AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 15 Julai 2018 menyiarkan artikel yang menyatakan sebab-sebab kaum Cina memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun ketika memerintah negara sebelum ini beliau banyak memper­kenalkan dasar yang merugikan masyarakat itu.

Artikel bertajuk Dikagumi kaum lain paling berharga yang ditulis oleh Tong Chee Yuen di­siarkan dalam ruangan Pendapat halaman C2.

Mana-mana pemimpin yang mempunyai ramai pengikut fanatik dalam kalangan kaum lain memang hebat. Di Indonesia, bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok tergolong dalam kumpulan berkenaan ke­rana penganut Kristian berketurunan Cina itu mempunyai ramai penyokong penduduk tempatan Indonesia yang beragama Islam termasuk dalam kalangan ulama berfikiran sederhana.

Di Malaysia, Dr. Mahathir juga tergolong dalam kumpulan ber­kenaan apabila majoriti kaum Cina begitu ghairah menyokong beliau sehingga sanggup melupakan segala kesalahan yang telah beliau lakukan sebelum ini.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Dr. Mahathir. Menurutnya, beliau tidak pernah melihat begitu ramai orang Cina menyokongnya ketika memerintah negara sebelum ini. Beliau juga cukup terharu kerana terdapat dalam kalangan kaum itu yang sanggup melaungkan “Hidup Tun” apabila bertemu dengannya.

Sambutan masyarakat Cina itu cukup berbeza jika diban­dingkan reaksi mereka ketika beliau memerintah negara selama 22 tahun. Ketika itu, kaum Cina menganggap Dr. Mahathir adalah musuh mereka dan tidak ramai masyarakat itu yang akan tampil bagi menyatakan sokongan terbuka kepada beliau.

Antara punca orang Cina telah berubah sikap dan memberikan penghormatan tinggi kepada Dr. Mahathir adalah kerana keazaman beliau untuk membasmi rasuah. Orang Cina begitu ­sayangkan Dr. Mahathir dan sanggup menyertai demonstrasi dengan mengangkat sepanduk menentang rasuah sebagai tanda sokongan kepada beliau.

Kaum Cina sanggup membantu Dr. Mahathir bagi ‘menghapuskan’ pemimpin-pemimpin kerajaan yang melakukan penyelewengan walaupun tiada jaminan beliau akan meluluskan semua permintaan kaum itu. Orang Cina sanggup ketepikan kepentingan mereka semata-mata kerana mahu melihat pemimpin yang terlibat dengan gejala rasuah dihadapkan ke mahkamah.

Dahulu orang Cina menuduh Dr. Mahathir seorang diktator, tetapi perkara itu sudah tidak penting sekarang, kerana beliau telah membantu rakyat menghapuskan barah dalam tubuh dan mengembalikan integriti dalam pentadbiran negara.

Sebab itu, semakin hari semakin meningkat sokongan orang Cina kepada Dr. Mahathir. Bagaimanapun, adakah soko­ngan itu akan berkekalan? Soko­ngan itu boleh berterusan sekiranya beliau mengotakan janjinya untuk menjaga kepentingan semua kaum.

Sekiranya Dr. Mahathir kembali kepada sikap asal untuk hanya memperjuangkan kepentingan kaum Melayu, sudah pasti kasih sayang orang Cina terhadap beliau terhakis.

Selain Dr. Mahathir; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga boleh menjadi pemimpin yang diterima semua kaum. Beliau mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin terbaik kerana tiada langsung pemikiran fanatik terhadap mana-mana kaum dalam pemikirannya.

Jika Malaysia mempunyai le­bih ramai pemimpin sedemikian, sudah tentu boleh menjadi sebuah negara yang menjadi harapan semua orang.

PERBEZAAN PEMIKIRAN MASYARAKAT CINA

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 19 Julai 2018 menyiarkan artikel yang menyentuh mengenai kegagalan kerajaan terdahulu termasuk ketika era pemerintahan Dr. Mahathir untuk memastikan kaum minoriti mempunyai semangat kebangsaan tinggi.

Artikel ditulis oleh Cheah See Kian bertajuk Dr. Mahathir lawan Lee Kuan Yew disiarkan dalam Kolum ODN halaman 46.

Hubungan antara Dr. Mahathir dan bekas Perdana Menteri Si­ngapura, Lee Kuan Yew bermula apabila republik itu menyertai Malaysia pada 16 September 1963 bersama-sama Sabah dan Sarawak.

Kuan Yew adalah seorang ahli politik yang luar biasa kerana sejak menjadi wakil rakyat pada 1959, beliau tidak pernah tewas dalam pilihan raya yang diadakan sehingga melepaskan jawatan pada 1990. Beliau meninggal dunia pada 2015 ketika berusia 92 tahun.

Seperti Kuan Yew, Dr. Mahathir juga seorang ahli politik hebat. Beliau boleh meme­rintah Malaysia dalam tempoh cukup panjang iaitu selama 22 tahun dan kemudiannya de­ngan sukarela melepaskan jawatan dan bersara.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir boleh dikatakan lebih hebat kerana setelah bersara selama 15 tahun, beliau boleh kembali semula untuk menjadi Perdana Menteri ketujuh. Tiada seorang pun Perdana Menteri di dunia boleh memecah rekod negarawan berusia 93 tahun ini.

Walaupun Dr. Mahathir dan Kuan Yew sama-sama mempunyai kehebatan, kedua-dua cukup berbeza dari segi pemikiran dan saling bertelagah. Dalam biografi Kuan Yew, beliau ada meluahkan pe­rasaan tidak senang hati dengan Dr. Mahathir yang menyifatkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura dikuasai kaum Cina yang meminggirkan orang Melayu.

Menurut Kuan Yew, dakwaan itu adalah tidak benar dan dasar yang ingin dibawanya adalah mewujudkan sama rata dalam masyarakat. Tegas beliau, hak keistimewaan tidak boleh diberikan kepada mana-mana kaum sehingga menjejaskan etnik lain.

Sebenarnya pada masa sekarang, perbezaan pemikiran tidak lagi hanya membabitkan Kuan Yew dan Dr. Mahathir. Setelah lama keluar dari Malaysia iaitu sejak 9 Ogos 1965, cukup banyak perbezaan cara berfikir rakyat kedua-dua negara.

Perbezaan paling ketara adalah etnik Cina republik itu meng­anggap mereka orang Singapura dan telah memutuskan semua hubungan politik dengan China. Di negara ini, kaum itu masih menganggap mereka etnik Cina dan selepas itu barulah orang Malaysia. Penduduk Cina Malaysia masih menganggap mereka adalah sebahagian daripada rakyat China.