AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 5 Oktober 2017 menyiarkan artikel tentang nasib MCA di Negeri Sembilan dalam dua siri pilihan raya umum (PRU) sebelum ini. Pada PRU-12 dan PRU-13, MCA tewas dalam persaingannya menentang DAP hingga menyebabkan tiada seorang calon daripada parti itu yang menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.

Menerusi artikel bertajuk, MCA minta saya jumpa roket yang disiarkan dalam ruangan Panda­ngan halaman A10, penulisnya, Dr. Chua Wei Yan telah mengupas isu tersebut dengan agak terperinci.

Yang pasti dalam PRU-12 dan PRU-13, DAP menang cukup bergaya di kawasan majoriti penduduk Cina. Namun ada suatu yang agak menarik disentuh oleh penulis artikel berkenaan iaitu berhubung satu laporan berita mengenai banjir membabitkan sebuah rumah penduduk di satu lokasi di Negeri Sembilan akibat hujan lebat.

Sebaik sahaja rumah ber­kenaan dilanda banjir, penduduk terbabit segera menghubungi MCA untuk membuat aduan dan memohon bantuan. Tidak lama selepas itu seorang pemimpin MCA segera ke tempat kejadian untuk membuat tinjauan.

Pemimpin MCA tersebut kemudian mengambil langkah-langkah sewajarnya dengan merakam beberapa keping foto di kawasan terlibat. Sebenar­nya dalam isu-isu membabitkan masalah masyarakat setempat, biasanya penduduk akan membuat aduan kepada MCA.

Hakikatnya, itulah kekuatan yang ada pada MCA. Semuanya ini adalah hasil usaha dan kerja keras MCA terutama Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awamnya, Datuk Seri Michael Chong. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya penduduk ditimpa masalah, langkah pertama yang diambil oleh mereka ialah menghubungi pusat MCA.

Berbalik kepada masalah banjir yang dibincangkan awal tadi, pihak MCA kemudian meminta penduduk berkenaan membuat aduan kepada DAP. Apabila diteliti dan disoal selidik, rupa-rupanya kawasan berkenaan adalah kawasan kubu kuat DAP.

Bagi penulis artikel ini, langkah MCA meminta penduduk terlibat bertemu dengan wakil rakyat DAP untuk mendapatkan bantuan adalah satu perkara yang amat wajar dan bukannya satu kesalahan. Ini kerana tugas seorang wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang adalah untuk membantu penduduk di kawasannya ketika mereka berada dalam kesulitan.

Bagaimanapun, jika dalam isu banjir itu wakil rakyat DAP meminta penduduk bertemu pemimpin MCA bagi mendapatkan bantuan, itu yang salah. Bukan sahaja salah malah tidak bertanggungjawab.

Artikel ini turut menyentuh mengenai birokrasi yang berlaku dalam perkhidmatan kerajaan hingga menjejaskan proses penyampaian kepada rakyat. Ini yang kadang kala menjadi dilema dalam kalangan wakil rakyat sama ada daripada parti kerajaan mahupun pembangkang dalam menyelesaikan satu-satu masalah.

Lebih malang lagi sekiranya kakitangan dan pegawai kerajaan terlibat gagal melaksanakan tugas mereka dengan cekap dan berkesan. Mahu tidak mahu ahli politik terutama mereka yang bergelar Yang Berhormat terpaksa tunduk dengan corak perkhidmatan yang ditawarkan.

Dengan kata lain, penjawat awam ini yang lebih berkuasa berbanding wakil rakyat. Mereka yang akan menentukan sama ada satu-satu masalah itu dapat di­selesaikan atau tidak.

Bajet yang diharapkan

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 2 Oktober 2017 pula mengupas me­ngenai Bajet 2018 yang dijadual dibentangkan pada 27 Oktober ini di Dewan Rakyat hasil tulisan, Chong Ching Wei.

Dalam artikelnya bertajuk, Bajet kewangan yang saya harap­kan dalam ruangan Sudut Pandangan halaman 19, Ching Wei telah membincangkan tentang beberapa isu berkaitan ter­utama harapannya agar kerajaan menyediakan satu bajet yang mampu memberi penyelesaian dalam jangka pendek dan jangka masa panjang.

Antara isu yang menjadi tumpuan dalam artikelnya ini adalah berkenaan beban hidup rakyat yang semakin berat. Atas asas itu beliau berpandangan dalam bajet kali ini kerajaan berkemungkinan akan mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam, meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan yang layak serta mengurangkan cukai.

Semuanya ini bertujuan untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Berhubung BR1M, sememangnya bantuan tersebut dapat membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan paling penting mampu me­rangsang ekonomi negara.

Tentang cukai barang dan perkhidmatan (GST), tidak dapat dinafikan pelaksanaannya dapat membantu pendapatan kerajaan tatkala Malaysia sedang berhadapan dengan masalah ekonomi ekoran kejatuhan harga minyak.

Selain itu, penulis artikel ini turut mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah me­ngurangkan jumlah kakitangan awam walaupun isu itu amat sensitif. Baginya, syor tersebut mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Ini memandangkan pada setengah tahun pertama 2017, jumlah gaji kakitangan awam adalah sebanyak 34.8 peratus manakala jumlah bayaran pencen pula mewakili 10.4 peratus daripada kos perbelanjaan kerajaan secara keseluruhan. Kedua-dua peruntukan ini melibatkan per­belanjaan yang amat besar.