Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ISU-ISU AKHBAR CINA - 13 JULAI 2017

KIT SIANG TIDAK BERUBAH

KERATAN Nanyang Siang Pau 6 Julai 2017.

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 6 Julai 2017 ­memaparkan tulisan Wang Kai Eng melalui ruangan Pendapat mengenai percaturan politik Lim Kit Siang menggunakan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kit Siang bersekongkol dengan musuh ketatnya, Dr. Mahathir sehingga menggemparkan arena politik Malaysia. Suara-suara sumbang mula membantah sehinggakan Kit Siang menyoal apa salahnya bergabung dengan Dr. Mahathir untuk selamatkan Malaysia?

Mereka yang benar-benar memahami sikap Kit Siang menganggap beliau bijak mengaburi mata orang ramai dan tidak mungkin Kit Siang boleh tersilap membuat keputusan. Besar kemungkinan kaedah itu semuanya adalah susun atur Kit Siang sendiri tetapi hakikat yang sebenarnya hanya mereka berdua sahaja mengetahuinya.

Adakah benar mereka berdua telah memadamkan segala dendam? Adakah benar musuh kini telah dianggap kawan setia?

Bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau mendakwa tindakan Kit Siang itu adalah demi menyelinap masuk ke dalam kawasan peti undi Melayu selepas DAP berpatah arang dengan Pas.

Kit Siang terpaksa mengambil kesempatan menggunakan pengaruh Dr. Mahathir sekurang-kurangnya mengejutkan pihak lawan. Ini bermaksud mereka sebenarnya saling mempergunakan antara satu sama lain. Apabila polemik politik berubah, DAP terpaksa mempergunakan Dr. Mahathir untuk masuk ke kawasan Melayu.

Apa yang diuar-uarkan mereka berdua mahu menyelamatkan negara ini bukan perkara sebenar, besar kemungkinan lebih kepada manis mulut sahaja.

Kedua-dua tokoh itu adalah manusia yang hebat dan tidak akan berbuat sesuatu perkara yang merugikan diri sendiri.

Sebab itu, Kit Siang menggunakan kelebihan beliau dalam Pakatan Harapan mengumpan Dr. Mahathir memasuki perangkap supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi rakan kongsi pembangkang.

Dr. Mahathir juga umpama sudah mengantuk disorong bantal, menghadiahkan Kit Siang sebuah keinsafan yang bermaksud selama ini beliau kononnya tersilap sangka terhadap DAP.

Orang yang selama ini menuduh DAP parti Cina cauvinis menyatakan DAP sebenar­nya lebih berjiwa Malaysia berban­ding MCA.

Kit Siang masih lagi di landasan dan prinsip DAP yang lama dan masih belum berubah dan hanya mahu gunakan Dr. Mahathir.

Orang hebat ­seperti Dr. Mahathir juga sebenarnya bukan tidak tahu Kit Siang sedang mempergunakan dirinya. Dr. Mahathir juga amat inginkan undi orang Cina.

Namun, jiwa Dr. Mahathir begitu berkobar-kobar mahu mengambil alih dan menguasai Pakatan Harapan.

Kit Siang terpaksa lebih berhati-hati, jika Dr. Mahathir berkuasa penuh pastinya Kit Siang dengan roketnya sekali akan jadi mangsa seperti menyerah leher untuk disembelih.

Sebab itu, dalam perebutan jawatan pengerusi dan calon perdana menteri bayangan, Kit Siang berpihak kepada Wan Azizah.

Walaupun dapat memperdayakan Dr. Mahathir, jika kuasa Dr. Mahathir semakin kuat mungkin ada akibat buruk dan Kit Siang perlu membuat persediaan.

Jika permintaan Dr. Mahathir keterlaluan, maka Kit Siang terpaksa melakukan strategi habis madu sepah dibuang. Paling tidak pun memutuskan hubung­an di antara mereka seperti apa yang dilakukan kepada Pas sebelum ini.

 

SIAPA CALON PERDANA MENTERI?

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 8 Julai 2017 pula memaparkan tulisan barisan pengarang akhbar tersebut, juga melalui ruangan Pendapat mengenai persoalan calon Perdana Menteri bayangan pembangkang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini buat kali pertama tidak membantah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri ba­yangan Pakatan Harapan.

Pada Septembar lalu, Anwar dan Dr. Mahathir berjabat tangan buat julung kalinya di mahkamah sehingga menggemparkan semua pihak.

Selepas itu, Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum bergabung dengan pembangkang pada Mac lalu.

Namun, bukan semua orang menganggap mereka berdua ­telah menamatkan sengketa silam dan berbaik semula.

Semasa Perhimpunan Agung PKR Mei lalu, perwakilan PKR termasuk pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mat Sabu mengangkat tangan menyokong Anwar sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia tetapi Dr. Mahathir dan Muhyiddin tidak mengangkat tangan menyebabkan pihak luar menganggap masih ada sesuatu di antara kedua-duanya.

Dr. Mahathir kemudian secara terbuka mengangkat diri sendiri selaku calon perdana menteri bayangan, kononnya mendapat sokongan sebulat suara rakan-rakan Pakatan Harapan tetapi dengan pantas disangkal Anwar.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada mulanya memberikan sokongan kepada Anwar tetapi kini menyatakan Anwar di dalam penjara dan tidak mampu menguruskan jawatan itu pula.

Guan Eng juga menyatakan pembangkang memerlukan pertolongan Dr. Mahathir pada pilihan raya umum akan datang.

Selepas Anwar dengan lembut berkata beliau tidak semestinya jadi perdana menteri, Dr. Mahathir sekali lagi melawan arus secara terbuka tidak menentang Anwar jadi Perdana Menteri pula.

Kelihatan di antara mereka ada jurang seperti saling memberi laluan dalam pergolakan itu atau mungkin ada tersorok sesuatu muslihat.

Walau bagaimanapun, kami menganggap langkah memilih perdana menteri selepas Pakatan Harapan menang memang tidak praktikal. Alasan yang mudah adalah jika mereka menang tipis, ketika itu Pakatan Harapan tidak ada masa membincangkan mengenai jawatan tertinggi itu milik siapa.

BN sejak zaman Parti Perikatan, calon UMNO menjadi Perdana Menteri dengan mengambil kira parti dan wakil majoriti di Parlimen.

Malangnya, formula ini langsung tidak dapat diguna pakai dalam Pakatan Harapan kerana kerusi Parlimen pembangkang paling banyak milik DAP.

DAP pula dianggap ramai sebagai sebuah parti berasas kaum Cina dan memang tidak boleh dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain