LEE SOO CHEN melalui artikelnya dalam Kolum Penulis halaman 39 akhbar Oriental Daily News, 4 November 2017 memperlihatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad kini menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan ekoran insiden Operasi Lalang yang berlaku 30 tahun lalu.

Menerusi artikel Antara minta maaf dan sokongan tiket undi Mahathir, bekas Perdana Menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan didesak sekumpulan 77 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengakui kesilapan dan ‘dosa’ silam beliau berhubung insiden itu.

Dalam kenyataan bersama baru-baru ini, kumpulan NGO terbabit mengemukakan beberapa tuntutan termasuk mendesak Dr. Mahathir meminta maaf atas penahanan 106 orang tanpa bicara semasa Operasi Lalang sewaktu beliau memerintah negara.

Tuntutan maaf juga perlu dibuat kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan hakim-hakim mahkamah lainnya yang diberhentikan pada 1988. Permohonan maaf harus dibuat secara terbuka kepada rakyat Malaysia dengan penuh keinsafan.

Seterusnya, kumpulan NGO itu juga menggesa suatu siasatan lengkap dibuat berhubung dakwaan bahawa para tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 telah diseksa.

Kenyataan tuntutan bersama NGO itu dibuat bersempena de­ngan pameran awam bagi memperingati ulang tahun ke-30 Operasi Lalang baru-baru ini.

Terdapat empat NGO yang memulakan inisiatif membuat kenya­taan tersebut iaitu Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH), KLSCAH Youth, Teoh Beng Hock Trust for Democracy dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Kumpulan NGO terbabit mengatakan Operasi Lalang pada tahun 1987 adalah satu bentuk penindasan dan gangguan terancang terhadap rakyat Malaysia bagi mengalihkan masalah UMNO ketika itu.

Begitupun Dr. Mahathir ber­ulang kali mengatakan Operasi Lalang dikendalikan pihak polis dan beliau tidak ada kuasa untuk membantah perintah penahanan.

Sebagai pengerusi gabungan Pakatan Harapan, Dr. Mahathir sekarang bersekutu dengan beberapa individu yang pernah ditahan semasa Operasi Lalang, dan perkara itu mendapat perhatian masyarakat terutama NGO yang bekerjasama dengan pembangkang.

Kumpulan NGO terbabit bimbang sekiranya kempen-kempen sosial yang dianjurkan dengan bantuan dana kerajaan negeri parti pembangkang menjadi lemah di­sebabkan ‘rekod’ lama Dr. Mahathir.

Justeru mereka enggan mem­biarkan ‘dosa-dosa’ silam Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dilupakan begitu sahaja sehingga menjejaskan perjuangan Pakatan Harapan untuk mengubah kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Hakikatnya, desakan permo­honan maaf itu adalah permintaan paling minimum rakyat khususnya daripada penyokong Dr. Mahathir sendiri dan secara tidak langsung memberi baya­ngan kepada Pakatan Harapan.

Dengan kehidupan yang ter­sepit, ditambah pula politik tanah air semakin buruk, keyakinan rakyat pasti akan hilang. Dalam keadaan ini, penulis tidak akan menyalahkan pengundi kerana tidak mampu berfikir untuk membuat undi pilihan.

Rakyat kini menunggu tindakan susulan daripada Dr. Mahathir dan sehingga itu tuntutan 77 NGO dianggap menyumbang kekalahan pembangkang, kecuali Pakatan Harapan beranggapan antara pencapaian politik dan demokrasi serta hak asasi manusia bukan sebagai jaminan untuk tiket undi.

 

BAJET 2018 CIPTA SUASANA GEMILANG

AKHBAR Sinchew Daily News bertarikh 1 November 2017 tulisan Wee Seng dalam ruang­an Pendapat Yan Lu halaman 21 menyiarkan artikel berkisar pembentangan Bajet 2018 yang disifatkan luar biasa.

Menerusi artikel bertajuk Bajet Misteri, penulis merujuk kesimpulan Perdana Menteri baru-baru ini yang menyifatkan Bajet 2018 sebagai ‘Ibu Segala Bajet’ yang komprehensif dengan pengumuman pelbagai insentif dan ganjaran untuk setiap golongan rakyat.

Masakan tidak, bajet sejumlah RM280.25 bilion itu mengambil hitung seawal kepentingan bayi dalam kandungan sehinggalah kepada agenda-agenda untuk ma­sa hadapan negara.

Malah, bajet kali ini juga mampu memanfaatkan golongan petani, pesawah, nelayan, pemandu teksi, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, pengguna lebuh raya, masyarakat Cina dan India, tok batin, belia dan pelajar.

Begitupun ada segelintir pihak mengkritik bahawa Bajet 2018 bersifat sementara demi meraih undi pilihan raya. Namun ramai memuji latar belakang bajet yang agresif, menyeluruh, realiti dan stabil serta meliputi pelbagai aspek kehidupan semua lapisan masyarakat.

Dari aspek positif, penulis menjangkakan Bajet 2018 bukan sahaja dapat mencipta suasana gemilang, bahkan berkemungkinan akan mengandungi perkara-perkara misteri yang menakjubkan. Siapa tahu selepas ini kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menuju ke arah mengubah model pengurusan ekonomi dan kewangan?

Tidak dinafikan kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak lapan tahun lalu terpaksa membuat keputusan sukar dengan memberi fokus kepada inisiatif ekonomi sebagai agenda transformasi negara.

Antaranya, keberanian kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terbukti menjadi penyelamat kepada ekonomi negara. Justeru ia faktor utama kenapa desakan ramai agar GST dihapuskan tidak dapat dipenuhi kerajaan dalam Bajet 2018.

Hakikatnya Bajet 2018 bersifat holistik dan menyediakan asas kukuh kepada pembangunan negara selain boleh dianggap sebagai satu langkah permulaan yang lebih praktikal dalam merea­lisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50).