AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 12 Mei 2017 menyiarkan artikel mengulas pengumuman barisan kepemimpinan baharu Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Artikel ditulis oleh Naib Pre­siden Gerakan, Datuk Dr. Lau Hoe Chai bertajuk, Kepemimpinan pakatan harapan, kulit baharu isi lama disiarkan dalam ruangan Kolum ODN halaman 45.

Baru-baru ini, diumumkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail masing-ma­sing ialah penasihat dan pengerusi gabungan itu. Walaupun Dr. Mahathir dilantik sebagai penasihat, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Turut dilantik ialah tiga naib pengerusi iaitu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pre­siden PAN, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bekas Timbalan Menteri Penga­jian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Setiausaha Agung manakala Naib Presiden DAP, M. Kulasegaran dilantik menjadi bendahari.

Walaupun gabungan diketuai DAP itu telah mengumumkan barisan kepemimpinan baharu, penulis berpendapat tidak banyak perubahan yang berlaku kerana kebanyakan mereka ialah individu sama yang menerajui pakatan pembangkang sebelum ini.

Masing-masing mempunyai dasar perjuangan berbeza dan payah untuk mencapai kata sepakat. Dalam erti kata lain, hanya tukar kuah tetapi isi tetap sama.

Sebab itu, rakyat patut berasa sangsi dengan barisan kepe­mimpinan yang diumumkan oleh gabungan berkenaan kerana ma­sing-masing masih enggan me­nyatakan pendirian berhubung banyak isu besar yang telah mencetuskan pertelagahan.

Sepatutnya, rakyat mendesak setiap pe­mim­pin menyatakan pendirian secara jelas berhubung Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Rakyat juga ingin tahu pendirian mereka berkaitan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Satu lagi perkara yang harus disedari rakyat adalah DAP, PKR, PAN dan PPBM masing-masing mempunyai dasar politik cukup berbeza antara satu sama lain yang sudah pasti akan mencetuskan lebih banyak masalah sekiranya gabungan itu memerintah negara nanti.

Orang ramai sepatutnya tidak mempercayai Pakatan Harapan kerana gabungan itu hanya bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) semata-mata dan bukannya bagi kepentingan negara dan kebajikan rakyat.

Sementara itu, Pakatan Harapan belum dapat mencapai kata sepakat mengenai siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri. Baru-baru ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah mencadangkan Dr. Mahathir menjadi calon Perdana Menteri gabungan itu.

Cadangan itu membuktikan Zaid tidak yakin dengan keupayaan Wan Azizah untuk menjadi Perdana Menteri.

Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu, pembangkang sering mengkritik beliau, sekarang jika mereka mahu beliau memegang jawatan itu sekali lagi, bukankah itu bermakna Pakatan Harapan mahu menampar muka sendiri?

Di sini kita boleh nampak dengan jelas bahawa gabungan itu tiada calon Perdana Menteri. Penulis sangsi Pakatan Harapan boleh mencapai kata sepakat bagi memilih individu yang akan memegang jawatan berkenaan.

SIAPAKAH CALON PERDANA MENTERI PEMBANGKANG?

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 12 Mei 2017 turut me­nyentuh teka-teki siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan me­rampas Kerajaan Pusat.

Artikel pendapat pengarang akhbar berkenaan bertajuk, Pe­mimpin Pakatan Harapan ma­sing-masing tunjuk bakat disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman A12.

Baru-baru ini, Timbalan Pre­siden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa parti itu sudah mempunyai calon Perdana Menteri tetapi berpendapat belum tiba masanya untuk mengumumkan nama individu berke­naan kepada umum.

Di pihak PPBM pula telah meng­umumkan hasil bancian melibatkan 3,000 responden di 30 kerusi Parlimen BN dan pembangkang, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Bancian itu menunjukkan calon-calon daripada parti itu menjadi pilihan rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

Keputusan bancian itu menunjukkan Muhyiddin menjadi pilihan teratas dengan 37.3 peratus bersetuju beliau menjadi Perdana Menteri dan diikuti Dr. Mahathir sebanyak 35.9 peratus undi bersetuju.

Kedudukan ketiga ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; keempat, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; kelima, bekas Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan keenam, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bancian itu seolah-olah memberi mesej bahawa Anwar sudah tidak lagi menjadi pilihan rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

Sungguhpun ada pihak yang mempertikaikan ketelusan bancian berkenaan, satu hakikat yang harus diterima adalah penga­ruh bekas Ketua Pembangkang itu sudah pudar.

Gelombang reformasi yang dibawa beliau sudah malap dan Pakatan Harapan tidak boleh lagi bergantung kepada undi simpati bagi meraih sokongan rakyat.

Walaupun mengambil tindakan betul untuk tidak lagi menggunakan isu Anwar bagi meraih undi, Pakatan Harapan sedang menghadapi satu isu besar lain yang belum dapat diselesaikan iaitu menentukan individu yang akan menjadi Perdana Menteri.

Keadaan itu sudah pasti mengecewakan kira-kira 85 peratus pengundi Cina yang bertindak menyokong pihak pembangkang pada PRU-13.

Pengundi Cina mengharapkan nama calon Perdana Menteri dan Kabinet bayangan melibatkan menteri dan timbalan menteri daripada DAP ditentukan lebih awal bagi membolehkan mereka memutuskan adakah sokongan sama boleh diberikan pada PRU-14 nanti.

Mereka hanya akan meneruskan sokongan sekiranya Pakatan Harapan dapat membuktikan gabungan itu boleh membentuk Kerajaan Pusat yang boleh menjadi alternatif kepada BN dan DAP mendapat pulangan setimpal.