AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 4 Ogos 2017 menyiarkan artikel menggesa masyarakat Cina supaya tidak terpedaya dengan dakyah DAP yang cuba menghalalkan kerjasama parti itu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Artikel ditulis oleh Naib Pre­siden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bertajuk “Siapa sokong Pakatan Harapan bermakna sokong Dr. Mahathir” disiarkan dalam kolum penulis halaman 54.

Nampaknya, kontroversi se­narai kepemimpinan baharu Pakatan Harapan yang diumumkan oleh Dr. Mahathir pada 14 Julai lalu masih belum selesai.

Walaupun senarai itu diumumkan pada bulan lalu, namun masih kedengaran suara sumbang daripada ahli-ahli DAP dan PKR yang mempertikaikan pelantikan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

Sebab itu, Ketua Umum pakatan tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengeluarkan kenyataan dari dalam penjara bagi meredakan keadaan dengan menegaskan gabungan terbaharu pembangkang itu tidak mungkin dirampas oleh Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagi saya, kenyataan Anwar ini hanya berniat untuk menyedapkan hati ahli-ahli bawahan PKR dan DAP serta pengundi yang menyokong pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Realitinya, sejak PPBM menyertai Pakatan Harapan, bekas Perdana Menteri itu telah menjadikan dirinya sebagai big boss kepada gabungan parti-parti pembangkang berkenaan. ­Malangnya, tiada seorang pun pemimpin PKR atau DAP yang berani tampil membantah tindakan Dr. Mahathir.

Saya masih ingat pada suatu ketika, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, semua pe­mimpin dalam Pakatan Harapan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng juga ada mengeluarkan kenyataan hampir sama dengan menyatakan tiada big boss dalam gabungan parti pembangkang itu.

Keadaan sekarang bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh kedua-dua beranak itu. Kenapa mereka tidak berani tampil membantah?

Saya mendapati pemimpin PKR bertaraf ahli Parlimen juga takut untuk menegur Dr. Mahathir dan mereka boleh di­umpamakan seperti ulat sutera yang kesejukan di musim dingin.

Bagi saya, agenda reformasi dan perjuangan untuk rakyat yang dikatakan dipelopori oleh mereka yang mengasaskan PKR sudah tidak wujud lagi.

Agenda asal yang turut diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat yang kemudiannya dikatakan diteruskan oleh Pakatan Harapan sudah tiada lagi. Yang ada sekarang hanyalah agenda ditentukan Dr. Mahathir iaitu untuk merampas kuasa.

PKR dan DAP sanggup membuang segala prinsip diperjuangkan semata-mata kerana hendak merampas kuasa. Ini terbukti apabila kepemimpinan parti itu sanggup melupakan segala salah laku yang mereka dakwa telah dilakukan oleh Dr. Mahathir se­panjang menjadi Perdana Men­teri.

Apa yang berlaku sekarang adalah ulang tayang kepada per­kara sama dibuat DAP ketika PRU-13 dan PRU-12 apabila menipu pengundi Cina dengan menyatakan kerjasama dengan Pas adalah demi kebaikan kaum berkenaan sedangkan parti itu sehingga sekarang kekal dengan agenda memperjuangkan Islam.

Langkah DAP berbaik-baik dengan PPBM adalah umpama lagu lama diberi rentak baharu. Parti itu sanggup menggunakan apa sahaja hujah bagi membersihkan imej Dr. Mahathir dan membolehkan bekas Perdana Menteri itu diterima semula oleh masyarakat Cina.

Sejak berpuluh-puluh tahun DAP mengkritik Dr. Mahathir sebagai diktator, tiba-tiba beliau dikatakan penyelamat demokrasi. Dahulu parti itu mendakwa ­pemimpin berkenaan mempunyai banyak kroni dan terlibat dengan rasuah, kini beliau dijulang sebagai pahlawan bagi membasmi rasuah.

Pengundi Cina perlu berwaspada dengan DAP kerana parti itu boleh diumpamakan seperti manusia yang bercakap bahasa hantu apabila terserempak dengan hantu dan bercakap bahasa manusia apabila berjumpa de­ngan manusia.

DAP yang diterajui kepemimpinan sekarang adalah parti ­tiada prinsip yang tidak sepatutnya dipercayai oleh pengundi Cina. Masyarakat Cina perlu memastikan mereka tidak sekali lagi menjadi mangsa kepada DAP apabila dihasut untuk mengundi mengikut emosi semata-mata.

KERJASAMA BERDASARKAN REALITI

KERJASAMA PPBM dengan parti-parti lain yang menganggotai Pakatan Harapan turut diulas akhbar Oriental Daily News bertarikh 3 Ogos 2017.

Artikel bertajuk “Fenomena politik luar biasa Malaysia” yang ditulis oleh Cheah See Kian disiarkan dalam kolum akhbar itu halaman 45.

Kenapa Anwar memilih untuk berbaik-baik dengan Dr. Mahathir yang semua orang tahu ialah musuh ketat beliau? Jawapannya, langkah berkenaan berasaskan kepada realiti bahawa pengundi Melayu cenderung untuk memilih parti yang mewakili kaum itu.

Perkara itu terbukti apabila eks­perimen pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar menubuhkan Parti Negara pada 1954 yang mewakili pelbagai kaum tidak mendapat sokongan orang Melayu.

Sejak dahulu, orang Me­layu memang mempunyai sikap cukup konservatif dengan majoriti mengundi UMNO dan Pas. Mereka hanya memberi sokongan kepada pembangkang setelah Pas menyertai Pakatan Rakyat.

Pas mendapat sokongan orang Melayu kerana bukannya parti berbilang kaum. Sebab itu, Anwar mahu Pas kekal bersama-sama pembangkang.

Jika kita lihat sejak PRU-11, sokongan orang Melayu kepada pembangkang meningkat dengan penyertaan Pas. Oleh itu, jika Pas terus bersama-sama pembangkang barulah peluang untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih cerah.

Malangnya, harapan Pas kekal bersama pembangkang tidak men­jadi realiti apabila puak sederhana dalam parti itu disingkirkan dan Pas tidak lagi bersama-sama dengan Pakatan Harapan.

Oleh itu, bagi menjawab persoalan kenapa Anwar sanggup pilih jalan bekerjasama dengan Dr. Mahathir, jawapannya kerana hanya PPBM yang boleh ambil alih kedudukan Pas.

Ini kerana PRU-14 akan menjadi medan pertempuran antara parti-parti berasaskan kaum dan agama. Hanya parti mewakili orang Melayu dapat meraih so­kongan pengundi kaum itu.