakis banyak sumber politik berbanding dalam BN sekali gus amat sukar untuk bergerak solo dalam keadaan kekurangan sumber.

Ketiga, nisbah pembahagian kerusi kepada parti komponen BN amat cerah diberikan kepada MCA jika masih kekal dalam BN berbanding bergerak secara solo yang dilihat potensi untuk menang agak tipis.

Jika dilihat kepada fenomena hari ini, MCA masih mempu­nyai satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN. Salah satu jalan jika MCA mahu menang ialah perlu bekerjasama dengan UMNO untuk mendapat sokongan daripada pengundi Melayu dan Cina.