SUN THIAM MUI dalam rua­ngan Pendapat Yanlu akhbar Sinchew Daily News bertarikh 5 April 2018 mengupas isu berkaitan pengaruh undi orang Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menerusi artikel bertajuk Berapakah nilai tiket undi Cina?, Thiam Mui memperlihatkan peluang gabungan pembangkang PKR untuk menang besar dalam PRU-14 agak tipis berikutan persepsi negatif masyarakat Cina terhadap pembangkang.

Kuasa undi orang Cina di­jangka berkurangan dan besar kemungkinan ia ada kaitan dengan prestasi parti-parti pembangkang selama lima tahun ini. Faktor itu juga dipercayai setelah pengundi Cina nampak usaha gabungan pembangkang PKR untuk menukar kerajaan sudah tidak lagi bermaya.

Hakikatnya, sejak merdeka sehingga ke hari ini, masyarakat Cina tidak pernah memainkan peranan mereka dalam pilihan raya umum di negara ini. Kuasa undi orang Cina sebenarnya tidak besar mana.

Ini disebabkan bukan semua orang Cina mendaftar sebagai pe­ngundi. Sebaliknya pengaruh undi kaum itu dilihat hanya bernilai jika berlaku perpecahan serius dalam kalangan orang Melayu.

Hal itu dibuktikan seperti mana berlaku dalam PRU-10 pada 1999 apabila tiket undi orang Melayu berpecah kepada dua puak setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketika itu) memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perpecahan tiket Melayu semakin ketara selepas PPBM di­tubuhkan Dr. Mahathir dan ia mendorong parti pembangkang khususnya DAP memanfaatkan gerakan menentang Barisan Nasional (BN).

Malah paparan artikel-artikel penulisan berbahasa Cina yang menolak kerajaan disebarkan melalui laman sesawang juga telah menimbulkan keangkuhan bahawa tiket undi Cina mampu mengubah kerajaan.

Namun, keangkuhan itu tidak berpanjangan setelah menye­dari persempadanan semula kawasan mengundi dilakukan kerajaan menggugat peluang pembangkang. Perkembangan itu mengecewakan pengundi Cina dan menyebabkan mereka tidak bersemangat untuk membuang undi dalam PRU-14. Ia dapat dilihat menerusi respons pengundi Cina terhadap calon gabungan pembangkang PKR di laman-laman sosial.

Bilangan penyokong pembangkang yang memuat naik kata-kata sanjungan dan menekan butang like dalam laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram menunjukkan tidak sampai pun tiga angka.

Apabila semangat pengundi-pengundi Cina semakin luntur, ia dianggap isu besar kepada masyarakat Cina. Pada hemat penulis, langkah terbaik bagi menjamin kebajikan kaum Cina adalah memberi undi kepada ahli politik yang mengotakan janji.

Dengan berbuat demikian maka baharulah kuasa tiket undi di tangan mereka mempunyai nilai dan memberi makna kepada semua.

PELBAGAI PIHAK TOLAK PELAKSANAAN RUU ANTIBE­RITA TIDAK BENAR 2018

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 2 April 2018 memaparkan tulisan Cheah See Kian dalam Rua­ngan Pendapat di muka surat C2. Artikel tersebut mengupas tentang keperluan untuk menangguh pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 kerana mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Biarpun bacaan kedua RUU itu telah diluluskan oleh Dewan Rak­yat dengan undian 123 menyokong dan 64 menolak sekitar Mac lalu, namun penulis menerusi artikelnya bertajuk Basmi berita palsu sepatutnya ditangguhkan, berharap agar pelaksanaannya dipertimbangkan semula oleh kerajaan.

Pelaksanaan RUU itu dijangka rumit memandangkan maksud berita palsu juga terpakai kepa­da mana-mana berita, maklumat, angka, laporan termasuk pe­nulisan, gambar, suara rakaman dan lain-lain. Andai siaran sesebuah laporan itu tidak benar, maka kesemua yang terbabit akan menerima hukuman sama sebagai penjenayah.

Apabila RUU itu dilaksanakan kelak, sesetengah kes para pesalahnya dibenarkan membuat rayuan dalam masa 14 hari di mahkamah sebelum dijatuhi hukuman, manakala pesalah yang disabit dengan kes berkaitan ­keselamatan tidak dibenarkan membuat rayuan.

Sementara itu, pelaksanaan RUU itu juga mendapat bantahan daripada pihak luar dan badan pertama yang berbuat demikian ialah pertubuhan khas antarabangsa Zon Asia Pasifik yang antara lain ­menuduh akta itu akan menyekat kebebasan bersuara, selain dikhuatiri pelaksanaannya kelak tidak dilakukan secara adil dan telus.

Dengan adanya akta ini pihak berkuasa seperti polis sewenang-wenangnya boleh menggunakan kuasa diberi untuk menangkap mana-mana individu atau pihak yang terlibat, dan ini jelas me­nunjukkan akta itu memihak kepada kerajaan yang dilihat cuba mengelak daripada dikritik.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Presiden Majlis Peguam, George Varughese pada 27 Mac lalu mengeluarkan satu kenyataan yang menolak pelaksanaan RUU itu, selain pada masa sama mahu jawatankuasa penyelaras akta membentangkan RUU tersebut secara terbuka dan tidak sepatutnya diluluskan dengan tergesa-gesa.

Selain itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail mengatakan pihaknya tidak boleh menyokong RUU itu atas alasan undang-undangnya mengelirukan dan mendorong ke arah kerajaan diktator.

Razali khuatir pihak kerajaan akan menggunakan akta itu untuk mengawal pihak media, setapak lagi menjadikan negara ini tiada sempadan lagi untuk kebebasan kepada wartawan, sekali gus ran­king ketelusan semakin jatuh menjunam, dan mengikut catatan dan rekod 2017, Malaysia berada di ranking 144 daripada 180 negara.