NAIB Presiden Gerakan, Dr. Dominic Lau Hoe Chai menerusi Kolum ODN halaman 46, akhbar Oriental Daily News bertarikh 21 Julai 2017 meng­ulas konflik kepemimpinan parti pembangkang setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Pengerusi Pakatan Harapan.

Menerusi artikel bertajuk, Mahathir ‘rompak’ Pakatan Harapan, penulis merujuk kejayaan Dr. Mahathir dalam memperluaskan kuasanya, manakala Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR sekadar menjadi presiden pakatan tersebut.

Berkaitan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh ataupun tidak, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak memberi jawapan secara berte­rus-terang.

Sementara itu, pemimpin DAP yang memegang jawatan tinggi dalam Pakatan Harapan hanya Lim Guan Eng. Beliau antara tiga yang dilantik sebagai timbalan presiden pakatan berkenaan. Dua lagi ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) dan Moha­mad Sabu (Presiden PAN).

Apa pun sebahagian besar masyarakat menganggap struktur Pakatan Harapan yang diumumkan baru-baru ini tidak mengikut ranking parti dalam kepemimpinan tertinggi pakatan itu.

Justeru tidak hairanlah suatu hari nanti ‘bahtera’ Pakatan Harapan akan tenggelam kerana mempunyai tiga nakhoda dan masing-masing mempunyai hala tuju yang berbeza.

Walaupun Penasihat DAP, Lim Kit Siang melihat keempat-empat parti dalam pakatan itu boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi terutama dalam membuat sesuatu keputusan namun hakikatnya perkara itu sukar dilakukan.

Hakikatnya DAP tidak seperti apa yang dinyatakan Kit Siang (berdiri dan duduk sama tinggi). Semua tahu, DAP memiliki 36 kerusi Parlimen, dan adalah parti kedua terbesar selepas Barisan Nasional (BN).

Biarpun mempunyai bilangan ahli Parlimen teramai berbanding parti pembangkang lain, namun kedudukan DAP dalam kepe­mimpinan tertinggi Pakatan Harapan langsung tidak menggambarkan kekuatan sebenar parti itu.

Jika DAP sendiri tidak mampu mempertahankan kehormat­an parti mereka dalam Pakatan Harapan, masakan rakyat Malaysia terutama kaum Cina masih boleh bergantung harap kepada parti ‘Roket’ itu untuk memperjuangkan kepentingan mereka?

Berdasarkan peraturan nisbah ahli parlimen parti, kedudukan DAP kini sebenarnya dalam posisi kerugian besar. Bayangkan PPBM yang hanya ada seorang ahli Parlimen ‘menjuarai’ tiga jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan iaitu pengerusi, timbalan pengerusi dan naib pengerusi.

PKR yang memiliki 28 kerusi Parlimen pula memperoleh jawatan pemimpin umum, presiden dan setiausaha agung, manakala DAP terpaksa ‘ber­puas hati’ apabila diberi jawatan timbalan pre­siden, naib presiden dan bendahari.

Penulis masih ingat lagi ba­gaimana pemimpin DAP sering mengejek parti Gerakan sebagai berkedudukan tetapi tidak ada kuasa dalam BN. Hari ini, ejekan DAP itu sudah terpalit ke muka mereka sendiri!

Melihat struktur kepemimpinan baharu Pakatan Harapan itu menyedarkan kita bahawa dalam politik tiada musuh selamanya. Malah mereka sanggup mengetepikan maruah dan prinsip parti demi kepentingan politik masing-masing.

Sebenarnya apa yang kita nampak hari ini adalah parti pembangkang sedang membuat pusingan U apabila kepemimpinan Pakatan Harapan yang diperbaharui kini diterajui dan dimonopoli Dr. Mahathir iaitu musuh politik mereka sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 hingga 2013.

Walaupun Dr. Mahathir dilihat ‘merompak’ kuasa ter­atas dalam Pakatan Harapan, namun DAP, PKR dan PAN terpaksa berdiam diri kerana keutamaan mereka ialah kemenangan parti pembangkang dalam PRU ke-14 dan untuk itu perlu ada pengorbanan.

Demi mencapai matlamat, mereka bukan sahaja sanggup berganding bahu dengan Dr. Mahathir dengan menganggap hubungan terjalin seperti adik-beradik, bahkan menyanjungi jasa-jasa bekas Perdana Menteri itu yang lalu. Sungguh malang dan sedih bagi mereka!

PAKATAN HARAPAN 
TIADA PILIHAN?

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 26 Julai 2017 menerusi penulisan Wong Kee Lun dalam Ruangan Pendapat halaman A10 mengulas kejayaan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperluaskan kuasanya dalam Pakatan Harapan.

Artikel bertajuk, Dr. Mahathir ada kuasa penentu antara lain memperlihatkan bekas Perdana Menteri itu sebenarnya big bro­ther kepada gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAN, selain PPBM.

Penulis antara lain menyingkap sejarah penyertaan PPBM dalam Pakatan Harapan selepas parti pembangkang yang ketika itu mengalami defisit kepe­mimpinan setelah ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui pakatan tersebut ke­rana menjalani hukuman penjara.

Lebih memburukkan keada­an, gabungan pembangkang dikenali Pakatan Rakyat ketika itu kehilang­an rakan sekutu berpe­ngaruh iaitu Pas setelah berkonflik dengan DAP, manakala kes ra­suah Lim Guan Eng juga menyum­bang kemerosotan keyakinan rakyat.

Parti pembangkang ketika itu tidak mempunyai pilihan selain membenarkan kemasukan PPBM bagi memulihkan sokongan rak­yat, apatah lagi misi Dr. Mahathir untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejajar dengan matlamat mereka untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan BN.

Semua tahu Dr. Mahathir sudah lama kehilangan pengaruh sejak beliau masih dalam UMNO. Justeru kenapa pembangkang masih ‘mendukungnya’ dan meng­anggap beliau mempunyai kuasa penentu ketenteraman?

Hakikatnya, setelah berpatah arang dengan Pas, pembangkang dilihat tidak yakin menggunakan kekuatan sendiri untuk memperoleh kemenangan dalam PRU-14, dan terpaksa mengharapkan Dr. Mahathir.

Pemimpin pembangkang ter­utama DAP dilihat oportunis apabila sanggup bekerjasama dengan Dr. Mahathir yang juga musuh lama mereka. Segala kritikan daripada penyokong tidak diendahkan. Mereka dilihat hanya bertanggungjawab kepada parti, dan bukan masyarakat.