Pertama, DAP mendakwa Pas menang 23 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) 2008 sebelum bergabung dalam Pakatan Rakyat tetapi hanya menang 21 kerusi pada PRU 2013 selepas mereka bergabung.

Kedua, DAP mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Pas selepas PRU 2013 susulan usul pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di Dewan Rakyat.

DAP dengan mudah lari dari­pada tanggungjawab. Walaupun masih belum bergabung tetapi sebelum PRU 2008 bermula daripada DAP, Pas dan PKR telah ada persetujuan bersama.

Undi popular Pas pada PRU 2008 adalah sebanyak 1.14 juta tetapi pada PRU 2013 bertambah kepada 1.63 juta. Peningkatan hampir setengah juta undi itu bersamaan kira-kira 43 peratus tambahan undi untuk Pas.

DAP hanya menyebut bilangan kerusi Parlimen Pas pada 2008 dan 2013 tetapi mereka sebenar­nya sudah lama bekerjasama.

Pada PRU 1986, Pas hanya menang satu kerusi Parlimen. Pada 1990, DAP dan Pas bergabung dengan Semangat 46 menentang BN menyebabkan kerusi ­Parlimen Pas meningkat kepada tujuh kerusi.

Pada PRU 1999 pula, DAP dan Pas sertai Barisan Alternatif dan kerusi Parlimen Pas melonjak sekali lagi kepada 27 kerusi.

Sejak dahulu Pas hanya bermain di negeri-negeri Pantai Timur, dalam kampung-kampung Melayu tetapi kini kuasa Pas merebak ke seluruh pantai barat Semenanjung dan kawasan-kawasan bandar.

Pas telah menyelinap ma­suk ke Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Jika bukan kerana DAP, bagaimana Pas mampu berada di kawasan Cina?

Pemimpin DAP pernah menyebut, satu undi untuk Pas bermakna satu undi kepada DAP juga.

DAP menyebut mereka memutuskan hubungan dengan Pas kerana parti itu berdegil mahu melaksanakan hukuman hudud tetapi sebenarnya Pas terlebih dahulu memutuskan hubungan.

Pada Mac 2015, DAP Pusat mengumumkan tindakan memutuskan hubungan dengan ­Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja tetapi pada 6 Jun 2015 pula, dalam Muktamar Tahunan Pas, parti itu mengumumkan hubu­ngan dengan DAP putus.

Pada 16 Jun 2015, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menerima keputusan Pas itu dan Pakatan Rakyat sudah terkubur.

Hubungan DAP dan Pas masih lagi akrab dalam pentadbiran ­Selangor sebaliknya DAP asyik menuduh UMNO bekerjasama dengan Pas dalam isu RUU 355 malah menggunakannya untuk menghentam MCA, Gerakan dan MIC serta parti komponen BN lain.

Bekerjasama ataupun tidak, UMNO dan Pas tidak pernah mewujudkan perjanjian rasmi di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri malah kekal umpama pemerintah dan pembangkang.

Sebaliknya, DAP buat-buat tidak nampak mereka masih lagi bersekongkol dengan Pas di Selangor malah tidak mahu keluar dari kerajaan negeri.

DAP yang asyik ­menuduh pihak lain bersekongkol de­ngan musuh bukan sahaja tidak menepati logik akal malah ­menunjukkan parti itu sendiri tidak mempunyai akhlak dan moral berpolitik.

PAKATAN PEMBANGKANG TENGGELAM TIMBUL

AKHBAR Oriental Daily bertarikh 6 April 2017 pula memaparkan tulisan Cheah See Kian dalam ­ruangan Kolum ODN mengenai sejarah tenggelam timbul ­gabungan pembangkang.

Pada PRU 1955, Parti Perikatan menang 51 kerusi dan satu kerusi dimenangi Pas. Satu mesyuarat parti-parti pembangkang diadakan pada 1957 untuk membentuk barisan pembangkang.

Yang hadir termasuk dari Parti Rakyat, Parti Buruh, Pas, Persa­tuan Melayu Perak, Parti Sosialis Malaya dan Parti Perhimpunan Kebangsaan. Oleh kerana perbezaan pendapat, ­akhirnya hanya tinggal Parti Rakyat dan Parti Buruh.

Pada PRU 1964, Parti Rakyat tewas teruk dan hanya menang dua kerusi dari kalangan orang Cina.

Perang saraf sayap kiri ini ­sering tewas terutama sekali selepas berlaku rampasan kuasa di Indonesia. Boleh dikatakan seluruh masyarakat Melayu ketika itu tidak setuju dengan Pas dan Parti Sosialis yang bersekongkol de­ngan pemimpin negara tersebut.

Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, berlaku ‘penyucian’ dalam politik negara. Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein membuat keputusan mengumpulkan parti-parti pembangkang bergabung menjadi satu barisan.

Mereka yang ingkar ditinggalkan dan selepas itu tidak lagi ­dialu-alukan masuk ke dalam Parti Perikatan.

Walaupun pada 1990, Tengku Razaleigh Hamzah keluar UMNO dan menubuhkan Semangat 46, mereka hanya mampu bergabung dengan Pas untuk menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah dan bersama DAP menubuhkan Gagasan Rakyat Malaysia.

Prestasi Semangat 46 tidak menonjol dan hanya mampu membantu Pas mengambil alih Kelantan. Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan UMNO pada 1996 dan bubarkan Semangat 46.

Pada 1998, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan barulah timbul kem pembangkang baharu. Anwar menubuhkan Barisan Alternatif dianggotai PKR, DAP dan Pas.

Barisan Alternatif memberi kemenangan besar kepada Pas dalam PRU 1999 tetapi membawa bala besar kepada DAP. DAP terpaksa meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001 disebabkan perjuangan negara Islam Pas.

Sejak itu, Barisan Alternatif tidak tersusun sebelum hilang sepenuhnya pada 2004. Apabila tiada gabungan pembangkang, prestasi mereka musnah sama sekali.

Pada PRU 2008, strategi Anwar akhirnya membolehkan pembangkang menawan lima buah negeri dan bilangan ahli Parlimen pembangkang bertambah secara mendadak kepada 82 orang.

Anwar kemudian menubuhkan Pakatan Rakyat. Tidak di­jangka pada 2015, Muktamar Tahunan Pas membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP malah Pas melakukan pembersihan dalaman parti untuk menyingkirkan puak Erdogan.

Berlaku lagi sengketa dengan penubuhan PAN. Dengan pantas DAP menubuhkan Pakatan ­Harapan bersama PKR dan PAN.

Pada masa yang sama, Tan Sri Muh­yiddin Yassin pula ­menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan mencadangkan nama Barisan Rakyat untuk pakatan pembangkang. Itu pun masih belum tahu apa lagi ketetapan lain untuk ­gabungan pembangkang pada masa akan datang.