AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 25 Januari 2018 menyiarkan artikel yang menyentuh sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Artikel bertajuk Hadi Awang mahu jadi penentu yang ditulis oleh Cheah See Kian disiarkan dalam Kolum ODN halaman 42.

Pada 17 Januari lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bahawa jika parti itu menang 40 kerusi Parlimen pada PRU-14, pihaknya berupaya menubuhkan kerajaan campuran dengan parti lain untuk memerintah di peringkat Pusat.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan parti itu akan bertanding 130 kerusi Parlimen bagi merealisasikan sasaran untuk menang 40 kerusi.

Bagaimanapun, perkara ­berkenaan boleh disifatkan sebagai satu impian sahaja jika parti itu mahu membentuk kerajaan secara bersendirian kerana jumlah terbabit masih sedikit berbanding 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Ini bermakna Pas memerlukan parti-parti lain yang memenangi lebih banyak kerusi untuk memerintah negara. Pas hanya akan menjadi parti tunggak jika menang 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Jika dilihat sejarah, kerusi Parlimen paling banyak dimenangi Pas adalah pada PRU 1999 de­ngan 27 kerusi ketika berada dalam Barisan Alternatif dan hanya 23 kerusi (2008) serta 21 kerusi (2013) semasa bersama Pakatan Rakyat. Hari ini, jumlah ahli Parlimen Pas hanya 13 orang setelah sebahagiannya keluar menyertai PAN.

Walaupun Pas meletakkan 130 calon bertanding kerusi Parlimen, berapakah kawasan yang parti itu akan menang? Adakah Pas akan menang di Sabah dan Sarawak yang menawarkan 56 kerusi Parlimen?

Walaupun calon Pas dikatakan berpeluang untuk menang di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor dan Perak, di negeri-negeri lain peluang itu kelihatan agak kecil. Seperti di Johor, wakil parti itu terpaksa bersaing dengan calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN), sama juga di Selangor dan Negeri Sembilan.

Pas mendakwa calon parti itu berpeluang untuk menang di Selangor berikutan pendirian parti itu berbaik-baik dengan UMNO. Adakah itu boleh menjadi ke­nyataan jika kedua-dua parti, masing-masing hanya menggunakan slogan agama dan perju­a­ngan membela nasib orang Me­layu bagi menarik pengundi?

Lagipun di Selangor, Pas dan BN akan mendapat tentangan sengit daripada calon PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Penulis berpendapat, sikap Pas yang tidak mahu bergabung de­ngan Pakatan Harapan akan menyebabkan parti itu tidak dapat bangkit dengan cemerlang pada PRU-14.

 

AMBIL RISIKO PILIH KERAJAAN

ISU melantik Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara untuk Pakatan Harapan turut diulas akhbar Oriental Daily News bertarikh 20 Januari 2018.

Artikel yang ditulis oleh penulis bebas, Lim Yu Suan bertajuk Unsur Mahathir jadi pragmatik dalam pilihan raya disiarkan dalam Kolum ODN halaman 38.

Pakatan Harapan memper­kenalkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sementara disebabkan individu sebenar, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam penjara.

Keputusan drastik mencalo­nkan bekas Perdana Menteri itu mengundang risiko yang tidak dapat dielakkan kerana banyak keputusan dibuat beliau ketika memerintah negara selama 22 tahun tidak disenangi pelbagai pihak. Dalam erti kata lain, Dr. Mahathir mempunyai beban sejarah.

Sebenarnya, yang berdepan risiko bukan sahaja Pakatan Harapan, sebaliknya rakyat juga menghadapi perkara sama. Jika dilihat pola sejarah, negara kita perlu ada parti pemerintah yang silih berganti.

Jika rakyat memilih kerajaan yang dimonopoli oleh satu parti sahaja, mereka berdepan risiko ditadbir oleh pemerintah yang terlibat dengan pelbagai penyelewengan.

Dalam pada itu, MCA pula meminta rakyat tidak mengambil tindakan berisiko dengan memilih Dr. Mahathir yang melakukan banyak kepincangan ketika zaman pemerintahannya. Tetapi rakyat juga boleh bertanya kepada pemimpin MCA, kenapa ketika zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri itu mereka tidak bangkit menentang segala penyelewengan yang berlaku?

Baru sekarang pemimpin MCA begitu agresif menentang Dr. Mahathir. Tidakkah perlakuan mereka itu kelihatan begitu lucu dan palsu?

Sementara itu, ada pihak mendakwa jika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi, beliau akan menguasai pakatan pembangkang dan memperkenalkan pemerintahan mirip BN.

Penulis berpandangan, Pakatan Harapan sudah mempunyai banyak fakta untuk menyanggah hujan berkenaan, termasuk faktor usia beliau yang sudah lanjut dan bilangan kerusi sedikit yang dijangka dimenangi PPBM.

Dakwaan itu adalah berdasarkan kepada andaian semata-mata. Antara andaian itu, Dr. Mahathir akan mungkir janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar dan prasangka Pakatan Harapan tidak dapat mengawal Dr. Mahathir.

Sekarang ini terpulang kepada rakyat untuk memilih Pakatan Harapan atau BN. Bagi penulis, pilihan ketiga, untuk tidak turun mengundi atau membuat undi rosak, itu adalah tindakan kurang tepat kerana menunjukkan pe­ngundi tidak sanggup mengambil risiko.