AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 9 Jun 2017 menyiarkan artikel mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa beliau bersedia menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menguasai Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bersedia berbuat demikian jika diminta oleh semua parti yang menjadi anggota gabungan itu.

Artikel bertajuk, Jika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri lagi yang ditulis oleh Loh Han Chew disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman A12.

Persetujuan Dr. Mahathir untuk menimbang bagi menjawat semula jawatan itu jika ‘dipaksa’ membuatkan penulis teringat kembali kejadian ketika Perhimpunan Agung UMNO 2002 apabila beliau dengan berlinangan air mata secara mengejut mengumumkan mahu melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Setelah dipujuk beliau akhir­nya bersetuju langkah itu tidak dibuat dengan segera sebaliknya ditetapkan tempoh peralihan kira-kira setahun.

Antara alasan yang diberikan oleh beliau untuk melepaskan jawatan itu adalah kerana sudah tua dan tidak berminat lagi menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, kenyataan terbaharu berkenaan menyebabkan semua rakyat tersedar bahawa beliau masih ingin menjadi Perdana Menteri walaupun cuba bercakap secara tidak berterus-terang dengan menyatakan ha­nya jika ‘dipaksa’. Beliau bercakap berbelit-belit supaya niat sebenar itu tidak terdedah.

Berikutan senario terbaharu ini, penulis meminta semua rak­yat membayangkan nasib Malaysia sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU-14 dan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Bagi penulis, Malaysia sudah pasti akan hancur. Ini kerana kita tidak dapat mencari seorang pemimpin baharu untuk menjadi Perdana Menteri daripada 30 juta penduduk negara ini.

Kenapa masih mahukan Dr. Mahathir yang berusia lebih 90 tahun memimpin negara ini? Cuba kita fikirkan apakah nasib dan masa depan Malaysia.

Di negara kecil seperti Finland, Denmark, Norway, Sweden dan Singapura dengan penduduk hanya beberapa juta orang sahaja mereka tidak pernah menghadapi masalah kekurangan calon untuk menjadi Perdana Menteri atau Presiden bagi memimpin negara berkenaan.

Negara kita mempunyai penduduk lebih ramai. Kenapa orang sama mahu dilantik semula menjadi Perdana Menteri? Bagi penulis, negara seperti ini sudah tidak ada masa depan.

Mungkin ada yang berkata, calon Perdana Menteri terhad kerana hanya orang Melayu boleh menjawat jawatan itu. Kaum lain walaupun hebat sekali pun tidak boleh menjadi Perdana Menteri.

Pandangan itu tidak boleh diterima kerana di negara ini ada 20 juta orang Melayu. Kenapa dengan jumlah sebegitu ramai kita masih tidak jumpa calon Perdana Menteri yang hebat? Kenapa hanya mahukan Dr. Mahathir seorang yang dikatakan hebat?

Bagi penulis, zaman Dr. Mahathir sebenarnya sudah berlalu. Di Malaysia masih ramai pemimpin yang boleh menjadi Perdana Menteri.

Walaupun Malaysia sudah kehilangan seseorang pemimpin hebat seperti beliau, negara ini akan tetap maju ke hadapan.

RAGU PAKATAN HARAPAN BOLEH MENANG 
PRU-14

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 10 Jun 2017 menyiarkan artikel yang menyentuh pergeseran yang masih berlaku dalam Pakatan Harapan.

Artikel yang ditulis oleh pakar sejarah, Hew Kuan Yau bertajuk, Menghentam Barisan Nasional (BN) perlu seperti air yang tidak terbentuk disiarkan dalam ruangan Kolum ODN halaman 45.

Ketika Pakatan Harapan ber­depan musuh besar yang terdiri daripada BN dan Pas, parti-parti yang menyertai gabungan itu sepatutnya bersatu dan berhenti daripada bercakaran sesama sendiri.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila parti-parti itu tidak memberi tumpuan untuk menghentam BN dan Pas sebaliknya asyik salah-menyalah sesama sendiri termasuk menonjolkan kisah kesilapan lampau Dr. Mahathir dengan bermacam-macam hujah.

Contohnya, ada dalam kalang­an pihak tertentu dalam pembangkang mempersoalkan ada­kah bekas Perdana Menteri itu percaya kepada demokrasi atau pemerintahan diktator?

Jika kita imbas kembali keadaan politik di Malaysia sekarang, peluang Pakatan Harapan untuk menang adalah sukar kerana pertama, musuh mereka ketika PRU-14 bukan sahaja BN malah Pas. Kedua-dua parti itu telah bekerjasama secara tidak rasmi terutama yang membabitkan isu-isu Islam.

Untuk menang pilihan raya tidak mudah. Memang ada ung­kapan satu orang satu undi, tetapi di Malaysia yang majoriti pengundi ialah Melayu Muslim, gabungan itu tidak mudah untuk menarik sokongan kerana dite­rajui DAP yang dilihat dikuasai kaum Cina.

Sekiranya tidak mampu menang pilihan raya, Pakatan Harapan perlu mengambil risiko lebih besar dengan cara menggunakan kaedah kekerasan. Bagaimanapun, langkah itu hanya akan menyebabkan pertumpahan darah dan memang tidak berbaloi.

Kedua, Pakatan Harapan sukar menang kerana media, sistem perundangan dan kakitangan kerajaan dikawal oleh BN yang memerintah.

Kaki dan tangan pihak-pihak berkenaan diikat. Jadi pastinya keputusan pilihan raya sudah boleh dijangkakan dan akan gagal jua.

Ketiga, sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia secara ber­ansur-ansur bukan menuju untuk menjadi sebuah negara demokrasi sebaliknya semakin mirip kepada pemerintahan teokrasi (sistem kerajaan yang menggunakan hukum-hukum agama sebagai dasar pemerintahan negara).

Kerajaan BN menyedari hakikat berkenaan, sebab itu UMNO cenderung untuk mengadakan kerjasama dengan Pas.

Oleh itu, Pakatan Harapan tiada pilihan kecuali memperbaiki hubungan parti-parti dalam gabungan berkenaan khususnya antara DAP dan PPBM.

PPBM amat diperlukan ter­utama bagi menarik sokongan orang Me­layu. Satu perkara yang harus disedari adalah kereta perisai Ubah DAP tidak dapat masuk ke kampung-kampung Melayu, sebaliknya yang boleh berbuat demikian adalah pa­sukan bermotosikal PPBM.

DAP perlu mengubah persepsi penyokong mereka yang tidak menyukai Dr. Mahathir kerana didakwa hanya mahu menyelamatkan orang Melayu. Jika tsunami politik Cina dan Melayu bergabung barulah dapat tumbangkan UMNO.