AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 26 Jun 2018 menyiarkan artikel mengupas tentang usaha perubahan yang dibuat oleh UMNO untuk memperkuatkan semula parti berkenaan selepas Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.

Antara pembaharuan yang dapat dilihat adalah bagaimana pada pemilihan UMNO kali ini jawatan presiden terbuka untuk dipertan­dingkan bagi membolehkan ahli-ahli UMNO yang terdiri daripada golongan tua, pertengahan dan muda memilih calon paling layak mene­rajui parti tersebut.

Ulasan tentangnya telah dihasilkan oleh Liew Thai Ann dalam artikel yang bertajuk MCA, UMNO tidak sama di ruangan Pandangan halaman C2.

Sehubungan itu, menurut Thai Ann sekiranya barisan kepimpinan MCA masih lagi tidak insaf dengan tidak melakukan tindakan segera perubahan serta pembaharuan besar dalam parti, kemungkinan besar kedudukan parti berkenaan akan lebih goyang pada masa depan selepas tewas dalam PRU-14 lalu.

Ini memandangkan pada pilihan raya umum tersebut, hanya satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi oleh MCA manakala yang lain-lainnya tersungkur kepada calon Pakatan Harapan.

Berbeza dengan UMNO, parti itu masih memiliki lebih 50 kerusi walaupun BN tewas. Dengan jumlah kerusi sebanyak itu, UMNO adalah parti pembangkang yang paling banyak wakilnya dalam Parlimen setakat ini.

Seperkara lagi, selepas BN mengalami kekalahan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungja­wab itu dengan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN berkuat kuasa serta merta pada 12 Mei lalu.

Sejurus selepas hari peletakan jawatan Najib, pucuk pimpinan UMNO kemudian memutuskan 30 Jun lalu sebagai tarikh diadakan pemilihan parti untuk semua jawatan termasuk jawatan presiden bertujuan membentuk barisan kepemimpinan baharu untuk tiga tahun akan datang.

Dalam pada itu, jika diimbau kembali sejarah pemilihan UMNO, sejak era Presiden UMNO pertama, Datuk Onn Jaafar kemudian di­ikuti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga Datuk Seri Najib Tun Razak, sebahagian besar pelantikan mereka bukan melalui pemilihan parti sebaliknya melalui transisi antara kepimpinan lama kepada kepimpinan baharu.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ke­pimpinan UMNO selama ini gusar sekiranya berlaku pemilihan ter­utama di peringkat jawatan Pre­siden. Itu yang kadang-kadang amat menghairankan kerana sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Presiden sebenarnya mempunyai kelebihan tertentu untuk menghalang mana-mana ahli mencabarnya.

Dr. Mahathir ketika memegang jawatan itu pernah membuat ketetapan iaitu sesiapa yang mahu bertanding jawatan Presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan bahagian; Timbalan Presiden 20 peratus, Naib Presiden 10 peratus dan ahli Majlis Tertinggi lima peratus. Sekiranya gagal mendapat soko­ngan berdasarkan peratusan yang ditetapkan daripada bahagian-ba­hagian parti, mereka tidak layak untuk bertanding.

Berbalik kepada peletakan jawatan oleh Najib, langkah itu tidak pula diikuti oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Sungguhpun Tiong Lai mengakui bertanggungjawab atas kekalahan MCA tetapi beliau tidak melepaskan jawatannya sebagai presiden parti.

Tiong Lai hanya mengumumkan yang beliau tidak akan bertanding pada pemilihan MCA akan datang. Selain itu, beliau turut mengumumkan pemilihan parti hanya akan diadakan pada November ini, lewat empat bulan berban­ding UMNO.

Yang pasti, UMNO ­nam­­­paknya lebih bersungguh-sungguh memulihkan se­­­mula parti dengan mempercepatkan proses pemilihan ter­masuk jawatan presiden melalui pem­babitan perwakilan-perwa­kilan di peringkat bahagian. Lebih istimewa lagi, calon-calon presiden yang ber­tanding perlu mengambil bahagian dalam satu perdebatan terbuka. Jelas, UMNO me­nyahut segera ca­baran untuk bangkit daripada kekalahan.

Kesimpulannya, jika kepemim­pinan MCA masih belum sedar, mereka tidak akan mampu bangkit dan tidak akan mampu membuat perubahan. Paling dikhuatiri kemungkinan MCA akan terkubur. Sesungguhnya masa depan MCA dan UMNO mungkin tidak sama. UMNO mempunyai ciri-ciri untuk bangkit semula manakala MCA pula dilihat akan terus kecundang.

 

MELANGKAH KE PUTRAJAYA JASA BESAR DAP

Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 2 Julai 2018 pula memaparkan tulisan Cheah See Kian yang mengulas tentang kejayaan besar DAP menewaskan lawan mereka terdiri daripada calon-calon MCA dan Gerakan pada PRU-14 lalu.

Melalui artikelnya bertajuk PH jangan sampai jadi BN kedua, See Kian berpandangan bahawa DAP te­lah memberi sumbangan yang cukup besar terhadap kejayaan cemerlang Pakatan Harapan dalam PRU-14 hingga membolehkan pakatan itu membentuk kerajaan baharu menggantikan BN.

Boleh dikatakan calon-calon sama ada dari MCA mahupun Gerakan gagal bersaing dengan calon-calon DAP. Begitu juga dengan calon-calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang berhadapan dengan cabaran daripada calon DAP di Bumi Kenyalang. Berdasarkan rekod dalam pilihan raya umum lalu, MCA hanya menang satu kerusi Parlimen sementara Gerakan langsung tidak menang mana-mana kerusi.

Di sebalik kekecewaan MCA dan Gerakan kerana kekalahan yang dialami, semangat DAP dilihat semakin membara. Selepas berjaya membantu kemenangan Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, enam Ahli Parlimennya akhirnya telah diberi tanggungjawab memegang jawatan menteri serta enam jawatan timbalan menteri.