Melalui tajuk Sukar bagi PH bangkitkan gelombang tukar kerajaan, penulis artikel tersebut telah mengupas dari pelbagai sudut segala yang berkaitan dengan tajuk berkenaan terutama persiapan Pakatan Harapan untuk bersaing dengan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam tempoh PRU-14 yang dijangka beberapa bulan lagi, jentera Pakatan Harapan dikatakan telah mula bergerak dalam berhadapan dengan tentangan BN. Mereka nampaknya bersungguh-sungguh mahu menumbangkan BN dan mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apatah lagi jentera Pakatan Harapan pada pilihan raya umum kali ini dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KERATAN Oriental Daily News bertarikh 11 November 2017.
KERATAN Oriental Daily News bertarikh 11 November 2017.

Bagaimanapun berdasarkan­ maklumat yang diterima, kedudukan UMNO dan BN tetap utuh dan dijangka BN akan memperoleh kemenangan pada pilihan raya umum tersebut. Berdasarkan maklumat juga, UMNO akan meletakkan 116 hingga 117 di kerusi Parlimen dan 336 hingga 338 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

Selain itu, Sabah dan Sarawak masih dilihat sebagai kubu kuat BN. Prestasi MCA juga dikatakan semakin meningkat berbanding PRU-13. Namun begitu parti komponen BN itu sukar untuk meraih kemenangan besar pada PRU-14.

Yang pasti, kedudukan Pakatan Harapan ketika ini masih belum cukup mantap lebih-lebih lagi dengan penarikan Pas daripada menyertai gabungan itu. Perlu diakui apabila Pas menarik diri daripada pakatan, kekuatan gabungan tersebut turun secara mendadak dan paling menerima kesan adalah PKR,

Sebab itu timbul persoalan sama ada PKR mampu mengekalkan pemerintahan me­reka di Selangor atau sebalik­nya selepas Pas tidak ada lagi berada dalam pakatan. Tidak terkecuali DAP yang mana parti tersebut juga dikatakan menerima kesan yang sama.

Tidak mustahil DAP akan kehilangan beberapa kerusi di peringkat Parlimen dan DUN kerana tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahli Pas. Sungguhpun begitu di kawasan majoriti pengundi Cina, DAP dijangka tidak ada masalah untuk mengekalkan penguasaan mereka di kawasan berkenaan.

Bahkan ada pihak yang meramalkan DAP tetap muncul sebagai parti kedua terbesar memiliki kerusi Parlimen dan DUN selepas UMNO meskipun akan terdapat beberapa kawasan yang mereka (DAP) akan kalah.

Maklumat turut memberitahu, terdapat sebahagian penyokong setia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hilang semangat perjuangan. Mereka dikatakan tidak mahu lagi menyokong PKR. Jika keadaan ini benar-benar berlaku, masalah besar akan menimpa Pakatan Harapan.

Paling terkesan adalah PKR sendiri. Ditambah lagi PKR kini tidak sehaluan dengan Pas. Ini juga bermakna PKR sedang berhadapan dengan cabaran yang amat getir sekali sekali gus boleh menjejaskan kedudukan kerajaan PKR di Selangor terutama dalam konteks PRU-14. Justeru, usah dihairankan sekiranya rata-rata pemerhati politik berpandangan PKR kini menjadi parti paling rugi dalam Pakatan Harapan.

BANJIR: KERAJAAN NEGERI TIDAK PEKA?

Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 9 November 2017 pula memaparkan tulisan Lee Leong Shih dalam ruangan Pendapat di halaman A12 yang mengupas tentang kejadian banjir yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam artikelnya bertajuk Pulau Pinang dilanda banjir, Leong Shih menyentuh isu-isu berkaitan kejadian tersebut termasuk dari sudut politik. Berdasarkan pengamatannya, langkah Kerajaan Pusat menghulurkan bantuan dengan segera amat dialu-alukan serta diiktiraf oleh rakyat negeri itu termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Sememangnya bantuan yang dihulurkan itu tepat pada masa­nya dan tidak dapat dinafikan, BN mempunyai peluang yang cerah untuk merampas semula Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang jika diukur keupayaan setiap jenteranya dalam membantu rakyat Pulau Pinang ketika banjir melanda negeri itu.

Apapun isu banjir di Pulau Pinang itu sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan ­negeri dan tidak terkecuali Kerajaan Pusat. Di pihak kerajaan negeri, mereka boleh disifatkan sebagai tidak peka jika kita mengambil kira kejadian banjir yang berlaku di negeri itu sebulan sebelum ini.

Dalam isu ini kerajaan Pulau Pinang sebenarnya telah terlepas pandang dan mereka langsung tidak menyedari bahawa sebarang perubahan fenomena yang berlaku ketika ini sebenarnya boleh membawa bencana. Selama ini kita hidup dalam keadaan aman damai dan itu yang menyebabkan masing-masing tidak peka dengan keadaan sekeliling sehinggalah berlaku satu-satu bencana.