AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 20 Mac 2018 menyiarkan artikel mengenai Barisan Nasional (BN) dan UMNO berpeluang mempertahankan ke­rusi sedia ada pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana sokongan kuat orang Melayu di kampung-kampung dan pendu­duk bumiputera di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Artikel ditulis Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Bhd., Datuk Seri Wong Chun Wai bertajuk Perkampungan Melayu penentu segala-galanya disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlu halaman 17.

Kempen di perkampungan Melayu dan pedalaman Sabah serta Sarawak amat penting kepada BN dan UMNO yang memenangi ba­nyak kerusi di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

UMNO memenangi 81 daripada 222 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu sebanyak 66 kerusi atau 81.5 peratus adalah di kawasan perkampungan Melayu.

BN pula berpeluang untuk ­terus menang di pedalaman Sabah dan Sarawak. Daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah hanya enam kerusi yang berada di kawasan bandar. Di Sabah, BN menguasai 21 kerusi Parlimen termasuk 13 kerusi yang dimenangi oleh UMNO dan selebihnya parti-parti komponen lain.

Di Sarawak yang mempunyai 31 kerusi Parlimen, BN dijangka terus mempertahankan 25 kerusi dimenangi ketika PRU-13 yang kebanyakannya berada di kawasan pedalaman.

Pakatan Harapan terpaksa menggunakan pendekatan berbeza untuk memenangi hati pe­ngundi di kampung-kampung dan kawasan pedalaman yang tinggal secara berselerak.

Ceramah politik dengan membangkitkan pelbagai isu negara seperti yang digunakan pakatan pembangkang itu sekarang tidak mampu menarik sokongan pe­ngundi di kawasan terbabit.

Cara terbaik adalah peraih undi dan calon perlu turun padang untuk bertemu dengan pengundi. Sebab itu, di kawasan tersebut, calon-calon BN yang menang pada PRU-13 dan sepanjang masa mengeratkan hubungan mereka dengan orang kampung lebih dikenali oleh pengundi. Mereka tidak mahu calon wakil rakyat yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

Penduduk di kampung-kampung dan kawasan pedalaman akan memberikan sokongan kepada calon berdasarkan kepada kehadiran mereka pada setiap majlis perkahwinan dan kematian serta bukannya bersandarkan isu-isu negara yang dijadikan bahan kempen pilihan raya.

Dalam pada itu, Pas telah ­me­ngumumkan akan bertanding 130 kerusi Parlimen pada PRU-14 berbanding hanya 73 kerusi Parlimen pada PRU-13.

Langkah itu bermakna bakal terjadi lebih banyak pertandingan tiga penjuru yang disifatkan pelbagai pihak akan lebih memihak kepada BN.

Sementara itu, ada beberapa pihak yang membuat andai­an pengaruh BN di Sabah dan Sa­rawak sudah goyah kerana pe­ngundi di kawasan pedalaman telah terdedah dengan pelbagai maklumat dalam media sosial me­ngenai kepincangan pemerintahan sedia ada.

Bagaimanapun, berdasarkan pe­ngamatan yang dilakukan penulis, penduduk di kedua-dua negeri itu masih mementingkan pembangunan yang pada ketika ini hanya mampu dilaksanakan kerajaan BN.

 

STRATEGI DAP TAWAN JOHOR

LANGKAH bersungguh-sungguh DAP untuk menawan lebih ba­nyak kerusi di Johor turut diulas akhbar Sin Chew Daily bertarikh 20 Mac 2018.

Artikel bertajuk Beradu nasib yang terakhir buat Lim Kit Siang yang ditulis oleh Lim Swee Guan disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlu halaman 17.

Pada PRU-14, DAP sekali lagi meletakkan sasaran untuk ‘menakluk’ Johor dengan mengerahkan lebih ramai pemimpin kanan parti itu untuk bertanding di ­negeri berkenaan.

Dijangka strategi DAP di Johor hampir sama dengan taktik digunakan ketika PRU-13. Pertama, lima tahun lepas, Penasihat parti itu, Lim Kit Siang memilih Parlimen Gelang Patah sebagai lokasi utama untuk ‘menyerang’ negeri berkenaan.

PRU kali ini, DAP memilih kawasan Parlimen Ayer Hitam. Yang berbeza pada PRU-13, UMNO pada saat-saat akhir meletakkan calon daripada parti itu iaitu Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman untuk melawan Kit Siang di kawasan tradisi MCA ber­kenaan.

Pada PRU-14, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam yang kerusi itu bakal dipertahankan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Kedua, DAP telah mengerahkan pemimpin-pemimpin muda parti itu untuk bertanding di kawasan-kawasan bandar di Johor. Pada PRU-13, Kit Siang turut di­sertai Chin Tong dan calon wa­nita yang juga penyandang kerusi Parlimen Serdang, Teo Nie Ching sehingga membolehkan mereka menawan Parlimen Gelang Patah, Kluang dan Kulai.

Kali itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh disebut-sebut akan bertanding di negeri berkenaan.

Baru-baru ini, Kit Siang ada membuat kenyataan bahawa ti­a­da kawasan selamat bagi pemim­pin-pemimpin DAP dan mereka perlu bersedia mengambil risiko.

Kenyataan itu memberi isyarat bahawa terdapat kemungkinan Kit Siang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah yang dimenanginya dengan majoriti 14,762 undi sebaliknya beralih untuk bertanding di kawasan selamat MCA.

Kenapakah DAP bersungguh-sungguh mahu menawan Johor? Jawapannya kerana negeri itu adalah kubu kuat BN. Sebab lain adalah daripada tujuh ahli Parlimen MCA, empat menang di Johor iaitu Ayer Hitam, Tanjung Piai, Tebrau dan Labis.

Jika Pakatan Harapan mahu menawan Kerajaan Pusat, mereka perlu menang banyak kerusi di Johor. Sebab itu, DAP menghantar ‘orang kuat’ parti itu untuk bertanding di kawasan Parlimen milik MCA di negeri berkenaan dan telah mencipta slogan Ranapkan MCA.