AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 11 Mac 2017 menyiarkan artikel menyentuh mengenai strategi DAP mempergunakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menarik sokongan orang Melayu.

Artikel bertajuk Kenapa sekarang ini Dr. Mahathir begitu penting? yang ditulis oleh Dr. Hew Kuan Yew disiarkan dalam ruangan Kolum ODN halaman 45.

DAP terpaksa mempergunakan kehebatan Dr. Mahathir bagi menarik sokongan orang Melayu setelah slogan Selamatkan Malaysia dan isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal menarik kaum itu untuk me­ngundi pembangkang.

Langkah DAP menggunakan dua isu itu, bagi menghindar kleptocracy yang merujuk kepada situasi pe­mimpin sesebuah negara menjadi sangat kaya dengan ‘mencuri’ daripada rakyat, jelas sekali tidak berjaya.

Oleh itu, DAP terpaksa memperalatkan Dr. Mahathir. Hanya beliau diyakini parti itu dapat menarik sokongan orang Melayu terutama yang menetap di kampung-kampung untuk beralih mengundi pembangkang.

Taktik mempergunakan beliau tidak mendapat sokongan keseluruhan ahli parti itu kerana ada dalam kalangan mereka cukup tidak selesa apabila mengenang kembali perbuatan buruk dan kesilapan silam bekas Perdana Menteri itu.

Walaupun kepimpinan DAP telah memberikan penjelasan, banyak ahli di peringkat akar umbi masih sangsi dengan kerjasama parti itu dengan PPBM khususnya Dr. Mahathir.

Isu kerjasama itu turut diulas oleh pihak luar menerusi komen-komen yang dimuat naik dalam laman sosial. Bilangan individu menentang kerjasama itu adalah lebih ramai berbanding yang menyokong.

Ada antara komen-komen berkenaan bernada keras seperti menuduh Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersubahat dengan PPBM untuk menjual maruah orang Cina.

Walaupun ramai membantah kerjasama DAP dan Dr. Mahathir kerana sedang dilamun kisah silam mengenai prestasi buruk beliau, bekas Perdana Menteri itu cukup penting kepada parti berkenaan bagi menarik sokongan pengundi Melayu.

Berikut saya senaraikan kepentingan beliau kepada pembangkang khususnya DAP. Pertama, walaupun pembangkang berjaya merampas banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan memainkan isu 1MDB, kerusi UMNO masih utuh dengan menguasai 88 kawasan Parlimen.

Ini bermakna orang Melayu bersikap konservatif dan akan terus memberi sokongan kepada UMNO. Usaha me­raih sokongan kaum itu sudah pasti gagal terutama dalam keadaan Pas telah berbaik-baik dengan parti terbesar orang Melayu itu.

Oleh itu, hanya Dr. Mahathir yang mampu mengetuai jentera pakatan pembangkang untuk menarik sokongan orang Melayu di kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO.

Ini kerana bekas Perdana Menteri itu masih dihormati oleh sebilangan ahli UMNO khususnya yang berfikiran konservatif.

Kedua, orang Melayu memang sedar bahawa ada dalam kalangan pemimpin UMNO terlibat dengan penyelewengan. Tetapi mereka terus menyokong parti itu kerana bimbang pakatan pembangkang yang dikuasai DAP akan menghapuskan keistimewaan yang dinikmati sejak merdeka.

Mereka khuatir untuk menukar kerajaan kerana bimbang akan kehilangan tongkat. Mereka risau Malaysia akan menjadi tanah jajahan Kit Siang anak-beranak.

Kesangsian orang Melayu hanya boleh dikikis jika Dr. Mahathir menonjolkan diri bahawa beliau yang sebenar­nya menguasai pakatan pembangkang.

Sebab itu, Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa DAP adalah sebuah parti kecil dan Kit Siang tidak mungkin menjadi Perdana Menteri.

Sebenarnya, bekas Perdana Menteri tidak berniat untuk memperkecilkan DAP sebaliknya mahu mengubah persepsi orang Melayu terutama di kampung-kampung yang telah ‘dicuci’ pemikiran mereka oleh UMNO kononnya DAP menguasai pembangkang.

Hanya Dr. Mahathir yang mampu mengubah pemikiran orang Melayu yang telah ditanam dengan fahaman perkauman dan teokrasi (menjadikan hukum agama sebagai dasar pemerintahan negara).

Sebab itu, DAP tidak boleh berlengah untuk mempergunakan Dr. Mahathir. Perjuangan sekarang adalah demi masa depan anak cucu kita. Jadi kenapa perlu ungkit kembali kisah lampau bekas Perdana Menteri itu?

 

KECEWA DAP BERMAIN POLITIK

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 13 Mac 2017 me­nyiarkan artikel yang meluahkan kekecewaan sikap pe­mimpin DAP yang mempolitikkan pelaburan dari China.

Artikel yang ditulis oleh Ong Kai Eng bertajuk Lim Guan Eng tidak menjawab soalan secara langsung disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman A11.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah ditanya oleh pemberita adakah parti itu masih membantah pelaburan dari China.

Soalan itu adalah susulan daripada kenyataan seorang pemimpin DAP lain yang melahirkan kerisauan kemasukan banyak pelabur dari China akan menyebabkan Malaysia menjadi boneka kepada negara itu.

Pemimpin DAP itu turut menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menjual kedaulatan Malaysia kepada China dan menyebabkan negara ini menjadi sebuah tanah jajahan.

Guan Eng ketika menjawab soalan itu berkata: “Pendirian pembangkang jelas. Kita tidak membantah pelaburan dari China, Indonesia, India ataupun Arab Saudi. Yang kami bantah adalah rasuah kerajaan BN.

“Kita hanya mahu pastikan mana-mana pelaburan asing tidak terjebak dengan gejala penipuan.”

Tindakan Guan Eng yang tidak menjawab secara langsung soalan wartawan terbabit membuktikan parti itu masih mahu bermain politik.

Langkah DAP yang mengaitkan pelaburan dari China dengan penyelewengan hanya akan merosakkan rancangan kerajaan BN untuk menarik kemasukan lebih ramai pelabur asing.

Bagi penulis, amat tidak patut DAP membantah jika pelaburan dari China itu dibuat secara te­lus dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan 1MDB.